
Oleh Dr Mamat Desa
Persatuan Hak Asasi Manusia Kebangsaan (HAKAM) menyatakan kebimbangan terhadap layanan ke atas individu yang ditangkap kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Pandangan Presiden HAKAM, Gurdial Singh Nijar mengambil contoh seorang wanita yang telah ditangkap dan barangan peribadinya telah disita sebelum dihantar ke lokap selama beberapa hari tanpa ada yang datang untuk menjaminnya kerana semua pergerakan disekat atas operasi PKP.
Kata Gurdial, “Secara ringkasnya peraturan yang baru ini perlu dilaksanakan dengan bersifat membantu dan bukannya menghukum kecuali terhadap individu yang suka melanggar perintah.”
Nampaknya Gurdial sebagai Presiden HAKAM amat cenderung mempertahankan hak individu tanpa mahu melihat keselamatan nyawa ribuan rakyat yang lain.
Sememangnya ada kelopongan dalam konteks pelaksanaan PKP namun, jika kelonggaran menjadi presidens kepada orang ramai untuk mengabaikan PKP, maka ia tidak boleh dikompromikan.
Situasi ini menjadi lebih meruncing lagi apabila ada pesalah yang wewenangnya memaki-hamun, menjerit, dan menengking pihak anggota keselamatan yang menjalankan tugas.
Sepatutnya HAKAM bersuara untuk mengukuhkan lagi penguatkuasaan PKP dan bukannya memberi penekanan terhadap hak individu yang tidak sesuai dengan persekitaran sosial masyarakat yang tidak tahu menghormati pihak polis.
Lihatlah apa yang berlaku di Florida, US dan di Milan, Italy apabila hak individu terlalu dipertahankan, lantas ramai yang tidak mengindahkan larangan jarak sosial, dan arahan ‘tidak keluar rumah’.
Terdapat kira-kira 900 kes kematian sehari baik di Italy mahupun di US pada tarikh 1 April 2020, akibat jangkitan Covid-19, manakala US mencatat jangkitan 211,143 yang terbesar melampauai statistik negara asal Covid-19 iaitu China, 81,586. Italy pula jatuh di tempat kedua tertinggi di dunia dengan catatan 110,574 jangkitan setakat 1 April 2020.

Sejumlah 46,517 kematian telah dicatatkan akibat daripada jangkitan Covid-19 di seluruh dunia. Walaupun Malaysia, setakat 4 April telah mencatatkan 57 kematian, dan 3,483 jangkitan, namun HAKAM tidak boleh menafikan bahawa PKP dan ketegasan pihak penguatkuasa amat berkesan.
Daripada sikap membela hak individu sebeginilah wujudnya golongan yang merasakan dan menterjemahkan bahawa mereka mendapat sokongan untuk membebaskan aktiviti harian mereka daripada PKP.
Tidakkah andaian HAKAM juga membawa kepada andaian kecenderungan orang ramai untuk tidak menghormati pihak polis dan anggota keselamatan yang menjalankan tugas?
Pandangan-pandangan yang menyokong golongan biadap, tidak menghormati undang-undang dan tidak tahu berterima kasih ini, akan menyebabkan cairnya semangat pihak polis untuk menjalankan tugas mereka.
Golongan ini sepatutnya sedar bertapa dahsyatnya serangan Covid-19 sebagaimana yang ditunjukkan oleh peta video berikut, yang menyaksikan ratusan ribu manusia yang tidak berdosa terjangkit dan mati, hanya kerana individu yang keras kepala sebegini.
Pihak berkuasa Malaysia boleh dikira amat bersopan dan lembut dalam aspek penguatkuasaan.
Bayangkan arahan Presiden Filipina, Dutarte, supaya menembak sesiapa yang melanggar undang-undang larangan keluar rumah bagi membenteras penularan wabak Covid-19.

Tindakan yang serupa diambil oleh kerajaan Korea Utara, dengan menguatkuasakan undang-undang tembak bagi sesiapa yang melanggar arahan ‘lockdown’.

Lihat sahaja bagaimana penguat kuasa India merotan rakyatnya yang tidak mematuhi arahan ‘pergerakan terhad’ atau lockdown. Gurdial sepatutnya merenung tindakan di negara asal-usul nenek-moyangnya itu.
Tindakan yang sama dikenakan oleh pihak penguasa Nepal ke atas sesiapa yang melanggar operasi lockdown di sana.
Penguat kuasa Malaysia tidaklah sekeras itu, dan akibatnya kita masih lihat bagaimana, meskipun fasa pertama PKP dilaksanakan, tetapi masih ada golongan yang degil, dan tidak menghiraukan nyawa orang lain yang mungkin terancam.

Akta Polis, Frasa 21 (2 dan 3) telah memaktubkan bahawa seseorang yang menghalang, membangkang atau ingkar menurut apa-apa arahan yang munasabah yang diberi oleh mana-mana pegawai polis dalam melaksanakan tugasnya, adalah melakukan suatu kesalahan.
Sudah tiba masanya kita ketepikan dahulu soal hak asasi yang hanya memperjuangkan hak individu daripada mempertahankan nyawa ribuan rakyat.
******
Tinggalkan Jawapan