
RENCANA UTAMA
Oleh Dr Mamat Desa
Dalam keadaan mereka terkial-kial mahu merampas semula kuasa daripada TS Muhyiddin Yassin dan Perikatan Nasional, DAP mencapai apa sahaja dahan dan ranting yang boleh dijadikan tempat mereka bergantung.
Setelah PRK Tanjung Piai menjadi referendum kemarahan kaum Cina terhadap DAP, maka tiada jalan lain lagi kecuali mengangkat semula isu UEC (Sijil Peperiksaan Bersepadu Sekolah Menengah Cina) untuk memenangi hati kaum Cina.

Melalui ADUN Sungai Pelek, Ronnie Liu, DAP menuntut TS Muhyiddin Yassin menunaikan janji untuk mengiktiraf UEC yang selama ini tidak diperakui oleh kerajaan dan universiti awam kerajaan.

Namun banyak iklan kerja kosong daripada organisasi dan syarikat Cina hari ini menuntut pemohon memiliki kemahiran bahasa Mandarin. Itulah modus operandi mereka mengangkat lulusan UEC dan sekaligus menolak pemohonan calon Melayu.
Anehnya mengapakah Ronnie Liu, megapa tidak Setiausaha Agung, Lim Guan Eng, mengapa tidak pemimpin d’facto Lim Kit Siang atau Pengerusi Seumur Hidup DAP, Dr Chen Man Hin, atau Pengerusi Kebangsaan Tan Kok Wai atau Timbalan Pengerusi Gobind Singh Deo mahupun Naib Pengerusi Kebangsaan Tengku Zulpuri Raja Puji?
Ronnie Liu hanyalah ADUN Sungai Pelek yang dilihat sebagai anai-anai DAP dan bukannya harimau sebagaimana Lim Guan Eng, Gobind Singh Deo dan Tengku Zulpuri.
Balasannya, Ronnie seperti ‘ditempeleng’ oleh TS Muhyiddin apabila beliau menegaskan tiada perjanjian dibuat oleh kerajaan untuk mengiktiraf UEC.
Kerajaan sebelumnya telah memberikan pengiktirafan kepada lulusan UEC hanya untuk mengikuti program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (Bahasa Cina) di institut Pendidikan Guru Malaysia.
Sebelum ini Timbalan Setiausaha Agung DAP, Nga Kor Ming pernah mengugut Tun Mahathir bahawa DAP akan bertindak keluar daripada PH sekiranya UEC tidak diberikan pengiktirafan.
Kata Kor Ming sebagaimana dilaporkan oleh Oriental Daily, “Malahan kita telah mencapai kesepakatan bahawa DAP tidak akan teragak-agak keluar dari kerajaan jika UEC tidak diiktiraf.
“Tidak kisah jika kita tiada lagi dalam gabungan parti pemerintah. Ini prinsip yang kita pegang.”
Kor Ming meluahkan ugutan itu hanya beberapa hari setelah Tun Mahathir memegang portfolio Kementerian Pendidikan untuk menguatkan dakwaan bahawa Mahathir hanyalah boneka DAP.
Sebelumnya dalam kempen PRU14, Nga Kor Ming telah menghina Tun Mahathir sebagai kuda tunggangan DAP yang tidak lama lagi akan mati dan bertemu Lee Kuan Yew di dalam kubur, dan mereka boleh bersama bermain mahjong.
Namun apabila UEC masih tidak diiktiraf, mengapakah DAP tetap tidak meninggalkan PH?
Sama sahaja apabila pemimpin d’facto DAP, Lim Kit Siang bertaruh bahawa dia akan bersara sepenuhnya sekiranya Mahathir tidak menyerahkan kerusi PM kepada Ds Anwar Ibrahim.
Namun sehingga hari ini, setelah kerusi PM menjadi milik TS Muhyiddin Yassin, Lim Kit Siang tidak pula bersara.
Rendahnya nilai UEC kepada kerajaan, apabila TS Muhyiddin Yassin tidak mahu melayan tuntutan Ronnie Liu mahupun ugutan Nga Kor Ming
Mat Sabu telah cuba membela kenyataan Kor Ming itu sebagai pandangan peribadinya dan bukan hasrat utama DAP.
Namun rakyat jelata tidak buta dan tuli kerana Nga Kor Ming mengatakan bahawa kenyataannya dibuat melalui kata sepakat pemimpin DAP.
DAP tidak payahlah hendak beretorik, kerana tiada mana-mana bahagian dalam Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan bahawa sijil pendidikan Cina yang berteraskan kurikulum yang diimport dari Taiwan yang tiada nilai ‘nasionalisme’ untuk diiktiraf oleh kerajaan.
Kewujudan sekolah vernakular Cina beginilah yang merosakkan integrasi nasional, sebaliknya menyuburkan rasisme, sehingga ada ahli parlimen DAP seperti Kula Segaran, hendak membaca kosa kata ‘rangsangan’ pun terkial-kial kerana bodoh tentang bahasa kebangsaan.
DAP cuba menggunakan alasan bahawa negara luar mengiktiraf UEC.
Namun sebagaimana hujah Professor Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim, mana-mana pihak tidak perlu menggunakan alasan pengiktrafan UEC oleh negara-negara luar untuk ‘membawa’ UEC masuk ke dalam sistem pendidikan Malaysia kerana ia amat bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

UEC juga adalah bertentangan dengan Laporan dan Penyata Rahman Talib, apatah lagi Laporan Razak 1961 dalam hal memperkasakan sistem pendidikan Malaysia.
Jauh lebih mencelakakan, sistem pendidikan vernakular adalah racun kepada integrasi nasional dan dengan itu ia dilihat sebagai ‘anti-nasional’ dan bertentangan dengan semangat kebangsaan Malaysia.
Sebagaimana kata Prof Dr Ridhuan Tee, “Mengiktiraf UEC sama dengan mengiktiraf komunisme”.

Pukulan yang paling terkesan ke atas DAP ialah apabila bekas Pengerusi Media Prima, TS Johan Jaafar melabelkan DAP sebagai liabiliti kepada kerajaan PH.

Kata TS Johan, “Saya tidak terkejut sekiranya banyak pemimpin Melayu dalam PH mulai menyesal mempunyai rakan sekutu seperti DAP dalam pakatan itu. Mereka malah percaya, keadaan mungkin lebih baik tanpa DAP.”
Dengan itu, tidak usahlah DAP, dengan mewakilkan anai-anai mereka untuk menjerit-melalak supaya UEC diiktiraf kerajaan.
*****
Tinggalkan Jawapan