
Oleh Dr Mamat Desa
Sejak Perdana Menteri TS Muhyiddin Yassin mengeluarkan arahan ‘kawalan pergerakan rakyat’, agar penularan COVID-19 dapat sedikit-sebanyak dibendung, pihak PH mula menuding jari menyalahkan kerajaan Perikatan Nasional atas alasan tidak serius menangani penularan wabak.

Hakikatnya dua bulan lalu semasa negara China, Taiwan dan Hong Kong sibuk menangani penularan virus COVID-19, kerajaan PH khususnya Mahathir telah memberi respon dengan seloroh, lantas menjadikan penularan wabak sebagai jenaka dan tidak memberikan perhatian serius terhadap risiko yang boleh meragut nyawa rakyat.

Mereka yang datang dari China dan negara yang telah dikesan dengan kes koronavirus (COVID-19) tidak akan dikuarantin serta-merta sebaik tiba di Malaysia, sebagaimana kenyataan Dr Mahathir dua bulan lalu.
Ketika itu Mahathir sedar bahawa terdapat dua juta pelancong China yang memasuki Malaysia.
Apabila disoal oleh pemberita, adakah kerajaan PH akan menyekat kemasukan pelancong China, Mahathir menjawab, “Jumlah pelancong dari China boleh mencecah dua juta, (maka) kita nak simpan di mana? Bubuh kat kandang lembu? Tak kan macam itu…(Hanya) mereka yang ada tanda (dijangkiti virus) kita akan kuarantin.“
Jawapan Mahathir itu disambut dengan gelak ketawa oleh hadirin yang majoritinya kaum Cina.
Kenyataan Mahathir, diterjemahkan sebagai ‘bodoh sombong’ kerana sebagai seorang doktor perubatan, dia mesti sedar bahawa ‘symptoms’ atau tanda-tanda infeksi ketika inkubasi virus pada seseorang yang terjangkit tidak akan dapat dikesan dalam tempoh 14 hari, malah ada pakar yang mengatakan 21 hari.
Sebelum ia dikesan virus itu sudahpun merebak dan tertular kepada mangsa lain.
Lebih daripada itu, pemerintah China sendiri ketika itu, telah mengarahkan tindakan ‘lockdown’ ke atas penduduk wilayah Hubei dan bandar raya Wuhan.
Malangnya 5 juta penduduk Wuhan yang terjangkit telah pun keluar daripada Wuhan dan ada sebilangan mereka cuba mengelak virus COVID-19 dengan meloloskan diri dari negara China menuju ke negara lain, termasuk Malaysia.
TPM, DS Wan Azizah juga menegaskan bahawa “tiada keperluan kerajaan untuk menyekat kedatangan warga China ke Malaysia kerana wabak itu di Malaysia terkawal.”
Anehnya WHO telah pun mengisytiharkan COVID-19 sebagai ‘Darurat Kesihatan Global.’
Adakah Wan Azizah tidak faham apakah maksud ‘Darurat Kesihatan Global?’

Singapura dan Filipina ketika itu juga telah menyekat kemasukan semua pelancong China, bukan sahaja daripada Wuhan atau Hubei, untuk mencegah penularan COVID-19.
Malah apabila ada pemberita yang bertanya Mahathir, adakah barangan daripada China juga akan disekat, untuk melihat sejauh mana serius kerajaan PH pimpinan Mahathir mencegah COVID-19.
Mahathir membalas bahawa “buat apa barangan dari China itu hendak disekat, barang-barang itu bukannya demam” dan diikuti juga dengan gelak ketawa hadirin dan pemberita.
Malangnya ada saintis yang mengatakan bahawa virus daripada sentuhan orang yang dijangkiti pada sesuatu benda seperti tumbul pintu dan sebagainya, boleh kekal aktif sehingga 36 jam.
Terkini pemimpin tua PH itu telah memberikan reaksi berbeza pula dengan apa yang dia telah katakan semasa dia berkuasa Januari lalu.

Dia, yang pernah dilabelkan oleh Sultan Johor sebagai pemimpin yang hampir nyanyuk, menggesa rakyat Malaysia agar tidak mengambil mudah penularan wabak COVID-19.
Nampaknya tona kata-kata Mahathir telah berubah 180 darjah.
Mahathir berkata, “Saya nampak seolah-olah rakyat Malaysia tidak serius berkenaan menangani wabak ini. Kalau kita tidak berjaga-jaga, ramai yang akan dijangkiti dan mungkin akan membawa maut.”
Konco-konco Mahathir seperti Khaled Samad (PAN) juga mula menangguk di air keruh apabila menyalahkan DS Azmin dan TS Muhyiddin sebagai penyebab bala Tuhan kerana menyingkirkan kerajaan PH.

Nampaklah betapa bodoh dan merengnya pemikiran pemimpin kakistokrasi PH seperti Khalid Samad ini.
Bukan itu sahaja, semasa PH masih berkuasa sekiranya ada netizen yang mengkritik mereka kerana tidak serius dengan penularan wabak virus corona atau COVID-19, tindakan undang-undang akan diambil ke atas mereka.
Adakah semuanya kerana kelemahan nyata yang dapat dilihat oleh rakyat, sehingga kerajaan PH rasa malu dan berindak zalim terhadap keprihatinan netizen?
Hari ini Mahathir bercita-cita pula mahu menjadi PM ke-9 dan pastinya dia mahu rakyat menjatuhkan Muhyiddin dan kerajaan Perikatan Nasional.
Inikah pemimpin yang layak diagungkan sebagai lagenda?
*****
Tinggalkan Jawapan