
Oleh Dr Mamat Desa
PH sebenarnya sedang mengalami paranoia (dihantui rasa takut) apabila mandat rakyat yang mereka laung-laungkan tidak lagi wujud setelah UMNO bergabung dengan PAS dalam ikatan ‘Muafakat Nasional’.
Paranoia itu menyebabkan mereka amat takut dan menggeletar sekiranya parlimen dibubarkan, kerana rata-rata rakyat terutamanya daripada kaum Melayu sudah sedar tentang fitnah dan pembohongan PH-DAP.
Rakyat juga sedar bahawa Mahathir hanyalah dijadikan kuda tua tungangan sebagaimana bidalan kaum Cina, dan kini kuda tua itu telah menendang mereka jatuh ke bumi.

Lihat sahaja lima PRK terakhir di Semenyih, Cameron Highlands, Rantau, Tanjung Piai dan Kimanis yang menjangkau Selangor, Pahang, Negeri Sembilan, Johor dan Sabah, semuanya merupakan referendum bahawa PH tiada lagi mendapat mandat rakyat sebagaimana mereka laung-laungkan.

Pada PRU14 yang lalu, BN telah menang 79 kerusi Parlimen bagi pertandingan tiga penjuru yang melibatkan BN, PAS dan PH.
Namun sekiranya BN bergabung dengan PAS dalam ikatan ‘Muafakat Nasional’, kemenangan di 79 kerusi Parlimen tersebut akan bertukar menjadi 126 dalam pertandingan satu lawan satu.
Dengan itu di manakah letaknya mandat rakyat yang dilalak oleh PH?
Di Parit Buntar misalnya Dr Mujahid hanya mendapat 16,753 undi dengan majoriti 3098, manakala BN mendapat 13,655 dan PAS mendapat 12,312 undi.
Dengan itu Muafakat Nasional yang menggabungkan undi BN dan PAS akan mendapat 25,967 undi dengan majoriti 9214 kira-kira 300% daripada apa yang Mujahid telah peroleh.

Demikianlah juga keputusan yang akan berubah sekiranya Muafakat Nasional bertanding di Tambun, Lumut dan Tanjung Malim.
Pola yang sama akan berlaku di Pahang, khususnya di Parlimen Raub, Indera Mahkota, Kuantan dan Temerloh.
Demikianlah juga di Parlimen Kuala Selangor, Kapar, Titiwangsa, Kuala Pilah, Sri Gading dan Putatan.
Semua kerusi Parlimen tersebut akan jatuh ke tangan Muafakat Nasional dengan majoriti yang jauh lebih signifikan berbanding dengan majoriti yang diperoleh oleh PH.
Kemenangan PH pada PRU14, juga dilihat lebih kepada sokongan undi protes dan penolakan daripada penyokong Melayu yang sebenarnya tertipu dengan dakyah PH dengan fitnah GST, 1MDB, hutang negara RM1 trilion, penghapusan tol, penghapusan PTPTN dan fitnah jahat mereka terhadap PM DS Najib yang hakikatnya telah berjaya melonjakkan pencapai ekonomi negara di tangga kedua terbaik Asia Tenggara.
Lantas, di manakah letaknya ‘mandat rakyat’ yang dituntut oleh PH-DAP?

Sebagaimana dongeng mereka tentang angka 111+ yang membentuk sokongan majoriti parlimen terhadap Tun Mahathir, sedemikian jugalah dongeng mereka terhadap ‘mandat rakyat’ yang telah mereka perkosa, cabuli dan nodai.
Hari ini, PH dan pemimpin mereka merayu-rayu dan merengek-rengek supaya parlimen tidak dibubarkan, kerana mereka tahu PH-DAP tidak akan dapat mengalahkan Muafakat Nasional, apatah lagi apabila sebahagian besar daripada parti Bersatu telah berpihak kepada Muafakat Nasional.
Kedudukan PKR juga amat goyah apabila banyak ahli-ahli PKR yang telah keluar parti, manakala penyokong kem DS Azmin Ali telah turut serta meninggalkan PKR.

Dalam kandang PH sendiri, DS Anwar Ibrahim nampaknya tidak mendapat sokongan DAP dan Amanah untuk diangkat sebagai PM.

Sekiranya gabungan dalam PH juga tumbang, apabila terdapat desakan supaya PKR meninggalkan PH, simbol apakah yang akan digunakan oleh DAP dan Amanah semasa PRU15 nanti?
Apa yang kami lihat semasa PRU14, pengundi juga tertipu dengan simbol PKR yang telah digunakan oleh DAP, Amanah dan PPBM.
Pemimpin PH menolak pembubaran parlimen agar mereka kembali berkuasa dengan dongeng ‘mandat rakyat’ supaya mereka diberikan lagi masa untuk merompak, menjarah, dan menyeludup masuk ke badan-badan kerajaan dengan anggota mereka yang rakus untuk memadamkan ‘hak Melayu-Bumiputera’, menjual aset Tabung Haji dan Khazanah wewenangnya, membuang penjawat awam dan menghentikan BR1M dengan alasan negara hampir bankrap.

Namun bagi rakyat dan penyokong tegar Muafakat Nasional, pembubaran parlimenlah jalan yang paling baik untuk mengembalikan mandat rakyat secara terhormat, mulia dan bermaruah.
*****
Tinggalkan Jawapan