BUKA PINTU KEPADA BUKAN-MELAYU; LEBIH BAIK BUBARKAN SAHAJA BERSATU

RENCANA UTAMA

Oleh Dr Mamat Desa

Semalam 23 Ogos, TS Muhyiddin menguar-uarkan untuk membuka pintu keahlian kepada kaum bukan-Melayu termasuk ruang untuk kerusi kepimpinan dalam parti Bersatu.

Dengan itu, Bersatu terpaksa mengubah undang-undang parti yang merupakan parti khusus untuk kaum pribumi bagi mewujudkan sayapnya kepada bukan-Melayu.

Ia mungkin dilihat sebagai satu tarikan untuk mempelbagaikan sifat monoetnik Bersatu kepada polietnik selari dengan masyarakat berbilang kaum di Malaysia.

Namun pada hakikatnya Bersatu sedang nazak, banyak Bahagian telah dibubarkan dan 70% ahli dikatakan telah dan akan meninggalkan parti.

PKR telah melaksanakan keterbukaannya kepada pelbagai kaum, tapi sedihnya pemimpin kaum Melayu-Bumiputera menjadi jauh lebih kecil bilangannya daripada kaum bukan-Melayu jika dilihat pada aspek bilangan ahli parlimennya.

Walau apa jua tindakan ‘mengubah struktur etnik’ dalam Bersatu, perkara yang menjadi isu kepada rakyat dan pemerhati politik ialah, mengapakah langkah tersebut timbul di tengah-tengah kemelut ahli meninggalkan Bersatu dan banyak Bahagian telah dibubarkan?

Malahan khalayak media sedang membaca naratif lumpuhnya Bersatu Bahagian Pagoh yang menjadi kubu kuat kepada Presiden, TS Muhyiddin Yassin sendiri.

Bukan itu sahaja, malahan sejak Tun Mahathir mengisytiharkan parti barunya Pejuang Tanah Air (Pejuang), tiba-tiba sahaja berduyun-duyun ahli-ahli Bersatu daripada kaum Melayu meninggalkan Bersatu dan bergegas untuk menyertai Pejuang.

Gejala keluar parti Bersatu bukan sahaja berlaku di Pagoh, tetapi juga berlaku pada cawangan Simpang Empat Sungai Terap yang turut terbubar setelah pengerusi, ketua dan seluruh ahli jawatankuasa cawangan meletakkan jawatan.

Lebih tertekan lagi bagi TS Muhyiddin, apabila kebelakangan ini, banyak bahagian dan cawangan Bersatu di seluruh negara telah dibubarkan, manakala ahli-ahlinya turut meninggalkan parti.

Misalnya hampir 16 Cawangan Bersatu Langkawi dibubarkan, manakala trend yang sama berlaku di Hulu Langat, Jeram dan banyak Bahagian di Selangor.

Beberapa hari lalu, 24,000 ahli Bersatu Kelantan akan meninggalkan parti ciptaan Mahathir itu. Malahan pada awal Ogos, telah heboh bahawa 70% daripada ahli Bersatu akan meninggalkan parti.

Lantas, apakah ertinya sekiranya hanya 30% sahaja yang masih berpayung di bawah kuasa TS Muhyiddin, sedangkan Bersatu bukanlah parti yang besar sebagaimana UMNO mahupun PAS?

Semasa berada dalam PH, Bersatu hanyalah melukut di tepi gantang, sehingga menjadikan ia mudah untuk diperhambakan oleh DAP.

Sebagai Presiden parti, pastinya Muhyiddin merasai kedudukan beliau sebagai PM juga akan tergugat.

Mendorong parti Bersatu untuk menyertai Muafakat Nasional, tidak akan menyelesaikan masalah survival politik TS Muhyiddin apabila sokongan daripada Pagoh sendiri sudah lumpuh.

Perkara yang menjadi racun pada wajah Bersatu ialah ‘bayang-bayang Mahathir’ yang masih menghantui parti itu sehingga UMNO tidak mahu menyertai Perikatan Nasional (PN), sebaliknya membuka pintu yang luas untuk PN menyertai Muafakat Nasional, kesatuan yang telah diikat dengan piagam janji-setia antara UMNO-PAS.

Di tengah-tengah kemelut penguncupan serta layunya bunga Bersatu, UMNO telah berlapang dada untuk menerima TS Muhyiddin kembali ke pangkuannya.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, DS Tajuddin Abdul Rahman berkata, bukan sahaja Muhyiddin malah mana-mana bekas pemimpin UMNO yang lain boleh kembali semula ke pangkuan parti itu sekiranya mereka mahu.

Bukan setakat itu sahaja, UMNO juga bersedia mengubah semula keputusan pemecatan TS Muhyiddin pada 2016 tempoh hari, sekiranya beliau sudi menyertai UMNO semula.

Timbalan Presiden UMNO, DS Mohamad Hasan juga telah memberi jaminan bahawa UMNO sedia menerima kehadiran semula Muhyiddin jika beliau berhasrat menyertai parti itu.

Menurut DS Mohamed Hassan keputusan TS Muhyiddin itu akan memberi kesan positif kepada kedua-dua pihak dalam banyak perkara terutama pembahagian kerusi pada PRU15 nanti.

Dengan keterbukaan UMNO yang sedemikian tulus, amatlah baik bagi TS Muhyiddin membubarkan terus Bersatu dan menarik ahli-ahlinya untuk bersama dengan UMNO.

Apalah ertinya, jika hanya 30% sahaja yang masih setia kepada parti, sedangkan Bersatu masih dihantui oleh bayang-bayang Mahathir, yang kini dilihat sebagai hipokrit yang cuba mengangkat kaum Melayu sebagai ‘pejuang’ sedangkan dialah yang lantang menghina kaum Melayu sebagai pemalas dan ‘tidak berpendidikan’.

Segala penghinaan Mahathir terhadap kaum Melayu menjadi amat signifikan apabila dia sendiri bukan berdarah Melayu tulen.

*****

Advertisement

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

Website Built with WordPress.com.

Atas ↑

%d bloggers like this: