
RENCANA UTAMA
19 September 2020
Oleh Dr Mamat Desa
Bekas Timbalan Menteri Pertahanan DAP-PH, Liew Chin Tong menyifatkan tindakan membela kedaulatan Sabah oleh Menteri Luar, DS Hishamuddin Hussein sebagai jijik kerana ia mempengaruhi kempen PRN Sabah.

Nampaknya Liew Chin Tong masih dengan gelagat mentaliti Menteri Kabinet PH yang rendah, kerana dia tidak melihat kepentingan kedaulatan Sabah dan juga keselamatan negara sebagai jauh lebih penting daripada kempen politik.
Chin Tong juga buta untuk melihat bahawa isu ‘rundingan tuntutan Sabah’ bukan dibangkitkan oleh DS Hishamuddin, sebaliknya DS Shafie Apdal, yang harus dipertanggungjawabkan kerana cuba menangguk di air keruh untuk membuka ruang rundingan dengan kerajaan Filipina berkenaan isu tersebut sedangkan dia tahu DUN Sabah sudah dibubarkan dan PRN akan berlangsung.
Chin Tong gagal melihat bahawa ‘yang menjijikkan adalah tindakan Shafie, sedangkan yang cuba membersihkan kejijikan itu adalah Hishamuddin.’
Sebagaimana hujah Hishamuddin, sekiranya Malaysia masih membuka ruang rundingan ia bermakna Malaysia mengakui tuntutan tersebut mempunyai asas atau sememangnya Shafie yang dikatakan berketurunan Sulu Jolo Filipina menganggap tuntutan Filipina sebagai berasas.
Kenyataan Hishamuddin selari dengan pendirian Menteri Pertahanan Malaysia, DS Ismail Sabri Yaakob yang telah memberi amaran kepada pihak tertentu supaya tidak menakut-nakutkan rakyat Sabah dengan isu keselamatan negara.
DS Ismail menegaskan bahawa kerajaan tidak akan berkomporomi dan berunding dengan mana-mana ancaman luar termasuk tuntutan Sabah daripada kerajaan Filipina.

Sekiranya Manila dan Wisma Putra sudah memeterai persefahaman yang dicapai antara Presiden Fidel Ramos dan Tun Mahathir Mohamad pada 1993 bahawa Sabah tidak lagi menjadi rebutan antara kedua-dua negara, mengapakah Shafie masih mahu memainkan isu tersebut pada ketika DUN Sabah telah dibubarkan dan PRN akan berlangsung tidak lama lagi?
Adakah Shafie cuba memancing undi kaum Sulu yang kini ramai diktiraf sebagai warganegara di Semporna?
Malah adakah ini percaturan yang digunakan oleh Shafie kerana pergolakan tuntutan wilayah Sabah oleh Jamalul Ikram III masih membara sebagaimana meletusnya serangan pengganas militan Sulu di Lahad Datu pada 2013?

Jamalul Ikram mendakwa dia adalah pemimpin kaum Sulu Filipina dan pewaris wilayah Sabah, sedangkan Istana Malacanang sendiri telah mengeluarkan kenyataan bahawa tidak ada penurunan pewaris selepas Sultan Jamalul Ikram II meninggal dunia (1884-1936).
Lantas, mengapakah kumpulan militan menyerang Kampung Tanduo Sabah pada 9 Februari 2013 dengan tujuan menuntut semula Sabah sebagai sebahagian daripada wilayah Sulu?
Setelah ATM berjaya mematahkan serangan militan Sulu itu, manakala berpuluh yang telah mati terbunuh, Jamalul Ikram telah berikrar bahawa pasukan militannya akan terus berjuang. Apakah maknanya itu?
Justeru, adakah Shafie masih mahu membuka ruang untuk mengorbankan keselamatan dan kedaulatan Sabah kepada kaum kerabat Sulu ini atau kepada kerajaan Filipina.
Jadi siapakah yang betindak jijik sebenarnya?
Dalam isu yang membabitkan keselamatan negara ini, mentaliti Chin Tong yang kini merupakan Senator, tetap tidak berubah sebagaimana sikap Menteri Kabinet PH yang suka menuding jari pada orang lain terhadap setiap kesalahan tingkah-laku mereka.

Lihatlah apa terjadi setelah Shafie mengeluarkan kenyataan untuk terus berunding dengan Filipina pada 28 Ogos apabila pada 3 September berikutnya, Kementerian Luar Filipina terus mengambil langkah untuk membuka semula Jabatan Khas menuntut Sabah sebagai hak Filipina.
Rakyat menjadi saksi apabila Shafie Apdal selaku Ketua Menteri Sabah dan juga Presiden Warisan telah membuat keputusan membubarkan DUN Sabah pada 30 Julai dan sekali gus mengisytiharkan PRN Sabah.
Lantas, siapakah yang telah bertindak jijik membangkitkan isu tuntutan ke atas Sabah itu setelah diketahui bahawa PRN akan berlangsung?
Inilah sebahagian daripada faktor yang telah menyebabkan PH tumbang dan hilangnya kepercayaan rakyat terhadap mereka.
*****
Tinggalkan Jawapan