
RENCANA UTAMA
Oleh Dr Mamat Desa
PRK Slim yang telah dimenangi calon BN, Mohd Zaidi Aziz semalam (29 Ogos) dengan majoriti lima kali ganda berbanding majoriti yang diperolehi pada PRU14, menunjukkan bahawa rakyat telah menolak kuasa ketiga yang cuba diwujudkan oleh Tun Mahathir.
Calon BN telah memperoleh 10,945 majoriti berbanding dengan 2,183 semasa PRU14.

Ketika Mahathir diangkat sebagai PM Interim pada Februari lalu, dia berhasrat menubuhkan kerajaan ‘Perpaduan’ tanpa dominasi mana-mana parti.
Sebagaimana yang dia ujarkan, “Tidak akan ada entiti politik. Mungkin menjadi kerajaan tanpa parti-parti politik.”

Tiada lain yang terbongkar daripada hasratnya itu, kecuali mengangkat dirinya sebagai PM ‘diktator’ atau kuku besi yang boleh wewenangnya membuat apa jua keputusan.
Ramai penganalisis faham muslihat Mahathir tentang kerajaan ‘Perpaduan’ kerana partinya ketika itu hanyalah melukut di tepi gantang dalam PH. Malahan dia mengaku menjadi PM boneka DAP.

Hakikatnya perkara yang menjadi isu bukanlah kekuatan partinya, sebaliknya adalah kerajaan ‘Perpaduan’ yang cenderung kepada pembinaan negara pimpinan diktator, apabila kuasa mutlak jatuh ke tangan PM yang tidak termakan oleh suara rakyat yang disalurkan melalui wakil berparti.
Dengan itu juga Mahathir telah mewujudkan parti baharu ‘Pejuang’ yang bebas daripada PH, sebaliknya terus memusuhi BN dan Muafakat Nasional, dua parti yang menjadi tunjang harapan kaum Melayu.
Anehnya, dia masih mahu mempergunakan kaum Melayu atas nama ‘pejuang tanah air’ sedangkan selama ini dia mengutuk, menghina dan mencaci kaum Melayu sebagai pemalas, perasuah dan perompak.
Malahan semasa Kongres Maruah Melayu tempoh hari di Shah Alam, Mahathir masih dengan egosentriknya yang tebal, lebih mendedahkan bahawa dia adalah bukan-Melayu, apabila dengan gahnya dia masih dengan paradigma lamanya bahawa ‘Melayu pemalas’, kerana Melayu miskin tidak mengejar kekayaan dunia.

Mungkin bagi manusia seperti Mahathir kekayaan itu adalah manifestasi daripada kerajinan, tidak kiralah menipu, merompak atau menjarah leher rakyat.
Mahathir seperti ketinggalan zaman kerana masih berada pada era paradigma lama ketika dia berjaya memperbodohkan kaum Melayu dengan projek mega negara, sedangkan dia, kroni-kroninya dan anak-pinak dalam doktrin nepotisme telah berjaya menjarah kekayaan negara.
Tidak payahlah bagi rakyat membangkitkan kes BMF, Forex-BNM, Perwaja Steel yang bankrap, Maminko, Menara Kembar Petronas, MAS, polisi Penswastaan yang menjerut leher rakyat dari segenap sudut, baik institusi pendidikan swasta, hospital swasta, lebuh raya swasta, sistem komunikasi swasta, bekalan elektrik swasta, bekalan air swasta, sehingga urusan air perkumbahan pun masih mahu menghisap darah rakyat.
Semasa 22 bulan memerintah semula, dia menakut-nakutkan rakyat dengan klise ‘Malaysia akan bankrap’ dan ‘hutang negara RM1 trilion’, lantas, ‘rakyat harus ikat perut’, ‘tiada yang percuma di dunia ini’, dan ‘rakyat miskin jangan lagi mengharap bantuan kerajaan’.
Apa gunanya rakyat mengundi memilih kerajaan, sekiranya kerajaan yang dipilih tidak membantu rakyat?
Mudah sahaja untuk memperbodohkan kaum Melayu, iaitu dengan mencanangkan bahawa dia adalah anti-Yahudi, anti-Israel, anti-Barat dan mengupah media antarabangsa untuk mencanangkan bahawa dia adalah ‘panglima Islam’, wira dunia ketiga dan terkenal sebagai ‘harimau Asia’.
Semasa dia berkuasa, dia cuba menggunakan taktik yang sama apabila dia mengkritik India dalam konflik Kashmir.
Sebaliknya ia membawa dampak yang amat mengecewakan peladang kelapa sawit apabila India memboikot eksport minyak sawit Malaysia sehingga harga jatuh daripada RM3000 kepada hanya RM300 satu tan.
Jika benar mahu menjadi wira, hantarlah tentera untuk membantu Kashmir mahupun Palestin, tetapi sebaliknya Menteri Pertahanannya Mat Sabu terang-terang mendedahkan bahawa kekuatan ketenteraan Malaysia amat lemah (suatu pengakuan psywar untuk mewajarkan kerjasama ekonomi Malaysia dengan China).

Hari ini berbeza dengan zaman hipokrasi Mahathir, dunia luar dan rakyat sendiri melihat Mahathir sebagai ‘paper tiger’ malah reput dan tidak bertaring pun.
Hakikatnya PRK Slim menunjukkan bahawa Pejuang tidak mempunyai ruang di hati rakyat kecuali mereka yang masih tertipu dengan propaganda Mahathir.
Sebagaimana laungan slogan Pemuda UMNO, ‘Cukuplah Sekali Rakyat Ditipu’.
Malahan kami melihat DAP tidak menghantar wakil daripada pemimpin tertingginya dalam kempen PRK Slim, DS Anwar Ibrahim juga menolak untuk berkempen menyokong calon Pejuang, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi.
Itulah referendum rakyat kepada Pejuang dan pemimpin ketinggalan zamannya, Mahathir.
Hakikatnya rakyat menolak ‘kuasa ketiga’ Pejuang.
Apa yang rakyat lihat, kelahiran ‘Pejuang’ sama juga dengan kelahiran PPBM dahulu, hanyalah bermatlamatkan untuk memecah-belahkan kuasa politik Melayu, sebagaimana kebencian Mahathir terhadap kaum Melayu.
Mahathir juga telah berjaya memecahkan-belahkan PKR dengan mendorong kewujudan kem Azmin Ali lawan kem Anwar Ibrahim. Demikianlah juga apabila dia memecah-belahkan Bersatu, manakala terdahulu, dialah yang memecah-belahkan UMNO.

Dia membina musuh di sekelilingnya, tetapi masih ada Melayu yang berjaya diperbodohkannya apabila dia melabelkan DAP sebagai parti rasis dan cauvinis, tetapi kemudiannya menjilat ludah basinya kembali, sedangkan dia lupa Zionis-Yahudi berada di belakang DAP.
*****
Tinggalkan Jawapan