TINDAKAN MENGHALAU RAYHAN KABIR AMAT WAJAR DAN TEPAT SEKALI

RENCANA UTAMA

Oleh Dr Mamat Desa

“Kaum Melayu melayani pekerja asing dengan baik? Celaka kamu. Kamu orang Melayu adalah najis yang tidak berharga dan tidak tahu membuat kerja, kamu banyak bergantung kepada kami. Tanpa kami negara kamu tidak punya apa-apa. Kamu layan kami seperti binatang.”

Itulah antara cacian, maki-hamun dan sumpah-seranah lelaki pekerja asing warga Bangladesh, Rayhan Kabir, terhadap kaum Melayu dan negara Malaysia sambil menunjukkan simbol jari tengah (mencarut) pada jalur gemilang sebagaimana yang tercatat dalam FB yang dipercayai miliknya.

Kemudian tercetus pula kenyataan lelaki Bangladesh itu bahawa kerajaan Malaysia melayan PATI seperti binatang, sebagaimana yang disiarkan dalam video dokumentari Al-Jazeera di bawah judul ‘Locked Up in Malaysia’s Lockdown’ yang tersiar pada 3 Julai lalu.

Al-Jazeera seperti gagal melihat kes Covid19 yang menular di Singapura berpunca daripada kluster pekerja asing. Demikianlah juga dengan kes Covid19 di India, Bangladesh, Myanmar dan Indonesia yang amat tinggi.

Dari sudut lain, pasti ramai penganalisis politik dan geopolitik tertanya-tanya negara manakah di dunia ini yang akan melayan pendatang haram atau PATI seperti anak kesayangan atau tetamu kehormat?

Lantas, apakah hak pendatang haram yang menuntut ‘hak asasi manusia’ supaya mereka dilayan seperti pelancong asing, sedangkan kemasukan mereka ke negara inipun adalah satu pencabulan undang-undang.

Malahan telah wujud fobia dalam kalangan rakyat tempatan tentang sikap ganas mereka, seperti kes pembunuhan gadis Melayu di Shah Alam suatu ketika dahulu yang ditikam 13 kali oleh lelaki warga Bangladesh.

Terdapat juga penduduk tempatan yang apabila mencari rumah sewa sering bertanya adakah kawasan itu diduduki ramai pendatang asing terutamanya Bangladesh. Jika sekiranya ramai pekerja Bangladesh, mereka tidak akan mahu menyewa rumah di kawasan itu kerana fobia dengan tabiat buruk golongan berkenaan.

Terdapat lebih 42,000 kes jenayah mengikut rekod PDRM yang melibatkan pendatang asing sejak 4 tahun kebelakangan ini.

Lantas, adakah gejala fobia rakyat tempatan terhadap PATI tidak berasas?

Justeru, adakah logik sekiranya golongan PATI itu menuntut layanan istimewa diberikan kepada mereka seperti pelancong asing.

Pihak keselamatan negara pastinya tidak melayan golongan PATI yang memasuki negara ini secara haram, dengan layanan istimewa sebagaimana pelancong asing. Namun, pihak keselamatan juga tidaklah melayan mereka sebagaimana ‘binatang’.

Dengan itu juga tuduhan lelaki Bangladesh, Rayhan Kabir yang telah dibatalkan permit kerjanya, adalah satu tuduhan yang melampau dan tidak boleh dianggap enteng.

Kes menuduh pihak keselamatan melayan mereka sebagaimana melayan binatang tidak boleh sama sekali ditoleransikan.

Ia tidak semudah mendapatkan pembelaan daripada Kedutaan Bangladesh, menuntut maaf daripada pihak pelaku, atau menuntut pembelaan pertubuhan ‘hak asasi manusia’ sedangkan kehadiran PATI sudah banyak menambahkan kesengsaraan rakyat tempatan, baik dari aspek perlumbaan pekerjaan kelas rendah, ekonomi sektor perniagaan runcit, mahupun kemudahan awam seperti sekolah, hospital, tempat tinggal, pengangkutan awam dan lain-lain lagi.

Kepada pihak Suruhanjaya Hak Asasi Manusia serta pertubuhan yang cuba mahu menjadi juara ‘kemanusiaan’ yang berkiblatkan Barat, mereka hendaklah melihat bagaimana layanan buruk kaum kulit putih Amerika dalam kes pembunuhan George Floyd.

Lebih baiklah mereka menyibuk di sana dan jangan mudah terpengaruh dengan manusia bongkak seperti Rayhan Kabir yang tidak tahu berterima kasih terhadap negara yang sudi menjadi periuk nasinya.

Amat wajar sekali lelaki biadap Bangladesh itu dihalau kembali ke negaranya dan diharamkan terus daripada menjejakkan kaki di bumi Malaysia ini.

*****

Advertisement

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

Website Built with WordPress.com.

Atas ↑

%d bloggers like this: