
RENCANA UTAMA
Bagi pakar psikologi, rasa bersalah seseorang yang amat tinggi egosentriknya, akan menjadikan dirinya ‘defensif’ dengan kesalahan yang telah dilakukan.
Antara beberapa sifat egosentrik yang terlihat pada Mahathir adalah antara lain, pertamanya ‘memori egosentrik’ yang cenderung untuk melupakan bukti-bukti nyata dan maklumat yang tidak menyokong kebenaran.
Kedua, khalayak media dapat melihat ‘myopa egosentrik’ pada Mahathir yang menonjolkan sifat intelektualnya yang rabun pada tindakannya, bebal dan tidak mahu mengaku salah tetapi berpegang pada alasan yang cetek.
Ketiganya, ialah ‘hipokrasi egosentrik’ yang memperlihatkan Mahathir sebagai manusia yang amat cenderung untuk menafikan kenyataannya yang tidak tekal, dan berubah-ubah tentang apa yang dia percaya dengan apa yang sebenarnya telah berlaku.
Daripada premis sedemikianlah kami melihat Mahathir kini seperti ‘menegakkan benang yang basah’ apabila dia menafikan bahawa dia telah meletakkan jawatan sebagaimana yang dia hemburkan dalam sidang parlimen, empat hari lalu (13 Ogos 2020).
Mahathir telah membuat kejutan apabila dia menafikan bahawa dia telah meletakkan jawatan sebagai PM pada Februari lalu, sedangkan DYMM SPB YDP Agong terpaksa mencemar duli menitahkan semua ahli parlimen untuk memilih PM baharu.
Raja Petra Kamaruddin dalam Malaysia Today cuba membangkitkan persoalan, adakah ‘DYMM SPB YDP Agong tidak bertitah benar atau Mahathir yang berbohong’?
DYMM Agong di dalam titah-ucapan baginda semasa pembukaan Parlimen telah menghuraikan bahawa Tun Dr Mahathir telah mengadap baginda untuk meletak jawatan sebagai Perdana Menteri.
Baginda telah cuba memujuk Mahathir untuk tarik balik surat peletakan jawatan itu tetapi Mahathir enggan.
Kini, Mahathir pula memberitahu Parlimen yang dia tidak meletakkan jawatan sebagai PM. Lantas, Raja Petra mempersoalkan siapakah yang berbohong?
Malaysia Cronicle juga membangkitkan persoalan yang sama.
“Sekarang Mahathir berkata dia tidak meletakkan jawatan- dia hanya ‘tidak ada jawatan’ sedangkan dia juga berkata dia ‘tidak membuat keputusan sendirian’; Ia satu kekeliruan dan tindakan menyembunyikan penglibatannya dalam satu konspirasi.
Seseorang yang bijak (licik) seperti Mahathir sudah pastinya tahu apabila Bersatu keluar, dia dan Pakatan akan dapat menarik ahli parlimen yang lain untuk bersama dengan jumlah yang cukup – tanpa berbincang dengan rakan-rakan dalam Pakatan.
Dia memilih untuk menyerahkan kerajaan kepada Muhyiddin, dan UMNO-PAS, supaya DAP tidak dapat lagi memberikan perhatian kepada kroninya untuk menjarah wang rakyat di samping mengetepikan Anwar sebagai penggantinya.”

Suara TV pula menyiarkan pandangan penganalisis politik, Dr Kamarul Zaman Yusoff yang melihat bahawa Mahathir cuba mengelirukan rakyat dengan mendakwa kononnya dia tidak pernah meletakkan jawatan.

Sebagaimana diterbitkan dalam Harakah, Pensyarah Kanan Universiti Utara Malaysia (UUM) itu telah menyatakan pandangannya bahawa Mahathir mereka-reka naratif ‘saya terletak jawatan’ yang dianggap pelik dan mengelirukan.
Dalam tulisannya yanga amat kritis, Dr Kamarul mendedahkan beberapa kenyataan Mahathir ekoran ucapannya dalam sidang parlimen pada 13 Ogos itu.

Mahathir berkata, “Sebenarnya tak ada perletakan jawatan, saya cuma memberitahu kepada Yang di-Pertuan Agong keadaan, iaitu saya terletak jawatan, ini bukan bermakna saya buat keputusan sendiri nak letak jawatan, apabila parti saya keluar daripada Pakatan Harapan, Pakatan Harapan tidak jadi kerajaan lagi dan semua anggota Pakatan Harapan tentulah tergugur kerana tindakan itu.”
Walaupun naratif ‘saya terletak jawatan’ ini kedengaran begitu pelik, ia sebenarnya bukanlah sesuatu yang baru kerana sebelum ini, di TH Hotel, Alor Setar, pada 18 Julai 2020, pun Tun Dr Mahathir menyatakan bahawa, “Tidak benar yang saya ini letak jawatan, saya terpaksa digugur, saya digugur kerana Parti BERSATU keluar daripada Pakatan Harapan dan Pakatan Harapan jatuh tidak lagi jadi kerajaan.”
Naratif ‘saya terletak jawatan’ dan naratif ‘saya terpaksa digugur’ adalah cubaan Mahathir memberikan gambaran kepada rakyat jelata kononnya apa yang dia lakukan pada 24 Februari 2020 adalah sesuatu yang betul serta berpunca daripada tindakan pihak lain, dan bukannya daripada kemahuan beliau.
Bagi Dr Kamarul ia hanyalah satu kekarutan semata-mata.
Naratif Tun Dr Mahathir ini adalah sesuatu yang amat jauh menyimpang daripada naratif awal beliau bahawa perlakuan beliau ini adalah sesuatu yang silap.
Naratif bahawa perlakuan beliau ini adalah sesuatu yang silap jelas terbukti dalam kenyataannya, “Sebagai manusia biasa saya tidak sunyi dari melaku kesilapan, saya pohon maaf jika peletakan jawatan oleh saya adalah salah” dalam Perutusan Khas selaku Perdana Menteri Interim pada 26 Februari 2020.
Mahathir turut mengada-adakan naratif ‘saya terpaksa digugurkan’ semata-mata mahu memberikan gambaran kepada rakyat kononnya apa yang dilakukannya pada 24 Februari lalu adalah tindakan yang berpunca daripada usaha pihak lain, bukan daripada kemahuannya.
Fakta sebenar kejadian ialah peletakan jawatannya dibuat sebelum tindakan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin membawa parti itu keluar daripada Pakatan Harapan (PH) iaitu pada 13.00 , 24 Februari.
Manakala Muhyiddin membawa Bersatu keluar daripada PH pula hanya dibuat pada 14.04 pada tarikh yang sama.
Demikianlah antara sifat egosentrik manusia yang bernama Mahathir. Dia tidak dapat menerima kesalahannya, lantas, dia meneroka kembali memori egosentrik yang cenderung untuk melupakan bukti-bukti nyata kesalahannya dan menolak kebenaran.
Dalam konteks myopa egosentrik dia tidak mahu mengaku salah dengan berdolak-dalik di sebalik wacana intektual yang cetek.
Dia juga tidak tekal dengan pendiriannya sebagai manusia yang ada penyakit ‘hipokrasi egosentrik’. Tidak hairanlah, ramai musuh politik Mahathir melihatnya sebagai pemimpin yang kerap membuat ‘U-turn’.
Dia amat cenderung menafikan kenyataan awalnya yang tidak tekal, dan berubah-ubah. Ia bertentangan daripada apa yang dia percaya, dengan apa yang sebenarnya telah berlaku.
*****
Tinggalkan Jawapan