Oleh Dr Rahmany Gazelle
4 Mei 2021
Presiden Amanah, Mat Sabu telah mendesak TS Muhyiddin Yassin supaya meletakkan jawatannya secara terhormat.
Meskipun kenyataan Mat Sabu telah dibuat pada Oktober tahun lalu, namun pada hari ini kenyataan tersebut dilihat sebagai signifikan setelah berlaku perbagai kemelut politik, terutamanya yang melibatkan isu Menteri KDN, DS Hamzah Zainuddin serta tindakan beberapa parti dan tokoh politik supaya status ‘darurat’ negara diperkenan untuk ditamatkan oleh DYMM Agong.

Bagi mantan Menteri Pertahanan Malaysia ketika kerajaan PH berkuasa, TS Muhyiddin tidak lagi signifikan sebagai Perdana Menteri kerana terdapat ahli-ahli parlimen daripada pelbagai parti telah bertindak untuk membentuk kerajaan dan menyelamatkan negara akibat tindakan kerajaan mengisytiharkan darurat.
Gesaan supaya TS Muhyiddin meletakkan jawatan bukan sahaja datang daripada Mat Sabu, malahan daripada mantan PM, Tun Mahathir Mohamad serta Pemuda PKR.
Pengisytiharan darurat telah dipersepsikan oleh sebilangan ahli politik sebagai tindakan untuk menyekat persidangan parlimen serta PRU-15.
Situasi negara bertambah buruk setelah dilanda wabak Covid19, yang hakikatnya bukan sahaja menyerang Malaysia, malah seluruh dunia.
Kesan pandemik Covid19 amat kritikal pada sektor ekonomi bagi perniaga kecil dalam kalangan rakyat berpendapatan rendah.
Namun prestasi Malaysia dalam langkah menangani Covid19 adalah antara terbaik di dunia, berbanding China, Eropah, Amerika Syarikat dan yang paling teruk adalah India.
Meskipun pada Oktober lalu DYMM Agong telah menolak pengisytiharan darurat, namun pada 11 Januari 2021, Tuanku telah perkenan supaya Pengisytiharan Proklamasi Darurat dilaksanakan di seluruh negara sebagai langkah proaktif untuk membendung gejala wabak COVID-19 untuk tempoh sehingga 1 Ogos 2021 atau sehingga satu tarikh yang lebih awal jika angka kes positif COVID-19 harian dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan.
Perkenan tersebut diberikan selepas Perdana Menteri TS Muhyiddin Yassin menyembah maklum keputusan Mesyuarat Jemaah Kabinet dan mengambil kira rundingan Seri Paduka Baginda dengan Raja-Raja Melayu demi keselamatan rakyat dan kepentingan negara akibat daripada pandemik Covid19 yang kritikal.
Berdasarkan statistik Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ketika itu, lima belas hospital mencatatkan kadar penggunaan katil untuk kes COVID-19 melebihi 70 peratus.
Di Lembah Klang, sahaja penggunaan katil ICU untuk pesakit COVID-19 di Hospital Kuala Lumpur dan Pusat Perubatan Universiti Malaya telah mencapai 100 peratus, manakala di Hospital Sungai Buloh 83 peratus.
Dengan itu, isu proklamasi Darurat tidak boleh dilihat sebagai tindakan mainan politik untuk mengelak PRU-15, kerana TS Muhyiddin sendiri mahu dirinya mendapat mandat baharu melalui PRU-15.
PRN Sabah telah membuktikan bahawa tindakan kerajaan negeri mengadakan PRN tempoh hari telah membawa mala petaka kepada rakyat dan negara.
Malahan sebelum ini pun DYMM Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah perkenan mengisytihar darurat di kawasan Parlimen Batu Sapi, Parlimen Gerik dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya untuk membendung penularan Covid-19.
Lantas dengan proklamasi darurat, Persidangan Parlimen adalah ditangguhkan atas peruntukan perundangan (Perkara 150 -2B Perlembagaan Persekutuan) meskipun pada asasnya ia dilaksanakan kerana pandemik Covid19.
Selain itu, Perkara 14(1) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 juga menyatakan dengan jelas bahawa sidang Parlimen ditiadakan dalam tempoh darurat.
Data pandemik Covid19 Malaysia pada 2 Mei (2 hari lalu) menunjukkan peningkatan yang agak kritikal iaitu 415 ribu kes, dengan 1,533 kematian di seluruh negara.

Selangor mencatat jumlah kes tertinggi iaitu 116 ribu kes.
Kemelut politik antara Menteri KDN, DS Hamzah Zainuddin dan mantan KPN TS Hamid Bador, serta isu ugutan Hamzah ke atas Syed Saddiq dalam isu pendaftaran parti Muda, telah membangkitkan semula isu kelemahan kerajaan PN yang juga dikaitkan dengan Proklamasi Darurat.

Pada 20 April lalu, mantan PM, Tun Mahathir dan mantan Menteri Pertahanan, Mat Sabu serta Pengerusi Jawatankuasa Tamat Darurat Khalid Samad telah mohon mengadap DYMM Agong di istana negara untuk memohon perkenan baginda menamatkan status darurat negara.
*****
Tinggalkan Jawapan