
Berita Sisipan
Sebuah rakaman video berdurasi 32 minit 55 saat telah dimuat naik oleh AirTimes dalam YouTube pada 14 Ogos 2020 yang dilabelkan sebagai ‘Sidang media laporan polis terhadap Tun Mahathir, Lim Guan Eng dan Tommy Thomas.’
Rakaman video tersebut merupakan satu sesi sidang media Majlis Perundingan Melayu (MPM) bersama dengan wakil UMMAH seluruh negara yang mencanangkan tentang sebuah ‘memorandum khas’ kepada YAB Perdana Menteri, TS Muhyiddin Yassin, Ketua Polis Negara, Ketua Pengarah SPRM dan Peguam Negara.
Sidang media berkenaan juga adalah berkaitan dengan pendedahan Menteri Undang-Undang, Datok Takiyuddin Hassan di parlimen berkenaan salah laku Tun Mahathir melalui sepucuk surat arahan kepada Peguam Negara untuk mengenyahbekukan akaun TS Lim Soon Peng yang terbabit dengan kes 1MDB, semasa PH berkuasa.
Sidang media itu dipengerusikan oleh Setiausaha Agung MPM, Prof Datok Dr Hassan Mat, bersama Shahbuddin Embun, Ketua Biro Politik MPM, Haji Mohd Zai Mustafa, wakil Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) pusat, Datok Drs Khalil Idham Lim Abdullah, wakil UMMAH Perak, juga selaku wakil UMMAH seluruh Malaysia.
Mereka telah mengambil tindakan susulan ekoran kenyataan Menteri Undang-undang Datuk Takiyuddin Hassan yang mendedahkan di parlimen tentang salah guna kuasa ketua eksekutif , yang juga diterjemahkan sebagai campur tangan ke atas kuasa badan undang-undang negara.
Ekoran daripada pendedahan itu di parlimen pada 10 Ogos 2020, MPM telah mengambil perhatian tentang apa yang berlaku mengenai campur tangan politik dalam sistem perundangan negara secara terang-terangan oleh mantan PM, Tun Mahathir.
Pada Mei 2018, Peguam Negara ketika itu Tommy Thomas, telah membawa surat representasi daripada peguam TS Lim Soon Peng yang ada kaitan dengan kes 1MDB, kepada YB Lim Guan Eng. Surat representasi itu memohon supaya akaun bank TS tersebut dinyahbekukan.
Surat tersebut bertajuk “Application to release frozen account of YBhg TS Lim Soon Peng”.
Pihak MPM difahamkan bahawa Lim Guan Eng telah membawa surat representasi tersebut kepada mantan PM, Tun Mahathir Mohamad (PM ketika itu) untuk dipertimbangkan.
Selepas itu ia diminitkan oleh PM (Tun Mahathir). Minit itu berbunyi, “Saya berpendapat penyelewengan oleh mantan PM DS Najib Tun Razak tidak boleh disalahkan kepada TS Lim Soon Peng oleh itu pembekuan akaun peribadinya atau syarikatnya tidak boleh dikekalkan.”
Itulah surat arahan Tun Mahathir yang ditandatangani 5 Dis 2018, yang dilengkapi dengan cop mohor PM. Ia diterjemahkan sebagai salah guna kuasa eksekutif yang mencampuri urusan badan perundangan negara.
Surat itu kemudiannya diminitkan sekali lagi oleh YB Lim Guan Eng bertarik 19 Feb 2019, yang meminta supaya SPRM segera menarik semula arahan pembekuan terbabit seperti yang diminta oleh PM (Tun Mahathir).
Minit berkenaan berbunyi “YB AG, Please lift the freeze of the account as requested by YAB PM” bertarikh 19 Feb 2019.
Susulan daripada surat itu, Tommy Thomas kemudian membalas surat kepada Lim Guan Eng bertarikh 31 Mei 2019 memaklumkan mengenai status pembekuan akaun ahli perniagaan tersebut dan arahan beliau kepada SPRM.
Shahbudin menegaskan, tidak pernah berlaku dalam sejarah perundangan negara apabila kuasa politik mencampuri urusan mahkamah (undang-undang) secara terang-terangan.
Antara lain, tegas Shabuddin, MPM dan NGO-NGO seluruh Malaysia membuat ketetapan bahawa:
- Pihak berkuasa, ‘without fear or favour’ hendaklah menyiasat salah guna kuasa yang serius ke atas mantan PM, Tun Mahathir Mohamad, mantan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, dan mantan Peguam Negara, TS Tommy Thomas.
- MPM dan NGO mendesak sekiranya berlaku tindakan salah guna kuasa tindakan pendakwaan hendaklah dilakukan segera.
- Hentikan sebarang campur tangan politik dalam sistem perundangan negara, kerana sesungguhnya badan perundangan dan sistem kehakiman negara sepatutnya bebas daripada sebarang campur tangan politik. (Sewajarnya sistem ‘separation of powers’ hendaklah dipertahankan iaitu diasingkan antara kuasa Eksekutif, Undang-undang dan Kehakiman). Sebaliknya dalam kes ini ada campur tangan politik.
- MPM dan NGO memohon supaya dihentikan sebarang amalan pendakwaan terpilih dalam badan perundangan negara.
Apa yang berlaku semasa 22 bulan PH berkuasa, Peguam Negara cenderung mendakwa musuh politik PH dan tindakan tersebut tergelincir daripada ‘rule of law’, (mengikut undang-undang), sebaliknya tunduk kepada kuasa dan kehendak eksekutif yang cuba mengambil alih kuasa judiciary (kehakiman) atau pun kuasa undang-undang.
Sekiranya sistem perundangan dan badan kehakiman dikawal oleh ahli politik, maka negara akan menuju kehancuran.
MPM dan NGO mahu amalan campur tangan politik dalam sistem undang-undang dihentikan kerana ia akan menghilangkan keyakinan pelabur-pelabur dan akhirnya negara akan terjerumus kepada kegawatan ekonomi.
Demikianlah antara kandungan memorandum khas MPM dan UMMAH kepada YAB PM, KPN, Ketua Pengarah SPRM dan Peguam Negara.
*****
Tinggalkan Jawapan