TIDAK GUNA MENGENDENG BERSATU, JIKA AHLINYA SENDIRI LARI KELUAR PARTI

Editorial

7 Mei 2021

Apalah ertinya sekiranya ada segelintir golongan kluster Menteri UMNO dalam PN yang mengendeng-ngendeng untuk bersama-sama dengan Bersatu pada PRU-15 nanti sekiranya ahli-ahli Bersatu sendiri lari keluar meninggalkannya.

Bak kata pepatah, tiada guna berpaut pada dahan yang rapuh, kelak tersungkur dibaham bumi.

Gejala ahli-ahlinya meninggalkan Bersatu (PPBM) telah pun berkudis sejak Ogos tahun lalu, manakala banyak pula cawangannya dibubarkan dan kini ia menjadi hangat kembali apabila Bersatu Bahagian Simpang Renggam pula terbubar.

Bersatu Bahagian Simpang Renggam sebelum ini diketuai oleh bekas Menteri Pendidikan PH, Maszlee Malik, tetapi dikosongkan apabila Maszlee melompat ke parti baharu yang diasaskan oleh Tun Mahathir, Pejuang Tanah Air atau Pejuang.

Bersatu Simpang Renggam kemudiannya melantik A’zman Mohd Umar sebagai pemangku Ketua Bahagian, namun pelantikan tersebut ditolak oleh 19 pemimpin Bahagian kerana didakwa tidak sah.

Dipetik daripada FMT

Dakwaan pembubaran Bersatu Bahagian Simpang Renggam dan semua cawangannya di Simpang Renggam diperkukuhkan lagi apabila salinan surat peletakan jawatan Naib Ketua Bahagiannya, Mohd Sidik Arifin, tular dalam media sosial.

Mohd Sidik mengesahkan bahawa bukan dia sahaja yang meletakkan jawatan, malah kira-kira 2/3 AJK Bahagian turut mengambil tindakan yang sama.

Sejak Ogos tahun lalu lagi Bersatu didakwa nazak apabila banyak Bahagian parti itu telah dibubarkan, manakala 70% ahlinya dikatakan telah meninggalkan parti.

Perkara yang memeranjatkan ialah apabila Bersatu Bahagian Pagoh yang menjadi kubu kuat Presidennya, TS Muhyiddin Yassin sendiri goyah dan lumpuh.

Gejala pembubaran Cawangan dan Bahagian Bersatu bukan sahaja membarah di Johor tetapi juga telah merebak ke seluruh negara.

Naratif 16 Cawangan Bersatu Langkawi Kedah dibubarkan, dan melarat ke Hulu Langat, Jeram dan banyak Bahagian di Selangor telah menjadi perbualan hangat sebelum ini.

Pada Ogos tahun lalu sahaja, kira-kira 24 ribu ahli Bersatu Kelantan meninggalkan parti dan kemudiannya heboh dalam media bahawa 70% daripada ahli-ahli Bersatu akan meninggalkannya.

Lantas, di manakah letaknya kekuatan Muhyiddin sebagai Presiden Bersatu sekiranya parti yang dilihat sebagai melukut di tepi gantang baik semasa PH mahupun semasa PN, yang hanya mempunyai 30% sahaja ahli yang masih setia setelah Tun Mahathir menubuhkan Pejuang?

Dimuat turun daripada YouTube

Tun Mahathir sendiri yang merupakan pengasas Bersatu meramalkan bahawa Bersatu di bawah Muhyiddin Yassin akan tewas pada PRU-15 nanti kerana, UMNO berkeras tidak akan melepaskan kerusi tradisionalnya kepada Bersatu yang dilihat sebagai pengkhianat kerana melompat meninggalkan UMNO.

Apatah lagi apabila 70% ahli Bersatu telah lari meninggalkan parti itu yang pastinya akan menghadapi masalah yang besar pada PRU-15 nanti, kecuali hanya berharap kepada pemimpin parti lain yang melompat masuk.

*****

Advertisement

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

Website Built with WordPress.com.

Atas ↑

%d bloggers like this: