RENCANA UTAMA
Oleh Dr Mamat Desa
Bekas Menteri Belia dan Sukan PH, Syed Saddiq, telah memfailkan saman terhadap PM TS Muhyiddin Yassin berhubung pemecatan keahlian serta jawatannya dalam PPBM pada 9 Jun lalu.
TS Muhyiddin disaman atas kapasiti beliau sebagai Presiden dan pemangku Pengerusi PPBM.
Turut disaman adalah Pendaftar Pertubuhan (RoS) kerana RoS telah mengesahkan pengguguran Tun Mahathir sebagai ahli dan Pengerusi PPBM.
Syed Saddiq memohon deklarasi mahkamah bahawa beliau adalah ahli dan Ketua Armada parti itu yang sah, meskipun beliau telah menyertai Tun Mahathir dalam blok pembangkang dan tidak lagi bersama kerajaan pimpinan TS Muhyiddin.
Anehnya, Syed Saddiq lupa bahawa fasal 10.2 dan 10.2.6 Perlembagaan PPBM melarang ahli daripada membawa sebarang kes parti ke mahkamah. Malahan ahli parti yang bertindak sedemikian boleh secara serta-merta terlucut keahliannya.

Menurut Pengerusi Lembaga Disiplin PPBM, Tan Sri Megat Najmuddin Megat Khas, semua ahli dan pemimpin harus menyedari perkara itu memandangkan mereka sendiri yang menggubal perlembagaan parti.
Tun Mahathir telah disahkan oleh RoS, meletakkan jawatannya melalui surat rasmi kepada RoS, dan dengan itu juga jawatan Mahathir sebagai Pengerusi PPBM telah disahkan terlucut.

Justeru, adalah sah dari segi undang-undang bahawa jawatan Pengerusi PPBM dipangku oleh Presiden parti, TS Muhyiddin Yassin, sehingga pemilihan parti diadakan semula sebagaimana dicatatkan dalam surat rasmi RoS kepada Setiausaha Kerja PPBM Kapten (B) Muhammad Suhaimi Yahya.

Syed Saddiq yang telah kehilangan jawatan sebagai Menteri Belia dan Sukan apabila tumbangnya kerajaan PH pada Mac lalu, turut berada dalam blok Mahathir dan menentang TS Muhyiddin yang telah ditabalkan sebagai PM oleh DYMM Agong.
Harapan Mahathir dan kumpulannya untuk menuntut kembali kuasa PM dengan dakwaan bahawa mereka mempunyai sokongan 130 ahli parlimen yang membentuk majoriti, melalui usul undi tidak percaya, turut meleset apabila PKR dan DS Anwar Ibrahim menolak sokongan terhadap Mahathir.
DS Anwar dan PKR tidak lagi mahu dipermainkan Mahathir, manakala Majlis Presiden PH pada 6 Julai, sebulat suara menyokong DS Anwar sebagai PM, sekiranya PH menang PRU15 yang dijangkakan diadakan tidak lama lagi.

Perubahan landskap politik PH ini mungkin telah mendorong Syed Saddiq untuk menarik balik samannya terhadap TS Muhyiddin Yassin dan RoS. Malahan fasal 10.2 dan 10.2.6 perlembagaan parti, pastinya akan menyebabkan saman tersebut tidak relevan.
Syed Saddiq juga seperti terperangkap dengan pelbagai kemelut yang mendesaknya untuk menarik balik saman ke atas TS Muhyiddin.

Antaranya kemelut Saddiq adalah kes kehilangan wang tunai sejumlah RM250,000 daripada peti simpanan peribadinya serta isu RM120,000 milik Armada yang disimpan dalam akaun ASB peribadinya.
Pada Feb lalu, Saddiq juga telah menghadapi tekanan apabila jawatan Ketua Armada PPBM akan dicabar apabila dia didakwa lemah dalam mengendalikan Armada.

Antara tokoh yang mencabar kedudukan Saddiq ialah Exco Armada Mohd Muzzammil Ismail setelah dia melihat kegagalan dan kepincangan Syed Saddiq dalam mengemudi Armada sehingga dikatakan kehilangan sokongan generasi muda.
Muzzammil yang juga felo akademik Universiti Utara Malaysia, telah merujuk kemerosotan sokongan generasi muda dalam beberapa pilihan raya kecil (PRK) di Semenyih, Cameron Highlands, Tanjung Piai, Rantau dan Kimanis.
Walau bagaimanapun ramai penganalisis percaya bahawa kekalahan PH bukan kerana merosotnya sokongan kepada Armada, sebaliknya ia didorong oleh kegagalan kerajaan PH dalam mentadbir negara, penuh dengan janji palsu, pembohongan, fitnah dan penyelewengan.
Tindakan Saddiq untuk menarik balik saman terhadap TS Muhyiddin dan RoS, pastinya dilihat sebagai tindakan terdesak untuk menyelamatkan dirinya yang terperangkap apabila PH kini sudah kehilangan hala tuju dan penuh dengan huru-hara perebutan kuasa. Saddiq sendiri kini berada dalam radar SPRM.
Majoriti penganalisis, malahan rakyat sendiri percaya, amat mustahil PH akan diberikan semula mandat rakyat, setelah apa yang berlaku ketika 22 bulan PH berkuasa.
Era politik Mahathir juga dikatakan sudah berakhir.
*****
Tinggalkan Jawapan