
RENCANA UTAMA
Oleh Dr Mamat Desa
Adakah kemelut rebut kuasa untuk menjadi PM antara DS Shafie Apdal yang merupakan konco Tun Mahathir, dengan DS Anwar Ibrahim yang sememangnya dijanjikan untuk menduduki kerusi utama di Putrajaya, masih menggelegak antara keduanya?
Walau apapun naratifnya, Shafie Apdal nampaknya amat berkuasa dan telah menunjukkan suara vetonya dalam hal menentukan jumlah kerusi yang dipertandingkan di PRN Sabah.
Daripada 73 DUN (tambahan 13 DUN) berbanding 60 ketika PRU14, Warisan telah mengambil 46 (63%) kawasan DUN, manakala UPKO 12, DAP 7, PKR 7 dan Amanah hanya 1.
Lebih menonjolkan pertelagahan mereka, PKR tidak mahu menggunakan logo Warisan, sebaliknya akan menggunakan logonya sendiri semasa PRN nanti.
Adakah PKR tidak yakin terhadap sokongan rakyat kepada Warisan, sebaliknya lebih yakin dengan partinya sendiri tanpa Warisan?
Pertelagahan antara PKR dan Warisan sudah jelas kelihatan, seakan-akan ia akan mendorong tindakan lompat parti apabila keputusan diumumkan nanti.
Apa tidaknya, apabila pemimpin PKR bertindak meninggalkan Dewan Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah, Kota Kinabalu, ketika Presiden Warisan, Shafie Apdal mengumumkan calon dan jumlah kawasan DUN yang diperuntukkan kepada sekutunya untuk PRN 26 September ini.

Semasa PRU14, PKR telah diperuntukkan 8 Kerusi, dan kini setelah jumlah kawasan DUN bertambah 13, PKR hanya diberikan 7 kawasan DUN sahaja, jumlah yang jauh lebih kecil berbanding semasa PRU`14.

Bagi Shafie, PKR tidak sedar diri, kerana hanya memenangi 2 kerusi daripada 8 yang dipertandingkan semasa PRU14 atau 25% kemenangan sahaja.
PKR menuntut 14 kawasan DUN, tetapi sungguh menghampakan apabila mereka hanya diberikan 7 kerusi sahaja, iaitu hanya 50% sahaja daripada 14 kawasan DUN yang mereka tuntut.
Pemimpin PKR amat berharap untuk bertanding di 4 kawasan dalam senarai 13 kawasan DUN baharu di Sabah, tetapi semuanya telah dibolot oleh Warisan.
Tindakan Shafie difahami kerana budaya melompat parti adalah normal kepada ADUN Sabah, lantas dia terpaksa memastikan bahawa calon yang diletakkan benar-benar kukuh-setia terhadapnya.
Namun Shafie lupa bahawa UPKO dahulunya telah menang atas tiket BN.
Jelas dilihat bahawa Shafie lebih yakin terhadap UPKO yang merupakan sekutu BN semasa PRU14, apabila memperuntukkan 12 DUN kepada parti yang seringkali berubah-ubah.
Sebelumnya UPKO berdiri atas nama Parti Demokratik Sabah yang merupakan serpihan daripada Parti Bersatu Sabah (PBS).
Sebagaimana PKR, UPKO juga berpendirian untuk menggunakan logonya sendiri daripada menggunakan logo Warisan.
Ketua Penerangan PKR, Razeef Rakimin, mempersoalkan, di manakah letaknya semangat kesatuan yang sering dilaungkan Shafie apabila dengan jelas membolot kerusi rakan sekutu dalam PH?
Sebelumnya PKR dengan ghairah mengumumkan akan bertanding di 14 kawasan DUN termasuk 13 DUN yang baru diperkenalkan, namun semuanya telah dibolot oleh Warisan.

Pemimpin PKR turut meluahkan kekecewaan mereka apabila rakan komponen daripada parti lain yang menyokong Warisan juga dilayan seperti kaldai apabila peruntukan DUN yang diberikan tidak setimpal dengan pengorbanan besar mereka.
Misalnya DAP dan Amanah sanggup menolak Anwar sebagai calon PM yang telah dipersetujui sebelum PRU14 tempoh hari, dan menyokong Shafie untuk diangkat sebagai PM oleh PH-Plus di bawah Tun Mahathir.

Malahan DAP dan Amanah sanggup menggunakan logo Warisan sebagai taat-setia mereka kepada Shafie Apdal.
Namun lihatlah apa yang mereka peroleh berbanding parti katak seperti UPKO.
Amanah hanya diberikan satu kawasan DUN, dan peluang mereka untuk menang di kawasan yang berpotensi seperti Pitas dan Sekong telah dinafikan oleh Shafie.
Selain itu beberapa kerusi yang berpotensi untuk dimenangi oleh DAP seperti DUN Tulid juga telah dirampas oleh Warisan.
Adakah semua tindakan Shafie itu akan terpadam dan dilupakan begitu sahaja, meskipun selepas selesai PRN nanti.
Atau sebaliknya ia akan menjadi pekung bernanah apabila parti komponen PH iaitu PKR, DAP dan Amanah melihatnya sebagai penganiayaan terhadap mereka.
Nampaknya ego Shafie naik mendadak dan buta untuk mengenali permata berlian dan kaca.
Lihatlah nanti apa akan berlaku selepas PRN nanti sekiranya tiada perubahan setelah penamaan calon Sabtu 12 September ini.
*****
Tinggalkan Jawapan