
DIJANGKAKAN puluhan ribu rakyat pelbagai kaum akan berhimpun di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur untuk menyelamatkan kemusnahan negara yang dipersepsikan akibat pemerintahan PH yang didominasi oleh DAP.
Perhimpunan yang dianjurkan oleh Gabungan Kuasa Rakyat yang antaranya terdiri daripada pelbagai NGO seperti Pertubuhan Sahabat Erat dan Amanah Rakyat Malaysia (SEDAR), BeNAR Malaysia, SolMar Malaysia, Optimum Malaysia, Denyut Nadi Rakyat, Kelab Diskusi Ekonomi Rakyat (KADER) dan aktivis-aktivis yang memperjuangkan hak serta kebajikan rakyat.

Setelah 20 bulan mentadbir, kerajaan pimpinan Pakatan Harapan (PH) jelas dan nyata bukan sahaja telah gagal dari pelbagai aspek malah enggan mengambil peduli kepentingan rakyat marhaen, sebagaimana diujarkan oleh pihak Gabungan Kuasa Rakyat yang diwakili oleh Haji Naseron Ismail.
Naseron juga menegaskan jika dinilai dengan teliti prestasi kerajaan pimpinan PH yang berserabut dan tiada hala tuju ini, Gabungan Kuasa Rakyat sangat yakin bahawa dekad ini akan menjadi dekad terburuk buat Malaysia dan rakyatnya.
Dengan rasional itulah pelbagai badan bukan kerajaan (NGO) dan para aktivis telah bersama-sama mewujudkan Gabungan Kuasa Rakyat untuk menghentikan kerosakan yang dibawa oleh kerajaan pimpinan PH.
Malangnya realiti perhimpunan tersebut hambar tidak seperti yang dijangkakan sebagaimana yang dapat dilihat pada sekitar jam 2 ptg 22 Feb di kawasan Dataran Merdeka.

Mengapakah Perhimpunan Kuasa Rakyat sedemikian tiada sambutan, sedangkan moto yang dibawa mendukung satu tarikan yang amat meruntun hati dan sanubari rakyat demi menyelamatkan negara yang sedang porak-peranda akibat pemerintahan kerajaan yang tiada hala tuju?
Tidak seperti Perhimpunan Ummah 812 membantah ratifikasi ICERD yang berjaya menarik sekitar 1.9 juta rakyat untuk berhimpun menyuarakan bantahan mereka terhadap kerajaan PH.

Adakah kerana di belakang perhimpunan 2202 itu ada Datuk Lokman Noor Adam? Adakah kerana negara masih dihantui virus nCOV? Adakah kerana PAS tidak merestui perhimpunan tersebut? Adakah kerana ia dilihat condong kepada DS Anwar Ibrahim, sehingga pihak penganjur terpaksa memaklumkan bahawa Anwar tidak akan diberikan ruang berucap? Adakah perhimpunan itu hanya retorik politik pihak tertentu?
Nampaknya pelbagai spekulasi telah menerjah, sedangkan matlamat perhimpunan ‘Kuasa Rakyat’ itu amat hebat dengan senarai 10 tuntutan kepada pihak kerajaan.
Malam tadi pula di Putrajaya, mesyuarat Majlis Presiden PH telah berlangsung untuk memutuskan tarikh penyerahan kuasa Tun Mahathir sebagai Perdana Menteri kepada DS Anwar Ibrahim.
Namun tiada apa yang mengejutkan pada keputusan mesyuarat kerana Mahathir tetap dengan pendiriannya untuk menyerahkan kuasanya hanya selepas sidang APEC pada November ini. Selain itu Mahathir tidak memutuskan tarikh, dan waktu penyerahan kuasa tersebut.

Malahan kata Mahathir, ia terserah kepada dirinya untuk menentukannya.
Ia diterjemahkan seakan-akan Mahathir tidak mahu ada sesiapa yang cuba mendesak dan menekannya.
Ia sekaligus menolak tekanan puak Anwar yang mahu Mahathir melepaskan kuasanya pada Mei ini.
Presiden PAS, DS Hadi Awang pula mahu Mahathir terus mengetuai negara sebagai PM sehingga akhir penggal. Malahan PAS berhasrat mengadakan usul ‘Undi Percaya’ kepada Mahathir di parlimen bagi meneruskan kuasanya sebagai PM sehingga penggal berakhir pada 2023.
Dengan jelas PAS berpendirian menolak Anwar yang pernah dipenjarakan kerana kes sodomi dan PAS juga sedar tentang ideologi liberalisme dan pluralisme agama yang membahayakan Islam, dalam diri Anwar.
Perkara yang menjadi tanda tanya tentang mesyuarat Majlis Presiden PH ialah ketiadaan Setiausaha DAP, Lim Guan Eng dalam mesyuarat Majlis Presiden PH itu.
Adakah Lim Guan Eng dan konco-konco LTTE dalam DAP sedang merayakan kegembiraan mereka setelah Peguam Negara, Tommy Thomas menamatkan serta-merta prosiding perbicaraan penglibatan pemimpin DAP dalam LTTE?

Tindakan Tommy Thomas itu sesungguhnya amat memalukan pihak PDRM dan KDN serta membangkitkan kemarahan rakyat. Ia diterjemahkan seakan-akan kerajaan memberi muka kepada pengganas LTTE.
*****
Tinggalkan Jawapan