SENGAJA TERBALIKKAN JALUR GEMILANG ADALAH MANIFESTASI KEBENCIAN KEPADA NEGARA

RENCANA UTAMA

Oleh Dr Mamat Desa

Kes bendera Jalur Gemilang dikibarkan terbalik yang dikesan di sana-sini atas alasan tidak disengajakan, boleh dimaafkan begitu sahaja kerana kesilapan.

Inilah antara contoh kelemahan penguatkuasaan undang-undang negara yang akhirnya mewujudkan tabiat melampau, kerana tiada tindakan tegas yang dikenakan kepada sikap biadab terhadap lambang maruah negara.

Malahan ia adalah kebiadaban melampau yang boleh diterjemahkan sebagai manifestasi kebencian terhadap negara.

Pihak kerajaan sewajarnya tidak boleh berkompromi atau memberi muka terhadap golongan ini, kerana ia membabitkan maruah negara, kecintaan terhadap negara, di samping mengangkat simbolik yang diwakili oleh setiap lambang yang wujud pada Jalur Gemilang itu.

Lambang ‘Anak Bulan’ yang tertera pada Jalur Gemilang adalah lambang agama Islam sebagai agama rasmi negara, manakala ‘Bintang 14 Bucu’ adalah lambang perpaduan 13 buah negeri dan Kerajaan Persekutuan.

Kuning yang menjadi warna kedua-duanya adalah lambang kedaulatan Raja-Raja Melayu dalam sistem demokrasi Raja Berperlembagaan.

Lantas apabila ia diterbalikkan maka, penghormatan terhadap agama Islam, kedaulatan Raja-Raja dan ikatan perpaduan 13 buah negeri dengan kerajaan Persekutuan juga turut diterbalikkan dengan tafsiran bahawa ketiga-tiga nilai tersebut tidak bererti dan tidak dihormati sama sekali.

Manifestasi kebencian terhadap negara dengan menjadikan Jalur Gemilang sebagai bahan meluahkan kebencian mereka, datang seiring dengan sambutan Hari Kebangsaan atau Hari Kemerdekaan Negara yang kini sudah kali ke-63.

Pada Ogos tahun lalu, Jalur Gemilang telah didapati dipasang terbalik oleh pengurusan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Bukit Koman, Raub Pahang. Ini bukanlah kes pertama, tetapi sekadar contoh dalam isu berkenaan.

Namun PDRM bersetuju bahawa ia merupakan satu kesilapan ‘yang jujur’ dan dikatakan dipasang oleh warga asing yang tidak faham struktur Jalur Gemilang.

Mengapakah ia tidak dipantau, sebaliknya dibiarkan begitu sahaja, sehinggalah dikesan oleh orang awam dan membangkitkan kemarahan ramai yang cintakan negara?

Malahan pihak berkuasa membidas orang awam yang berasa kecewa dengan kebiadaban ini dengan kenyataan supaya “semua pihak jangan cepat melatah dan jangan ada yang mengeksploitasi kes sedemikian tanpa mendapatkan fakta sebenar,” sebagaimana dilaporkan BH Online.

Lebih menyakitkan hati, apabila sebuah syarikat telah membekalkan Jalur Gemilang yang dipasang terbalik kepada pihak sekolah, dan alasan yang serupa diberikan bahawa pihak pembekal tersilap pasang.

Kemudian tahun ini, Jalur Gemilang telah didapati dipasang terbalik di sebuah Gereja di Klang, dan sebagaimana biasa, alasannya ia satu kesilapan yang tidak disengajakan.

Pada 4 Ogos baru-baru ini, lagi sekali kes pemasangan terbalik Jalur Gemilang, tetapi kali ini berlaku di Sek Jenis Kebangsaan Cina Jalan Kapar di Klang Utara.

Namun sebagaimana biasa ia didakwa tidak sengaja dan lagi sekali ia dikatakan dipasang oleh pekerja asing yang tidak faham dan tidak tahu tentang struktur Jalur Gemilang.

Satu perkara yang selari, ia berlaku di sekolah Jenis Kebangsaan Cina juga. Adakah kebiadaban begini yang mahu dididik oleh sekolah Cina terhadap generasi muda mereka?

Kontradik dengan sikap ‘memaafkan’ oleh pihak berkuasa sebelum ini, KP Johor, Datuk Ayob Khan telah memberi amaran bahawa tindakan tegas akan diambil kepada mana-mana pihak yang didapati memasang Jalur Gemilang secara terbalik, tanpa amaran dan kompromi.

Datuk Ayob Khan merujuk kepada kertas siasatan di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan atau Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 akan dibuka terhadap mereka yang masih tidak tahu menghormati bendera negara sendiri.

Kenyataan Datuk Ayob Khan adalah ekoran tertularnya gambar Jalur Gemilang yang dipasang secara terbalik di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) di Kluang, Johor.

Pemimpin lembaga pengelola sekolah, Lee Siong Moon berkata, kesilapan itu berpunca daripada seorang pekerja am yang berumur 50 tahun.

Bagaimanapun, Ayob Khan berkata, tindakan meletakkan kesalahan itu ke atas pihak lain adalah tidak wajar dan tidak bertanggungjawab.

Anehnya ia berlaku lagi di sekolah Jenis Kebangsaan Cina meskipun kita sudah merdeka dan akan menyambut perayaan kemerdekaan yang ke-63. Mengapa?

Hari ini (12 Ogos) PDRM Johor telah menahan empat individu yang dipercayai memasang Jalur Gemilang dan bendera Johor secara terbalik di sebuah kilang perabot di Tebrau.

Pihak polis tidak akan lagi menerima sebarang alasan dan menahan bukan sahaja pihak yang menaikkan bendera, malahan juga pemilik premis.

Pastinya ia satu pengajaran terhadap pihak lain yang biadab terhadap lambang maruah negara.

Rakyat pasti mengalu-alukan tindakan yang lebih tegas, dan bukan hanya sekadar denda RM100, yang meletakkan maruah negara sama dengan harga ikan patin Sungai Pahang.

******

Advertisement

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

Website Built with WordPress.com.

Atas ↑

%d bloggers like this: