DEDALU DI PRK DUN SLIM

RENCANA UTAMA

Oleh Dr Mamat Desa

Penamaan calon di PRK Slim sudahpun terlaksana pada Sabtu 15 Ogos dengan pengesahan pertanding tiga penjuru antara calon BN dan dua calon Bebas.

BN mencalonkan Mohd Zaidi Aziz, manakala parti baharu yang dinamakan Parti Pejuang Tanah Air yang diasaskan oleh Mahathir, turut ghairah mahu meletakkan calon, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi, meskipun parti tersebut belum berdaftar.

Seorang lagi calon Bebas ialah Santhara Sekaran Subramaniam.

Isu yang menarik perhatian pemerhati politik ialah calon Bebas yang kononnya calon parti baharu Mahathir yang belum lagi disahkan oleh ROS dan masih terkial-kial mencari tapak.

Lebih menarik lagi apabila pihak ROS memaklumkan tiada pemohonan daripada Tun Mahathir atau wakil parti untuk mendaftarkan parti secara rasmi.

Pastinya banyak perkara yang harus diselesaikan dahulu seperti mesyuarat agung parti, pelantikan barisan eksekutif parti, penyata pertubuhan, logo, moto, dan sebagainya.

Walau bagaimanapun jika perkara asas penubuhan parti belum lagi terlaksana mengapakah puak ini masih terhegeh-hegeh meletakkan calon, ibarat dedalu memanjat induk sehingga ke pucuk, sedangkan akar tidak mencecah tanah?

Malahan kami melihat calon proksi Mahathir hanyalah tikus bagi eksperimen yang sudah diketahui dapatannya.

Pastinya mereka tidak rabun untuk menyedari bahawa sudah empat penggal DUN Slim adalah milik UMNO-BN, manakala calon lawan UMNO adalah PAS yang kini sudahpun berada dalam satu kesatuan Muafakat Nasional.

Rekod empat pilihan raya yang lalu sejak PRU ke-11 pada tahun 2004 adalah milik UMNO-BN dengan calon yang sama iaitu Datok Mohd Khusairi Abd Talib.

Kali pertamanya Bersatu bertanding adalah pada PRU14 tetapi telah kalah kepada Datok Khusairi dengan majoriti 2183 undi. Calon PAS pada PRU14 telah memperoleh 4103 undi.

Kini, Bersatu di bawah kepimpinan TS Muhyiddin Yassin, telah memberi laluan kepada calon UMNO, manakala PAS juga turut sama tidak meletakkan calon.

Pendirian politik Bersatu dan PAS yang sedemikian, adalah satu pemuafakatan yang amat baik dalam ikatan kesatuan Perikatan Nasional.

Sebelum ini, PRK di Semenyih, Rembau, Cameron Highlands, Tanjung Piai, Kimanis dan Cini, semuanya dimenangi oleh calon BN-UMNO setelah UMNO dan PAS mengikat perjanjian dalam kesatuan Muafakat Nasional.

Pada 16 Julai lalu, riuh apabila Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador mencanangkan bahawa ia akan meletakkan calon di PRK Slim itu sehingga ada yang melabelkannya sebagai biadap dan kurang ajar kerana Allahyarham Mohd Khusairi Abdul Talib baharu sahaja meninggal dunia sehari sebelumnya. Malahan jenazah belum lagi dikebumikan.

Alasan PKR, kononnya parti itu mahu membela rakyat di DUN Slim, tetapi setelah PH memerintah selama 22 bulan, apa pembelaan nasib rakyat yang telah mereka laksanakan?

Kemudian tidak pula diketahui apakah punca tunjangnya, apabila pada 26 Julai, PKR menarik balik hasrat untuk meletakkan calonnya di PRK Slim.

Namun Timbalan Pengerusi PKR, Datuk M.A.Tinagaran memberi alasan tidak mahu membebankan pengundi di tengah-tengah pandemik Covid19.

Tinagaran menegaskan bahawa waktu ini bukan masa yang sesuai untuk berpolitik sebaliknya masa paling sesuai untuk menunjukkan kematangan politik dengan meletakkan keutamaan (keselamatan) rakyat terlebih dahulu.

Lantas, adakah rakyat tidak memerlukan pembelaan ketika perit dilanda Covid19 sebagaimana alasan Farhash Wafa Salvador? 

Justeru, adakah Mahathir tidak matang atau tidakkah tindakan Mahathir meletakkan calon proksinya di PRK Slim sebagai membebankan pengundi mahupun rakyat di DUN Slim?

Pastinya Mahathir mahu bereksperimen untuk menguji pasaran terhadap parti baharunya, sedangkan parti Bersatu yang juga tidak begitu lama usianya penuh dengan huru-hara?

Anehnya, parti yang sudah berdaftar seperti PAN, DAP tidak pula mahu meletakkan calon? Adakah mereka memegang prinsip yang sama sebagaimana PKR, atau sebenarnya mereka masih takut dengan bayang-bayang Mahathir?

******

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

WordPress.com.

Atas ↑

%d bloggers like this: