
TINDAKAN Peguam Negara, Tommy Thomas menghentikan serta-merta proceeding mahkamah terhadap kes 12 individu India atas tuduhan penglibatan mereka dengan aktiviti pengganas petubuhan Pembebasan Harimau Tamil Eelam (LTTE), telah mendapat reaksi negatif daripada pelbagai pihak.

LTTE telah diharamkan di 32 buah negara di seluruh dunia setelah Amerika Syarikat mengklasifikasikannya sebagai pertubuhan pengganas antarabangsa.
Pada 20 April 2009, Setiausaha Hal Ehwal Luar Sri Lanka, Dr Palitha Kohona mendedahkan bahawa LTTE telah memperoleh dana daripada rakyat Malaysia serta bekalan senjata yang diseludup dari sempadan Malaysia-Thai.

Senjata tersebut kemudiannya diseludup ke Sri Lanka melalui pelabuhan Pulau Pinang untuk aktiviti keganasan gerila LTTE oleh lelaki yang dikesan sebagai K.T Pathmanathan yang sering menyamar untuk mengelirukan pihak berkuasa.
Timbul persoalan, mengapakah kumpulan penyeludup senjata LTTE itu berpusat di Pulau Pinang?
Walau apapun hipotesisnya, Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, P Ramasamy (ADUN DAP) pernah disyaki terlibat secara langsung dengan pertubuhan LTTE.
Spekulasi terhadap pemimpin DAP itu juga selari dengan rencana tulisan Dr Mohd Mizan Aslam yang mendedahkan bahawa LTTE melakukan aktiviti penjualan dan pemindahan dadah dalam jumlah yang besar ke negara-negara Eropah dan Asia.

Selari dengan itu, pada 30 Jan, media arus perdana Malaysia melaporkan bahawa PDRM telah berjaya membongkar kegiatan ketua kartel dadah, Ooi Chien Sim, di Pulau Pinang yang dikaitkan sebagai kroni DAP kerana dia adalah pemegang saham yang terbesar dalam Perbadanan Bekalan Air Holdings Berhad (PBAHB), milik Kerajaan Negeri Pulau Pinang.
Pastinya pihak PDRM mempunyai bukti yang cukup untuk mendakwa dan mensabitkan 12 individu India yang dikaitkan dengan penyebaran ideologi LTTE, aktiviti LTTE, dan bantuan serta sokongan terhadap LTTE dalam 34 pertuduhan yang dikenakan, termasuk di bawah akta SOSMA dan AMLATFPUAA.
Ekoran tindakan Tommy menghentikan proceeding itu, dia juga telah mendesak Menteri Dalam Negeri, TS Muhyiddin Yassin menarik balik klasifikasi LTTE sebagai pertubuhan pengganas sebagaimana yang telah digazetkan oleh KDN.
TS Muhyiddin Yassin menempelak dan bertegas bahawa KDN mempunyai asas yang kukuh untuk mengekalkan status LTTE sebagai pengganas berdasarkan maklumat dan bukti perisikan dan penyiasatan PDRM yang efisien.

Malahan Muhyiddin menegaskan bahawa Peguam Negara tidak mempunyai apa-apa kuasa di bawah undang-undang untuk mencampuri urusan dalam bidang kuasa Menteri Dalam Negeri.
KDN mempunyai bukti bahawa LTTE masih menyebarkan ideologi yang boleh menimbulkan ancaman terhadap ketenteraman awam dan keselamatan negara.
Adalah menjadi tanggungjawab KDN melalui PDRM untuk membendung sebarang bentuk penyebaran ideologi dan kegiatan yang berkaitan dengan keganasan.
Dengan itu Muhyiddin menegaskan, menurut seksyen 668 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001, Menteri Dalam Negeri berkuasa untuk mendakwa mereka yang terbabit dengan LTTE.
Bagi bekas Ketua Polis Negara (KPN) TS Musa Hassan, tindakan Tommy menghentikan proceeding terhadap kes 12 tertuduh itu juga telah memperlekeh dan menghina PDRM, seakan-akan PDRM menuduh mereka secara melulu.
Malahan Musa membidas Tommy sebagai bertindak berat sebelah membebaskan tertuduh yang dikaitkan dengan LTTE, tetapi bertindak keras terhadap kes pengganas militan lain yang dikaitkan dengan Islam.

Rakyat tidak hairan dengan tindakan kontroversi Tommy Thomas kerana dia dilantik sebagai Peguam Negara atas kapasiti politik DAP yang sebelumnya pernah membela Lim Guan Eng dalam kes rasuah serta membela Ketua Parti Komunis Malaya, Chin Peng untuk kembali ke Malaysia. DAP sememangnya dilihat cuba memperjuangkan ideologi komunisme sebagaimana didakwa oleh TS Musa Hassan.
Atas perspektif yang sama, banyaklah kes yang melibatkan pemimpin DAP dan PH, telah dilupuskan oleh Tommy Thomas.

Pada senario yang berkaitan, seorang wanita bekas pelajar UM, Siti Noor Aishah telah dikenakan hukuman penjara 5 tahun kerana disabitkan dengan kesalahan memiliki 12 buah buku berkaitan kumpulan pengganas pada April 2017.

Jelaslah bahawa mahkamah tidak tekal dengan hukuman yang dikenakan terhadap tertuduh meskipun latar kes adalah serupa, malah dalam kes kegiatan LTTE, khalayak melihatnya jauh lebih berbahaya berbanding dengan kes Siti Noor Aishah.
Ekoran itu juga, Presiden PKR, DS Anwar Ibrahim menggesa Peguam Negara mengkaji semula hukuman tidak setimpal yang dikenakan terhadap kes yang disabitkan dengan militan DAESH yang ditanggapinya sebagai ‘kesalahan kecil’ setelah kes pengganas LTTE digugurkan.

Pandangan Anwar dilihat sebagai mempertahankan ketekalan mahkamah, namun ia juga diterjemahkan seperti menyokong pihak yang tertuduh dalam kes LTTE yang amat janggal jika dikatakan sebagai ‘kesalahan kecil’.
Pada pentas yang lebih luas, pengamal undang-undang yang juga merupakan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Undang-Undang Jenayah, Majlis Peguam, Hasif Hasan, terkejut dengan tindakan Tommy Thomas menggugurkan tuduhan terhadap 12 tertuduh yang mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas LTTE.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Mohd Rafiq Naizamohideen pula mendesak Peguam Negara supaya meletakkan jawatan, susulan tindakannya menggugurkan kes LTTE itu.

Rafiq turut memberi amaran, sekiranya Peguam Negara tidak mahu meletakkan jawatan, dia akan memohon perkenan DYMM Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong untuk memecat Tommy Thomas.
Selari dengan pandangan Rafiq, bekas Menteri Pendidikan, Maszlee Malik telah memberi dua pilihan kepada Tommy sama ada mahu mematuhi dasar kerajaan, atau melepaskan jawatannya sebagai Peguam Negara.
Tindakan Tommy telah mendorong rakyat untuk melihat kedudukannya yang melampaui kerusi Peguam Negara dengan bertindak sebagai kroni DAP yang telah banyak memusnahkan kredibiliti dan integriti sistem perundang-undangan negara.
Dengan merujuk kepada sekian banyaknya kes yang telah digugurkan oleh Peguam Negara maka lebih baiklah Tommy Thomas meletakkan jawatan dan bertanding di mana-mana kawasan parlimen atas nama calon DAP.
*****
Tinggalkan Jawapan