KERAJAAN PERIKATAN NASIONAL TAK PERLUKAN PENGESAHAN PARLIMEN

Kami rasa amat wajar untuk dikongsi pandangan Dr Kamarul Zaman Yusoff yang tertumpu kepada soal ‘keabsahan’ kerajaan Perikatan Nasional yang perlu disahkan oleh parlimen sebagaimana di dakwa oleh Tun Mahathir.

Walau bagaimanapun sebelum itu, sekiranya Mahathir berpendapat bahawa dia mahupun PH tidak menerima pembentukan kerajaan baharu PN, maka mengapakah dia mengeluarkan kenyataan bahawa PN akan kekal sehingga akhir penggal?

Kenyataan Mahathir itu sudah cukup untuk menyatakan bahawa dia memperakui kerajaan baharu pimpinan TS Muhyiddin Yassin melalui Perikatan Nasional.

Lantas dari situ mengapakah pula Mahathir mengatakan bahawa “the legality of the government is still being questioned.”

Amat wajarlah sekiranya Dr Kamarul Zaman membangkitkan persoalan “Adakah Tun M pertikai kuasa DYMM YDP Agong?” yang telah disiarkan dalam Malaysia Gazette.

Dengan itu, kami mencadangkan kepada KDN, bahawa mana-mana ahli politik mahupun individu yang melabelkan kerajaan PN sebagai ‘kerajaan pintu belakang’, ‘kerajaan tebuk atap’, ‘kerajaan pengkhianat’ atau apa juga label yang mempertikaikan keabsahan kerajaan PN, hendaklah ditahan dan didakwa di mahkamah atas tuduhan menderhaka kepada DYMM YDP Agong.

Oleh Dr. Kamarul Zaman Yusoff, Malaysia Gazette

Dalam rakaman video yang disiarkan oleh portal berita The Star, Tun Dr. Mahathir Mohamad menyebut dua perkara penting.

Perkara pertama adalah bahawa:

(1) Keabsahan kerajaan masih lagi dipersoalkan (“The legality of this government is still being questioned”).

(2) Kerajaan belum lagi sah sepenuhnya dalam erti kata ia belum disahkan oleh Parlimen (“The government is not yet fully legalised in the sense that it has not been certified by the Parliament”).

Sehubungan dengan perkara pertama, perkara kedua pula adalah bahawa:

(1) Sekarang apa yang perlu Dewan Rakyat lakukan ialah untuk menunjukkan sama ada mereka menyokong dakwaan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang beliau mempunyai sokongan majoriti, bukan hari ini, tetapi pada masa beliau mengangkat sumpah untuk menjadi Perdana Menteri (“Now what the Dewan (Rakyat) needs to do is to show whether they support Muhyiddin’s claim that he gets the support of the majority, not today, but at the time when he was sworn in to become the Prime Minister”).

(2) Keputusan-keputusan besar tidak boleh dibuat oleh kerajaan dan ia hanya boleh buat kerja-kerja rutin (“The major decisions should not be made by the government and it should (only) do the usual routine works”).

Kita tidak tahu pakar perundangan manakah yang telah menasihatkan Tun Dr. Mahathir mengenai dua perkara ini, tetapi dengan segala hormatnya, kedua-dua perkara ini adalah tidak betul mengikut undang-undang negara.

Tiada di mana-mana tempat di dalam Perlembagaan Persekutuan yang menyebut:

(1) Sesebuah kerajaan hanya akan dianggap sah sepenuhnya selepas ia disahkan oleh Parlimen.

(2) Parlimen perlu mengesahkan seseorang Perdana Menteri yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong benar-benar mempunyai sokongan majoriti sewaktu beliau mengangkat sumpah untuk menjadi Perdana Menteri.

(3) Selagi lantikan seseorang Perdana Menteri tidak disahkan oleh Parlimen, kerajaan yang diketuai oleh beliau hanya boleh buat kerja-kerja rutin dan tidak boleh buat keputusan-keputusan besar.

Sebaliknya, apa yang ada dalam Perlembagaan Persekutuan adalah bahawa:

(1) Pada melaksanakan fungsi melantik seorang Perdana Menteri, Yang di-Pertuan Agong boleh bertindak menurut budi bicaranya (Perkara 40 (2) (a) Perlembagaan Persekutuan).

(2) Perdana Menteri yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong hendaklah merupakan seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat itu (Perkara 43 (2) (a) Perlembagaan Persekutuan).

Dalam bertindak menurut budi bicaranya ini, terpulanglah kepada Yang di-Pertuan Agong untuk menentukan kaedah dalam mana baginda mahu memutuskan seseorang ahli Dewan Rakyat itu mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat itu.

Kaedah ini mungkin sahaja berupa mendapatkan akuan bersumpah daripada setiap ahli Dewan Rakyat, menemuduga setiap ahli Dewan Rakyat, menemuduga seseorang calon Perdana Menteri mahupun menitahkan supaya diadakan satu sidang Parlimen khas bagi menentukannya.

Bagaimanapun, setelah Yang di-Pertuan Agong membuat keputusan sudah ada seseorang ahli Dewan Rakyat yang mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat itu dan ahli Dewan Rakyat itu sudah mengangkat sumpah untuk menjadi Perdana Menteri maka di situlah berakhirnya proses ini dan kerajaan yang diketuai oleh ahli Dewan Rakyat itu sudah menjadi sah sepenuhnya dan boleh buat semua kerja sah yang boleh dibuat oleh kerajaan, tanpa mengira besar atau kecil.

Menyebut lantikan seseorang Perdana Menteri oleh Yang di-Pertuan Agong adalah tertakluk kepada pengesahan oleh Parlimen sebelum kerajaan yang diketuai olehnya sah sepenuhnya adalah satu cabaran kepada kuasa budi bicara yang  diperuntukkan kepada baginda oleh Perlembagaan Persekutuan dan tidak sepatutnya ditimbulkan oleh mana-mana pihak.

Menyebut lantikan seseorang Perdana Menteri oleh Yang di-Pertuan Agong adalah tertakluk kepada pengesahan oleh Parlimen sebelum kerajaan yang diketuai olehnya sah sepenuhnya juga adalah satu cubaan untuk mengongsi (share) atau mengambilalih (usurp) kuasa melantik seseorang Perdana Menteri daripada Yang di-Pertuan Agong kepada Parlimen.

Soal sama ada seseorang Perdana Menteri yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong masih mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat atau tidak adalah satu soal lain yang tidak seharusnya dikaitkan dengan keabsahan lantikan Perdana Menteri dan keabsahan kerajaan beliau.

Semoga Tun Dr. Mahathir dapat diberi nasihat perundangan yang betul mengenai perkara-perkara ini dan semoga kefahaman beliau yang tidak betul mengenai kuasa budi bicara Yang di-Pertuan Agong ini tidak akan membuka jalan kepada pertikaian mahupun hinaan kepada baginda.

*******

Advertisement

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

Website Built with WordPress.com.

Atas ↑

%d bloggers like this: