
RENCANA UTAMA
Dua hari lalu Pengasas parti Bersatu Pagoh, Abd Wahab Ibrahim telah mengisytiharkan keluar parti bersama-sama dengan 1,000 ahli yang lain, berkuat kuasa serta-merta, sebagai satu protes terhadap presidennya, TS Muhyiddin Yassin.
Pagoh adalah kubu kuat TS Muhyiddin, baik semasa beliau bersama UMNO, mahupun ketika beliau menang di bawah PH semasa PRU14 yang lalu.

Gejala keluar parti Bersatu bukan sahaja berlaku di Pagoh, tetapi juga berlaku pada cawangan Simpang Empat Sungai Terap yang turut terbubar setelah pengerusi, ketua dan seluruh ahli jawatankuasa cawangan meletakkan jawatan.
Lebih tertekan lagi bagi TS Muhyiddin, sehari-dua kebelakangan ini, banyak bahagian dan cawangan Bersatu yang dibubarkan, manakala ahli-ahlinya turut meninggalkan parti.

Misalnya hampir 16 Cawangan Bersatu Langkawi dibubarkan, manakala trend yang sama berlaku di Hulu Langat, Jeram dan banyak Bahagian di Selangor.
Tidaklah diketahui sejauh manakah pemberat dan dampaknya terhadap sokongan ahli di Pagoh terhadap Muhyiddin, namun sekiranya cawangan sendiri pun sudah lumpuh, apatah lagi situasinya di seluruh negara?

Sebagai Presiden parti, pastinya Muhyiddin merasai lumpuhnya sokongan ahli-ahli bersatu terhadap beliau, lantas bagaimanakah kedudukan beliau nanti, lebih-lebih lagi sebagai presiden parti dan juga PM.
Mendorong parti Bersatu untuk terus relevan dengan cara menyertai Muafakat Nasional, tidak akan menyelesaikan masalah survival politik TS Muhyiddin apabila sokongan daripada Pagoh sendiri sudah lumpuh.
Adakah untuk mempertahankan kerelevanan kekuatan politiknya maka TS Muhyiddin dilihat lebih rasional untuk kembali semula kepada UMNO?
Walau bagaimanapun sejauh mana pula UMNO sudi menerima pemimpin yang pernah dibuang keluar daripada parti?
Keseluruhan rakyat, dengan mengetepikan ahli Bersatu Pagoh, pastinya mahu TS Muhyiddin terus kekal utuh dan mantap untuk memimpin negara.
Namun sekiranya, sokongan ahli parti sendiripun sudah lumpuh dan goyah, lebih-lebih lagi kubu kuatnya di Pagoh, bagaimanakah survival TS Muhyiddin nanti?
Dalam sistem demokrasi berparti, seorang Perdana Menteri hendaklah benar-benar kukuh dan perkasa dalam partinya, malahannya partinya juga hendaklah dominan dalam komponen kesatuan parti-parti pemerintah.
Jika tidak, maka gejala ‘boneka’ sebagaimana Tun Mahathir mengakui dia hanya boneka DAP, akan berulang kembali.
******
Tinggalkan Jawapan