
Oleh Dr Mamat Desa
MENGAPAKAH Tun Mahathir mengadap DYMM SPB YPD Agong pada 24 Februari lalu dan mengisytiharkan bahawa dia meletakkan jawatan sebagai PM, dan sekaligus keluar daripada Pakatan Harapan (PH), lantas membubarkan kabinet PH?
Adakah dia mahu YPD Agong melantiknya semula sebagai PM di bawah Perikatan Nasional (PN) atau Muafakat Nasional (MN) setelah dia memperakui tidak lagi mendapat sokongan daripada ahli parlimen PH?
Ironinya, dia berdolak-dalik tidak boleh menolak DAP, PKR dan PAN sebagaimana yang disyaratkan oleh UMNO-PAS.
Jika benar dia mendapat mandat daripada majoriti 221 ahli parlimen untuk diangkat menjadi PM di bawah gabungan PN atau MN, maka sewajarnyalah satu ‘bancian’ dibuat, sebagaimana YDP Agong mencemar duli dengan memanggil setiap ahli parlimen untuk menentukan siapakah yang menjadi pilihan mereka untuk diangkat sebagai Perdana Menteri yang baru.
Sekiranya kapal yang dikemudinya tidak porak-peranda, tidak lintang-pukang, tidak huru-hara, dan hampir karam, mengapa pula dia harus meletakkan jawatan?
Tidakkah Majlis Presiden PH pada 21 Februari telah bersetuju bahawa Mahathir akan menyerahkan kuasanya selepas APEC yang akan berlangsung pada November 2020?
Jadi, mengapakah dia harus menonong mengadap YDP Agong untuk meletakkan jawatan, keluar daripada parti gabungan PH, dan lantas membubarkan kabinetnya?
Jawapannya tidak lain dan tidak bukan, itulah tindakan ‘pengkhianatannya’ kepada PH, pengkhianatannya kepada seluruh kabinet PH, dan pengkhianatannya kepada DS Anwar Ibrahim.
Pengkhianatan Mahathir terhadap PH ini telah diperakui oleh dirinya sendiri, apabila dia memohon maaf kepada rakyat jelata dan sedar bahawa dia tidak lagi mendapat sokongan daripada ahli parlimen PH.
Kata Mahathir, “Saya letak jawatan kerana dalam pengakuan di hadapan DYMM SPB YDP Agong saya tidak dapat sokongan dari penyokong saya. Saya tidak dapat majoriti dan tidak lagi layak menjadi Perdana Menteri.”
“Izinkan saya memohon maaf kepada semua rakyat Malaysia kerana keadaan politik negara yang agak kucar-kacir dan mungkin menimbulkan keresahan di kalangan tuan-tuan dan puan-puan” dan “Saya pohon maaf jika peletakan jawatan oleh saya adalah salah”.
Kenapakah dia mengaku salah, sedangkan dunia tahu, inilah manusia hati batu yang tidak akan mengaku salah, dan akan memutar-belitkan setiap kenyataannya?
Tidak lain dan tidak bukan, itulah tindakan khianatnya terhadap Anwar, dan penyokong tegar PH, sehingga dia terasa amat bersalah.
Sebagaimana biasa, setelah apa yang diluahkannya, dia akan menghalakan kesalahannya kepada orang lain.
Lihat sahaja apabila kabinet PH telah dibubarkan, dia terus menuduh TS Muhyiddin sebagai pengkhianat dan kemudiannya mengutuk DS Anwar dengan alasan bahawa Anwar ‘gila-gila’ mahu menjadi Perdana Menteri.

Sebaliknya Mahathir sendiri yang telah berjanji pada 2018, sebelum bersekongkol dengan Anwar, PKR dan PH, untuk menyerahkan kerusi PM kepada Anwar dalam tempoh dua tahun sekiranya PH menang PRU14.
Anwar mendedahkan bahawa dia telah banyak bersabar dengan karenah Mahathir, namun akhirnya Mahathir belot dan menjahanamkan PH.
Lantas dia bertanya Mahathir, “Nak kutuk saya lagi buat apa?”
DYMM YDP Agong tidak mudah diperbodohkan Mahathir.
Baginda telah menggunakan kuasa baginda sebagaimana yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan dalam Perkara 43 untuk memilih dan melantik PM baharu setelah PM sebelumnya meletakkan jawatan, dan setelah memperakui tidak lagi mendapat sokongan majoriti ahli parlimen.
Lantas, di bawah kuasa DYMM SPB YDP Agong dalam Perkara 40(2) (a) Perlembagaan Persekutuan dengan budi bicara baginda, setelah meneliti dapatan bancian, telah melantik PM yang baharu iaitu TS Muhyiddin Yassin.
Adalah sesuatu yang amat berhemah dan penuh bijaksana, apabila tokoh yang dilantik dan ditabalkan oleh SPB YDP Agong adalah Presiden PPBM iaitu parti yang diasaskan oleh Mahathir sendiri.
Apa lagi yang tidak kena?
Mengapa Mahathir melulu menuduh TS Muhyiddin pula sebagai pengkhianat dan mula menyerang Muhyiddin sebagaimana dia dengan angkuh dan sombong menyerang Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj, menganiaya Tun Hussien Onn, menyerang Tun Abdullah Badawi dan terkini berpanjangan menyerang DS Najib Tun Razak.
Walau dengan apa dongeng sekalipun, rakyat yang waras tidak lagi dapat menerima keangkuhan dan kesombongannya, waima kononnya satu dunia mengutuk DS Najib, sedangkan dunia tahu media seperti New York Times misalnya boleh dibeli dengan wang ringgit.
Sebagaimana kata bekas Ketua Editor, New York Times, John Swinton,“We are the tools and vassals of rich men behind the scenes. We are the jumping jacks, they pull the strings and we dance. Our talents, our possibilities and our lives are all the property of other men. We are intellectual prostitutes.”
Lebih angkuh lagi apabila Mahathir mencipta klise bahawa Najib adalah penyamun, perompak Bugis, kleptokrat, dan macam-macam label yang buruk.
Sedangkan dunia tahu, bahawa mahkamah belum memutuskan bahawa DS Najib bersalah dan bersabit dengan tuduhan yang dikaitkan dengan dana 1MDB.
Ironinya, bekas Peguam Negara PH telahpun menggugurkan sekurang-kurangnya 15 tuduhan terhadap pemimpin PH, termasuk kes rasuah bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Dengan itu, tuduhan terhadap pemimpin tertinggi UMNO adalah kes politik yang boleh dipertikaikan keesahannya dalam konteks keluhuran undang-undang.
Ia menjadi lebih kotor dan jijik apabila Tommy Thomas sendiri memperakui bahawa dia dilantik atas kapasiti politik dan bukannya kerana profesionalisme dan keesahannya sebagai pengamal undang-undang.
Lantas, setelah PH tumbang, dan tertubuhnya kerajaan baharu, tanpa berlengah lagi Tommy Thomas terus meletakkan jawatannya, sebagaimana kenyataan yang dibuatnya, seperti laporan BH, “Jawatan (saya) sebagai AG (Peguam Negara) adalah menerusi lantikan politik yang dilakukan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad.”

Peletakan jawatan Mahathir juga seiring dengan pengumuman Tommy Thomas bahawa kes dua ADUN DAP dan 10 individu yang terlibat dengan aktiviti pengganas antarabangsa LTTE, telah digugurkan. Mengapakah Mahathir hanya mendiamkan diri?
Tidak hairanlah sekiranya dia dilihat sebagai pengkhianat kepada PH, pengkhianat kepada DS Anwar Ibrahim dan pengkhianat kepada PDRM yang bermati-matian mengheret pemimpin DAP atas penglibatan mereka dengan aktiviti pengganas LTTE.

Sekaligus dia juga mengkhianati rakyat apabila membiarkan negara dirompak oleh pemimpin rakus PH setelah banyak harta negara dijual wewenangnya oleh puak DAP sedangkan hutang negara tidak luak sedikitpun sebaliknya terus meningkat mencecah RM1 trilion.
Sebagaimana persoalan yang dibangkitkan oleh DS Mohamad Hasan, ke manakah perginya RM92 bilion yang diambil oleh Lim Guan Eng sedangkan tiadapun rekod ia disalurkan kepada kementerian ataupun diberikan kepada rakyat?
*****
Tinggalkan Jawapan