
Oleh Dr Mamat Desa
Syed Saddiq, telah diwawancara oleh Mehdi Hasan daripada media antarabangsa Al-Jazeera dalam program Upfront mengenai isu Tun Mahathir meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri (PM) dan pelantikan penggantinya TS Muhyiddin Yassin.
Dunia melihat krisis Mahathir-Anwar sejak 1998 masih berterusan meskipun Mahathir telah kembali ke gelanggang politik sebagai PM dan bersekongkol dengan musuh lamanya Anwar dalam Pakatan Harapan (PH).
Krisis yang masih berpekung jelas terlihat apabila Mahathir berdolak-dalik untuk menyerahkan kerusi PM kepada Anwar, tetapi setelah didesak Mahathir telah memberikan kata-janji bahawa dia akan menyerahkannya setelah tamatnya sidang APEC November nanti.
Namun tiba-tiba pada 24 Februari, Mahathir telah mengadap DYMM SPD Agong untuk mengumumkan bahawa dia meletakkan jawatan PM serta-merta dan dengan itu juga kabinetnya terbubar.
Tindakan Mahathir adalah rentetan daripada mesyuarat Majlis Presiden PH yang dikatakan mendesaknya untuk menyerahkan jawatan kepada Anwar dan memberi kata putus tentang tarikh penyerahan kuasa itu.
Keadaan tidak menyebelahi Anwar, apabila dengan kuasa yang ada pada baginda DYMM SPD Agong telah memutuskan untuk melantik tokoh lain menggantikan Mahathir melalui bancian bersemuka dengan semua ahli parlimen, dan kemudiannya dengan semua pemimpin utama parti.
Dari sinilah DYMM YDP Agong dengan kuasa yang diperuntukkan dalam Perlembagaan dalam Perkara 43 untuk memilih dan melantik PM setelah Mahathir meletakkan jawatan dan memperakui tidak lagi mendapat sokongan majoriti ahli parlimen.
Di bawah kuasa DYMM SPD Agong dalam Perkara 40(2) (a) Perlembagaan Persekutuan dengan budi bicara baginda, dan setelah berbincang dengan Majlis Raja-Raja, telah melantik PM yang baru iaitu TS Muhyiddin Yassin, Presiden PPBM (parti yang diasaskan oleh Mahathir).
Inilah pokok persoalan yang sepatutnya diperjelaskan oleh Syed Saddiq kepada Al-Jazeera, setelah Mehdi membangkitkan isu bahawa Mahathir menuduh Muhyiddin mengkhianatinya.
Melulu tanpa merujuk kepada fakta daripada rentetan peletakan jawatan Mahathir, Syed Saddiq dengan biadabnya menuduh bahawa Muhyiddin dan parti yang menyokongnya telah memperoleh kuasa dengan cara yang ‘illegitimate’ atau bertentangan dengan undang-undang.
Malahan Saddiq juga menuduh bahawa kerajaan di bawah PM baru yang ditabalkan oleh DYMM SPD Agong adalah kerajaan ‘pintu belakang’.
Saddiq juga mendakwa bahawa Muhyiddin yang dilihat sebagai orang kanan Mahathir, telah bekerjasama dengan pemimpin kleptokrat dan merampas kuasa. Lantas, Saddiq menggambarkannya sebagai hari yang sedih bagi rakyat Malaysia.
Saddiq juga menuduh bahawa jumlah ahli parlimen yang dilaporkan menyokong Muhyiddin telah dipesongkan oleh pemimpin politik yang bersekongkol dengan Muhyiddin.
Hakikatnya Saddiq tidak melihat bahawa pelantikan Muhyiddin adalah di bawah kuasa budi bicara baginda sebagaimana diperuntukkan dalam Perkara 40(2) (a) Perlembagaan Persekutuan.

Kebiadaban Saddiq tidak boleh dibiarkan kerana tuduhannya boleh diterjemahkan bahawa DYMM SPD Agong telah ‘diperbodohkan’ oleh golongan tertentu, sedangkan baginda bertindak dengan menggunakan peruntukan Perlembagaan serta nasihat pakar undang-undang negara dan istana.
Pihak Al-Jazeera pastinya telah membuat penyelidikan yang terperinci tentang kemelut politik PH yang telah mengheret negara kepada kancah kemelesetan ekonomi yang teruk, hutang negara yang terus meningkat, rizab Bank Negara yang merosot, kemelut integrasi nasional, sistem kehakiman yang diibaratkan sebagai ‘undang-undang rimba’ yang bertindan-tindih dengan hubung kaitnya PH dengan pengganas antarabangsa LTTE, komunisme, pembohongan dan fitnah.
Saddiq gagal melihat PH sebagai kerajaan kakistokrasi yang dipimpin oleh pemimpin lembab yang tidak berkelayakan (ramai yang memegang sijil akademik palsu), teruk dan tidak boleh diharap dalam melaksanakan agenda pembaharuan seperti yang didendangkan.
Jika Saddiq masih mahu mengangkat dongeng ‘kleptokrasi’ maka dia harus bertanya, ke mana perginya wang hasil jualan aset negara dan wang RM92 bilion daripada Petronas kerana tiada rekod bahawa wang tersebut telah disalurkan kepada kementerian atau rakyat.
Antara lain kerajaan PH telah menjual:
- IHH Bhd dengan nilai RM8.41 bilion
- Saham CIMB bernilai RM364 juta
- Keseluruhan kepentingan Axiata dalam M1 Bhd bernilai RM1.65 bilion
- Saham Bank Filipina BDO Unibank dengan nilai RM415 juta
- 50% kepentingan SAPURA Upstream Sdn Bhd dengan nilai RM3.7 bilion
- Tanah dan bangunan Konsulat Malaysia di Hong Kong bernilai RM1.6bilion
- Hotel Royale Chulan bernilai RM197 juta
- Saham TNB bernilai RM1.05 bilion
- 48% kepentingan MODENAS dengan nilai anggaran RM175 juta
- Sebahagian projek Bandar Malaysia bernilai RM7.41 bilion
- Ekuiti dalam FGV China Oils Ltd bernilai RM100 juta
- Pusat Perubatan Prince Court bernilai RM1.02 bilion
- 55% pegangan dalam projek lebuh raya tol Jakarta bernilai RM2.1 bilion
- …dan banyak lagi yang tidak termasuk aset Tabung Haji yang dijual wewenangnya.
Nampaknya Saddiq yang masih mentah-beringus itu bukan sahaja gagal menjalankan tugasnya untuk memajukan sukan negara apabila pencapaian kontinjen Malaysia dalam sukan SEA 2019 telah merosot tetapi dia juga gagal dan buta siapakah kleptokrat yang sebenar-benarnya.

Wawancara dengan Al-Jazeera itu bertukar menjadi cara-marba apabila Mehdi Hasan dilihat tidak bersetuju dengan Saddiq yang gagal menganalisis situasi politik negara terutamanya krisis dan konflik Mahathir-Anwar serta muslihat Mahathir.
Lantas khalayak melihat wawancara menjadi ‘lawancara’ ‘Al-Jazeera vs Saddiq.’
Untuk menyatakan pada dunia bahawa dia kenal dan tahu tentang kejujuran Mahathir, maka dia mendakwa bahawa Mahathir dianggap seperti bapanya.
Kenyataan Saddiq itu adalah ‘escapism’ yang amat melucukan, kerana mana ada anak yang mahu mendedahkan kejahatan, kezaliman dan kemungkaran ayahnya yang tua dan dilihat ‘hampir nyanyuk’ itu, sebagaimana menurut titah Sultan Johor.
Malahan Saddiq tidak menjawab soalan, sebaliknya bersilat dan melatah untuk lari daripada soalan Mehdi yang memerangkap kegenjotan pemikiran dan fahamannya tentang dongeng kleptokrasi yang senget.

Saddiq juga mendakwa bahawa dia cuba dirasuah dengan wang yang banyak, tetapi tuduhan semborononya itu telah memerangkap dirinya sendiri apabila dia tidak pula menyatakan siapa yang cuba merasuahnya dan dia tidak pula melaporkan kepada pihak polis mahupun SPRM, yang boleh terpantul balik kepadanya bahawa dia telah menerima rasuah tersebut.
Saddiq juga tidak sedikit pun mendedahkan keluhan dan rintihan rakyat tentang kos sara hidup yang melambung, tentang manifesto 100 hari PH yang merupakan janji kosong, tentang penghinaan kepada agama Islam, tentang strategi DAP mahu menjadikan negara Raja Berperlembagaan sebagai Republik, penglibatan pemimpin PH dengan LTTE, agenda tersembunyi PH untuk menerapkan ideologi komunisme di sekolah-sekolah serta kes-kes terpilih yang diterjemahkan oleh ramai penganalisis sebagai ‘undang-undang rimba’.
Hakikatnya, inilah keberantakan kerajaan PH yang telah menjadi faktor keruntuhannya.
Sebaliknya Saddiq masih mencanangkan dongeng kleptokrasi kerajaan terdahulu, sedangkan dia buta bahawa tulah sumpah laknat DS Najib Tun Razak, dua bulan yang lalu, kini telah memusnahkan kerajaan PH yang zalim, amat zalim.
*****
Tinggalkan Jawapan