Oleh Dr Rahmany Gazelle
7 Mei 2021
Seorang pengamal undang-undang, Mohamed Haniff Khatri Abdulla dalam satu wawancara ‘Sembang Politik’ mendakwa bahawa Menteri KDN, DS Hamzah Zainuddin telah melakukan satu kesalahan besar apabila mengaku suara dalam audio sensasi tentang ‘memilih budak kita’ dalam PDRM adalah suara beliau.
Hamzah juga menegaskan kepada media bahawa dia sebagai Pengerusi Suruhanjaya Pasukan Polis, berhak menentukan siapa yang akan dipilih (untuk kenaikan pangkat) dalam PDRM.
Isu berkenaan menjadi heboh dan hangat apabila audio perbualan Hamzah dengan seorang individu yang tidak dikenali menyebut tentang ‘kita boleh memilih budak kita’ dalam PDRM.
Haniff membidas kenyataan Hamzah ‘memilih budak kita’ sebagai tindakan tidak profesional dan terkelencong daripada prinsip pemilihan melalui merit.
Haniff juga membidas, sebaliknya Hamzah menguar-uarkan bahawa dia berhak memilih siapa sahaja yang dia hendak walaupun orang yang dia pilih itu tiada kelayakan atau pengalaman untuk tadbir urus PDRM semata-mata kerana “ia boleh membantu perjalanan politik beliau (Hamzah) atau isu-isu peribadi beliau untuk mempermudahkan campur tangan keperibadian beliau.”
Menurut Haniff pendirian Hamzah yang sedemikian adalah ‘amat salah’ (absolutely wrong) yang bukannya salah sedikit tetapi salah 100%.
Hamzah pula dengan cara terbuka mengakui bahawa suara dalam audio itu adalah suaranya yang tulen.

Bagi Haniff kesalahan sedemikian adalah termasuk dalam kategori Seksyen 23 Akta SPRM.
Menurut Haniff lagi, pada tahun 1998 seorang bekas TPM telah dituduh di mahkamah di bawah Seksyen yang sama iaitu menyalahgunakan kuasa kerana menyuruh anggota-anggota Cawangan Khas (Special Branch) untuk mencuba atau cuba menukar kenyataan beberapa saksi dalam satu kes sodomi berkenaan.
Bekas TPM itu telah didapati bersalah dan telah dikenakan hukuman penjara.
Haniff menekankan bahawa Hamzah Zainuddin, melalui rakaman audio dan pengakuannya bahawa suara subjek dalam audio itu adalah suara beliau, maka sekiranya ada aduan atau meskipun tiada aduan, SPRM patut siasat sama ada ia adalah salah laku rasuah beliau sebagai Pengerusi SPP.
Sayugia itu, Pemuda PH telah membuat laporan kepada SPRM pada 4 Mei lalu, supaya satu siasatan salah guna kuasa dan rasuah dijalankan ekoran tertularnya audio berkenaan serta pengakuan Menteri KDN, DS Hamzah Zainuddin.

Adakah dengan kenyataan Haniff itu serta laporan yang dibuat oleh pihak berkenaan, maka SPRM akan mengambil tindakan yang sewajarnya atau berpendirian untuk mengabaikannya kerana isu berkenaan melibatkan menteri?
Rakyat mahu keadilan ditegakkan demi integriti, akauntabiliti serta maruah PDRM.
*****
Tinggalkan Jawapan