Oleh Dr Rahmany Gazelle
4 Mei 2021
Beberapa media dalam talian telah mendedahkan kenyataan yang berbaur ugutan Menteri Dalam Negeri, DS Hamzah Zainuddin terhadap pengasas Parti Ikatan Demokratik atau MUDA (belum didaftarkan secara rasmi).
Isu berkenaan terbangkit apabila AP Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, mendedahkan bahawa dia telah bertemu DS Hamzah di pejabatnya di bangunan parlimen untuk mendapatkan sokongan pendaftaran ROS ke atas parti Muda yang telah tertangguh.
Pendedahan itu dibuat Syed Saddiq dalam satu afidavit mengejutkan yang difailkan di mahkamah bagi menyokong permohonan semakan kehakiman berhubung keengganan ROS mendaftar Muda.
Syed Saddiq mendakwa Hamzah telah “memujuknya” supaya dia dan parti Muda menyokong kerajaan PN jika mahu pendaftaran parti pimpinannya itu diluluskan.
Kata “memujuknya” mendukung konotasi yang hakikatnya adalah satu ugutan ke atas Syed Saddiq dan parti MUDA supaya menyokong kerajaan PN.

Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Johor, Muhammad Taqiuddin Cheman, mendakwa bahawa gelagat Hamzah itu adalah suatu ugutan dan ia seolah berlaku tanpa sebarang kekangan daripada pihak PM, TS Muhyiddin Yassin.

Dengan kemelut kritikan mantan KPN, TS Hamid Bador terhadap DS Hamzah, rakyat kini diasak dengan persepsi bahawa Hamzah adalah menteri yang tidak beretika dan tidak profesional, malah merendahkan martabat kerajaan PN yang memerintah.

Bekas Ahli Majlis Tertinggi Parti Bersatu, Datuk Kadir Jasin, menyifatkan sikap DS Hamzah yang sedemikian merupakan ‘gelagat samsengan kerajaan tebuk atap’.
Datuk Kadir Jasin melihat desakan DS Hamzah itu sebagai ‘peras ugut’ dan taktik samsengan tokoh kerajaan PN terhadap Syed Saddiq dan parti Muda.
*****