
Pada 3 Mac, setelah DYMM menabalkan TS Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri (PM) ke-8, Tun Mahathir telah mengeluarkan kenyataan bahawa dia tidak lagi mendapat sokongan majoriti dan dengan itu dia tidak layak diangkat sebagai PM.

“Yang benar ialah saya letak jawatan kerana dalam pengakuan di hadapan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong saya tidak dapat sokongan dari penyokong saya. Saya tidak dapat majoriti dan tidak lagi layak menjadi Perdana Menteri,” katanya.
Dr Mahathir berkata, rakyat bosan dengan ahli politik yang lebih mengutamakan politik daripada pentadbiran yang baik.
Dengan itu mengapakah pula sekarang timbul kenyataan bahawa “dia mempunyai sokongan majoriti melebihi daripada sokongan terhadap TS Muhyiddin.”
Lantas kerana itu adakah dia mempunyai hak untuk menuntut kembali kedudukannya sebagai PM?
Ekoran itu dia telah mengemukakan surat kepada Speaker Dewan Rakyat untuk membawa usul ‘tidak percaya kepada TS Muhyiddin Yassin’.
Dengan erti kata lain, Muhyiddin tidak layak menjadi PM, DS Anwar tidak layak, DS Najib tidak layak, dan dialah sahaja yang paling layak untuk diangkat semula menjadi PM.

Oleh kerana dia tidak diterima mengadap DYMM Agong, maka dia mahu membawa usul tidak percaya terhadap Muhyiddin. Untuk apa?
Anehnya pada 28 Februari 2020, dia juga telah mengeluarkan kenyataan bahawa ‘dia tidak mempunyai sebarang halangan bagi mengangkat Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri ke-8’.

Siapakah TS Muhyiddin sebenarnya pada kaca mata Mahathir yang sudah terlalu tua tetapi amat rakus dengan nafsu politiknya?
Tidakkah Muhyiddin itu Presiden Bersatu, iaitu parti Mahathir sendiri?
Lantas, mengapakah dia masih mahu menentang Muhyiddin yang telah ditabalkan oleh DYMM Agong?
Adakah dia sudah nyanyuk atau dia cuba mempertikaikan keputusan DYMM Agong yang telah memilih dan menabalkan Muhyiddin sebagai PM-8 menggantikannya?
Dengan kata-kata lain dia cuba menyatakan bahawa DYMM Agong telah membuat keputusan yang salah atau dia cuba menderhaka kepada baginda?
Terkini dia membuat kenyataan akhbar, bahawa dia mempunyai sokongan majoriti pula, yang mengatasi sokongan terhadap Muhyiddin, tetapi pada 3 Mac dia kata dia tiada sokongan.
Dia sendiri yang telah meletakkan jawatan kerana tiada sokongan dan sekaligus mengheret Bersatu keluar daripada PH, tetapi kini dia mengeluarkan kenyataan bahawa dia mempunyai sokongan majoriti pula.
Siapakah yang menyokongnya? Adakah sebahagian besarnya DAP?
Bukankah semasa menerima keputusan kekalahan PRK di Tanjung Piai Mahathir telah membuat kenyataan akhbar bahawa, pengundi tidak menyokong DAP, baik pengundi Melayu mahupun Cina yang menyebabkan calon Bersatu kalah?
Malahan sebelum itu pun Mahathir pernah menyatakan bahawa dia adalah PM boneka DAP.

Di luar kandang politik, rakyat masih dalam keadaan sangsi terhadap wabak pandemik Covid yang kelihatannya sudah reda, manakala PKP dan sekatan jalan raya telah dilonggarkan, kecuali beberapa kawasan ‘merah’.
Rakyat masih menanti kebenaran KKM dan kerajaan untuk bersolat jemaah dan seterusnya dapat berhari raya dengan kaum keluarga di kampung.
Malangnya, perakus politik Malaysia, telah merampas kesempatan ini untuk terus dengan keserakahan nafsu dan gila kuasa.
Sokongan majoriti sebagaimana yang menjadi percaturan Mahathir boleh sahaja pergi kepada sesiapa melalui tawaran jutaan ringgit.
Malahan dia juga telah menuduh TS Muhyiddin telah mendapat sokongan ahli parlimen setelah memberikan tawaran jawatan dalam kabinet dan GLC sebagai ‘gula-gula’ politik.
Lantas pada 8 Mei, Mahathir membuat kenyataan ‘U-turn’ pula bahawa dia tidak akan mendapat sokongan majoriti setelah Muhyiddin menyogok ahli parlimen yang menyokongnya.
Musuh politik sepanjang hayatnya seperti Lim Kit Siang pun boleh tunduk dan berubah kerana perjudian politik.
Anwar yang telah mewujudkan gerakan reformasi dan dua kali diheret ke penjara juga boleh tunduk kerana perjudian politik.
Jadi, di manakah relevannya kenyataan sokongan majoriti-minoriti yang membolehkan seseorang itu menjadi PM?
Kita tidak hairan jika sekiranya selepas sidang parlimen pada Julai nanti, lagi sekali Malaysia akan mempunyai seorang PM yang baharu.
Malahan sehingga tamat penggal pada 2023 nanti, mungkin Malaysia akan mempunyai empat PM.
Rakyat pun tidak pasti sama ada PRU-15 akan benar-benar mengubah kegilaan politik sebegini, kecuali manusia ‘gila politik’ yang ada di negara ini semuanya masuk kubur.
Sesungguhnya rakyat sudah muak.
******
Tinggalkan Jawapan