
RENCANA UTAMA
22 September 2020
Oleh Dr Mamat Desa
Sekurang-kurangnya 17 laporan polis telah dibuat ke atas bekas Menteri Pelancongan PH, Mohamaddin Ketapi yang menghina pasukan ATM dan PDRM sebagai bersandiwara ketika mempertahankan Sabah dalam kes serangan pengganas Sulu di Tanduo, Lahad Datu pada Mac 2013.
Dalam satu sesi ucapannya dalam kempen PRN Sabah, Mohamaddin menganggap pertempuran pihak ATM dengan penceroboh Sulu sebagai pertempuran menyerang anjing dan ayam sahaja, sedangkan 10 anggota keselamatan negara dan 60 penceroboh militan Sulu telah terkorban dalam tragedi tersebut.
Mohamaddin menyatakan bahawa tindakan ATM dan PDRM hanyalah satu sandiwara, yang diterjemahkan oleh pemimpin, penganalisis politik dan warganet sebagai satu penghinaan terhadap perjuangan mempertahankan negara.
Dalam tragedi Tanduo, Lahad Datu itu seramai 235 pengganas telah mendarat di bumi Sabah dari Pulau Siminul, Filipina dan melakukan serangan hendap dengan tujuan untuk merampas bumi Timur Sabah yang dikatakan milik waris Kesultanan Sulu, Jamalul Ikram III.
Hakikatnya istana Malacanang sendiri telah mengeluarkan kenyataan bahawa tidak ada penurunan pewaris selepas Sultan Jamalul Ikram II meninggal dunia pada 1936.
Markas Angkatan Tentera Malaysia di Wisma Pertahanan, juga telah mengeluarkan kenyataan membantah ucapan Mohamaddin.

Kerajaan Filipina sendiri tidak mengiktirafkan kewujudan Kesultanan Sulu, jadi apakah asasnya kumpulan militan itu menyerang Lahad Datu?
Menambahkan lagi, Sabahdaily mendakwa terdapat parti politik di Sabah yang menyokong golongan yang mendakwa diri mereka sebagai pewaris Kesultanan Sulu, manakala Jamalul Ikram III, berikrar akan terus berindak menuntut ‘haknya’.
Nampaknya kes sedemikian samalah dengan kes ‘waris Sultan Melaka yang menuntut negeri Melaka sebagai milik mereka’.
Pendirian Kerajaan Filipina semasa pembentukan Persekutuan Malaysia 1963 terakam dalam ‘Philippine Daily Inquirer’ yang telah menjelaskan pendirian Filipina dan merestui kehendak rakyat Sabah untuk menyertai Persekutuan Malaysia.
Akhbar Manila Times pada 25 Mac, 1963, telah memetik ucapan Senator Lorenzo Sumulong berhubung tuntutan terhadap Sabah, (difailkan oleh President Diosdado Macapagal pada 22 Jun, 1962), yang menyerahkan kepada rakyat Sabah tentang kehendak mereka menyertai Malaysia.
Sabahdaily mendakwa masih ada pemimpin politik Sabah yang bertindak seperti ‘musuh dalam selimut’ kerana masih mahu menyokong tuntutan militan dari Sulu itu.
Lantas adakah Mohamaddin sebahagian daripada golongan yang didakwa oleh Sabahdaily?
Atau adakah pemimpin politik sedemikian cuba menangguk di air keruh pada saat-saat menjelang PRN Sabah pada 26 September kerana terdapat ramai pengundi berbangsa Sulu di Lahad Datu?
Semasa memegang jawatan Menteri Pelancongan, Mohamaddin pernah menganggap penularan wabak Covid19 sebagai isu ‘kecil’, dan dia telah mempertahankan kemasukan pelancong China, meskipun daripada Wuhan, Hubei yang menjadi pusat pandemik tersebut.
Mohamaddin jahil bahawa tempoh inkubasi coronavirus memakan masa sekurang-kurangnya dua minggu sebelum simptom serangan boleh dikesan.
Pendirian Mohamaddin itu diterjemahkan sebagai amat ‘bodoh’ yang membahayakan nyawa dan keselamatan rakyat.

Tidak hairanlah sekiranya DS Nazri Aziz melabelkan tindakan Mohamaddin sebagai menonjolkan kebodohan sendiri kerana mengeluarkan kenyataan yang membangkitkan kemarahan rakyat.
Sewajarnya Mohamaddin didakwa di bawah SOSMA kerana telah membangkitkan perasaan tidak setia kepada DYMM SPB DP Agong serta memudaratkan ketenteraman awam apabila dia menghina pasukan keselamatan sebagai ‘bersandiwara dengan anjing dan ayam’.
Sebelum ini Senator DAP, Liew Chin Tong telah melabelkan kenyataan Menteri Luar, DS Hishamuddin Hussein sebagai ‘jijik’ kerana menolak sebarang rundingan tentang isu tuntutan Filipina ke atas Sabah bagi mempertahankan kedaulatan Sabah.
Bagi Hishamuddin mahupun Menteri Pertahanan, DS Ismail Sabri Yaakop, sebarang rundingan akan memberi ruang dan mewajarkan tuntutan pihak Filipina.

Tidak hairanlah sekiranya rakyat telah hilang kepercayaan terhadap pemimpin PH-DAP seperti Mohamaddin, dan kepimpinan Warisan di tengah-tengah timbulnya kes ancaman keselamatan daripada pihak luar terhadap Sabah, sebagaimana didakwa oleh Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali pada 20 September.
****
Tinggalkan Jawapan