KATAK MELOMPAT DAN CAMPUR TANGAN KERANA ADA HABUAN – KPN

Oleh Dr Rahmany Gazelle

2 Mei 2021

Ketua Polis Negara (KPN), Abdul Hamid Bador yang akan menamatkan kontraknya pada 3 Mei telah menyarankan supaya SPRM menyiasat golongan pemimpin politik yang melompat parti kerana penghijrahan mereka ke parti lain boleh sahaja didorong oleh suapan dan habuan kewangan.

Dalam kemelut campur-tangan politik ke atas PDRM, khalayak media percaya bahawa tokoh politik yang dimaksudkan oleh Abdul Hamid Bador adalah antaranya Menteri Dalam Negeri, DS Hamzah Zainuddin.

YB DS Hamzah Zainuddin sebelumnya adalah Ahli Parlimen UMNO yang telah meninggalkan parti untuk bersama dengan PPBM atau Bersatu.

Secara prinsipnya, gejala melompat parti adalah satu pencabulan hak para pengundi yang mengundi atas dasar parti yang mendukung ADUN atau Ahli Parlimen berkenaan.

Tidak dinafikan juga berlaku ugutan pihak tertinggi parti ‘kedua’ yang mendesak ADUN mahupun Ahli Parlimen itu agar melompat parti jika tidak mahu diri mereka diheret ke mahkamah kerana kes tertentu.

Saranan KPN itu ada asas yang kukuh kerana sebagai Ketua Polis Negara, beliau mempunyai maklumat tulen dan lokus standi untuk mensabitkan gejala lompat parti dengan rasuah.

Kemelut yang melanda kepimpinan tertinggi PDRM setelah audio perbualan Menteri Dalam Negeri tentang pelantikan baharu kepimpinan PDRM tertular, juga menjadi isu besar yang tidak boleh dipandang enteng oleh SPRM.

Malahan ADUN Meru, Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar telah membuat laporan polis untuk menyiasat rakaman audio antara menteri berkenaan dengan KPN, sebagai satu campur tangan politik dalam pengurusan PDRM dan “usaha terancang dilakukan menteri terbabit untuk menyusun pelantikan dan penempatan pegawai-pegawai PDRM.”

“Perkara ini jelas satu penyalahgunaan kuasa dan campur-tangan yang dilakukan oleh seorang menteri yang disyaki dengan tujuan yang tidak baik, bias dan menjejaskan serta mencalarkan imej PDRM secara keseluruhan,” kata Mohd Fakhrulrazi (sebagaimana dipetik daripada Utusan Malaysia).

Fakhrulrazi juga menekankan bahawa “peruntukan dalm Seksyen 15 Akta Polis 1967 mencatatkan bahawasanya ketika darurat, pertukaran Ketua Polis Negara dan pegawai polis adalah tidak dibenarkan.”

Campur-tangan politik sedemikian menjadi lebih panas di tengah-tengah usaha PDRM menentang ‘musuh dalam selimut’ dalam kalangan anggota PDRM sendiri untuk melumpuhkan kuasa ‘tycoon’ dadah, judi haram, dan pengubahan wang haram, misalnya sebagaimana kes Nicky Liow Soon Hee dan ‘geng Nicky’.

Nicky kini gagal dikesan kedudukan dan keberadaanya kerana dikatakan terdapatnya ‘musuh dalam selimut’ yang menjadi informan kepadanya untuk meloloskan diri.

Dimuat turun daripada YouTube

Dalam satu sidang akhbar di Bukit Aman, Hamid Bador menyatakan, “Saya lawan rasuah dalam pasukan, tapi saya tengok rasuah merata-rata dalam politik. (Pemimpin) mabuk kuasa dan membeli orang lain dan mengugut (yang enggan dibeli). Itu adalah rasuah,” katanya pada sidang akhbar terakhirnya di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pada Jumaat 30 April.

“Rakyat sudah muak tengok sekejap ‘katak’ melompat sana, sekejap berbunyi sana, apa itu?” katanya.

Abdul Hamid seperti menyindir menteri yang cuba masuk-campur urusan kenaikan pangkat anggota kanan PDRM sedangkan PDRM bergelut berusaha menyekat dan mengambil tindakan ke atas penglibatan anggota tertingginya apabila 12 pegawai atasan sedang disiasat dalam kes gangsterisme, judi haram, pengubahan wang haram, dadah dan banyak lagi.

*****



Advertisement

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

Website Built with WordPress.com.

Atas ↑

%d bloggers like this: