Sekutu dalam PH masih tidak serik dengan kemelut politik yang mereka cipta ketika 22 bulan berkuasa.
Kini mereka masih bertelagah tentang calon PM sekiranya PH berjaya merampas semula Putrajaya.
Apabila Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad mengeluarkan kenyataan bahawa PH telah mengenal pasti calon PM, sekiranya berjaya merampas semula Putrajaya, dia disanggah dan dibantah keras oleh sekutu PH yang lain.

Kenyataan Khalid Samad sebagaimana dilaporkan oleh Malaysiakini, seperti menyarankan bahawa semua pihak dalam PH telah membuat keputusan memilih Tun Mahathir semula.
Kenyataan Khalid, yang terkenal dengan mulut celuparnya, mendapat bantahan keras daripada Ketua PKR Perak, Farhash Wafa Salvador, kerana Khalid seperti mengangkat nama Tun Mahathir sebaliknya menyingkirkan nama DS Anwar Ibrahim.
Dengan optimisnya Khalid seperti menidakkan tuntutan PKR untuk mengangkat DS Anwar sebagai PM.
Malahan PKR menolak Mahathir yang dilihat oleh sebahagian daripada sekutu PH sebagai punca tumbangnya ‘kerajaan 22 bulan’ itu.

Khalid membuat kesimpulan bahawa persetujuan telah dicapai kerana PH yakin pasti dapat merampas kembali kuasa pemerintahan daripada PN kononnya kerana pengkhianat dalam PH telah dinyahkan khususnya daripada kem DS Azmin dalam PKR dan kem TS Muhyiddin dalam Bersatu.

Namun kecenderungan Khalid untuk mengangkat Mahathir sebagai PM lagi sekali akan mengundang konflik Mahathir-Anwar sebagaimana krisis dalam PH sepanjang 22 bulan mereka berkuasa.
Hanya beberapa jam, selepas Khalid memberi isyarat bahawa Mahathir akan diangkat semula, pembantu politik DS Anwar, Farhash Wafa terus membantah sebagaimana dilaporkan oleh The Star.

Nampaknya krisis PH terbakar semula apabila Farhash menyifatkan kenyataan Khalid sebagai langsung tidak menghormati kedudukan Anwar sebagai pemimpin pilihan pembangkang.
Adakah kenyataan Khalid itu benar-benar mewakili seluruh suara dalam gabungan PH?
Sedangkan semuanya sedar bahawa Mahathir telah dengan terang-terang meletakkan jawatannya sebagai PM, lantas keluar daripada PH yang mengakibatkan tumbangnya kerajaan 22 bulan itu.
Farhash tidak mahu kemelut politik dan krisis Mahathir-Anwar berulang, tetapi nampaknya belum lagi PH berkuasa semula, api krisis telah mula dinyalakan Khalid.
Farhash menegaskan bahawa, meskipun Khalid tidak mahu menamakan Anwar sebagai PM, tetapi dia harus lebih peka tentang kenyataannya yang memburukkan situasi semasa.
Farhash melihat bahawa hubungan parti komponen PH sangat baik dan bebas daripada pemimpin hipokrit seperti Mahathir.
Khalid sepatutnya tidak mempertikaikan pendirian PKR untuk mengangkat DS Anwar sebagai calon PM.
Walaupun penyokong DS Anwar menggesa agar Mahathir mengundurkan diri pada akhir tahun 2020 ini ketika PH masih berkuasa, ia telah ditolak oleh pemimpin yang menjadi konco Mahathir yang sudah terlalu tua (nanogenarian) untuk memimpin negara.
Malahan Mahathir telah membayangkan bahawa dia mungkin akan terus berkuasa sehingga tamat penggal mahupun penggal yang akan datang dan dia tidak mahu sesiapa mendesaknya untuk berundur.
PH masih melaung-laungkan klise ‘amanat rakyat’ yang mereka perolehi pada Mei 2018, tetapi mereka lupa bahawa ‘amanat rakyat’ itu telah mereka cabul dan nodai. Apatah lagi apabila Mahathir sendiri mengaku dia adalah boneka DAP.

Nampaknya krisis siapa PM, masih membara dan membakar dalam PH.
Sedangkan Anwar mahupun Mahathir masih tidak sedar bahawa rakyat, khususnya kaum majoriti Melayu-Islam menolak mereka berdua sebagai calon untuk menerajui negara.
*****
Memang betul pun atok perbodohkan rakyat dan majuriti rakyat dah sedar sekarang dulu kita ingat dia ikhlas membela nasib rakyat rupnye dia hanya selamatkan keroni dan keluarga..cukup lah x perlu sokong dia lagi
LikeLike
Yerima kasih atas sokong Sdr Eshak 👍🏻
LikeLike
*Terima kasih
LikeLike