
RENCANA UTAMA
18 Sep 2020
Oleh Dr Mamat Desa
Shafie Apdal, Ketua Menteri Sabah yang menunggu masa untuk dijatuhkan pada PRN Sabah 2020, masih mahu berunding dengan Filipina atas tuntutan mereka ke atas Sabah.

Setelah 57 tahun sejak 1963 apabila Malaysia ditubuhkan dengan kehendak dan kerelaan rakyat, dan setelah Sabah dimaktubkan sebagai sebahagian daripada Persekutuan Malaysia, mengapakah Shafie masih mahu berunding dengan Filipina atas isu tuntutan mereka terhadap Sabah?
Pada 28 Ogos 2020, hanya dua minggu sebelum ‘Hari Ulang Tahun Malaysia ke 57’ Shafie telah mengeluarkan kenyataan rasminya untuk mengadakan rundingan antara Malaysia-Filipina bagi menyelesaikan tuntutan negara itu terhadap Sabah.
Lantas empat hari kemudiannya kerajaan Filipina telah memberi reaksi dan bercadang membuka semula ‘Jabatan Menuntut Sabah’.

Menteri Luar, DS Hishamuddin Hussein membidas kenyataan Shafie yang juga merupakan Presiden Parti Warisan, kerana Malaysia tidak pernah mengiktiraf tuntutan berkenaan.

Adakah tindakan Shafie didesak oleh pancingan undi menjelang PRN Sabah 26 September ini daripada kaum pendatang Sulu di Sabah?
Pendirian Malaysia telah menjadi dasar negara sejak 1963, untuk tidak melayani tuntutan Filipina ke atas Sabah kerana ia diterjemahkan sebagai tidak berasas, tidak relevan dan tidak akan dilayan selama-lamanya.
Tiba-tiba menjelang PRN Sabah 2020 dan ulang tahun ‘Hari Malaysia’ Shafie bertindak mencabul dasar negara tersebut seakan-akan tunduk kepada desakan Filipina itu.
Lantas tiada sebab bagi Shafie untuk berunding dengan Filipina, kerana membuka pintu rundingan bermakna Malaysia akui tuntutan tersebut mempunyai asas, sebagaimana dibidas oleh Hishamuddin.
Sepatutnya Shafie bertegas dan bukannya cuba menjadi gunting dalam lipatan dengan memberi muka kepada pihak luar yang cuba mempersoalkan kedaulatan Sabah.
Adakah Shafie bertindak atas sentimen dia berketurunan Sulu, sebagaimana didakwa bahawa datoknya adalah dari keturunan Sulu, Jolo Filipina?

Justeru atas alasan yang sama, Shafie mahu terus laksanakan program PSS (Pas Sementara Sabah) untuk membuka ruang kepada orang Sulu Filipina berhijrah ke Sabah dan kemudiannya mewajarkan mereka menuntut kewarganegaraan Malaysia?

Malahan Shafie pernah mengejutkan rakyat Sabah apabila mengadakan sambutan ‘Pesta Sambulayang’ iaitu satu perarakan laut menyambut Sultan Sulu dan kerabat DiRaja Sulu.
Tidakkah serangan di Lahad Datu pada 2013 adalah tindakan kumpulan bersenjata Kesultanan Sulu apabila 235 militan bersenjata mendarat di Kg Tandua?
Malah tanpa berselindung kumpulan pengganas tersebut menggelar diri mereka sebagai ‘Angkatan Keselamatan Kesultanan Sulu’ di bawah kepimpinan Jamalul Kiran III yang menuntut wilayah timur Sabah sebagai haknya.
Jamalul Kiram III mendakwa dirinya adalah pewaris sah kepada takhta Sulu, dan wilayah Timur Sabah adalah wilayah warisan miliknya.
Ketua Polis Negara ketika itu, TS Ismail Omar mengesahkan bahawa PDRM mengenal pasti kumpulan rakyat Filipina yang mendarat di pesisir pantai Lahad Datu, Sabah sebagai pewaris berketurunan ‘Raja Sulu’ dari selatan Filipina.
Justeru, tidakkah Shafie bersekongkol dengan mereka dan mencabul kedaulatan Sabah sebagai negeri yang berada dalam Persekutuan Malaysia?

DS Najib Tun Razak, selaku Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN), juga membidas tindakan Shafie Apdal sebagai satu kesilapan besar yang akan memberi masalah berpanjangan kepada Sabah dan Malaysia.
Bagi DS Najib, Shafie telah membukan ruang legitimacy kepada Filipina dalam isu tuntutan mereka ke atas Sabah.
Inikah pemimpin yang mahu dipilih oleh rakyat Sabah pada PRN Sabah pada 26 September ini?
*****
Tinggalkan Jawapan