
Portal berita Sarawak Report telah membuat kejutan apabila mencanangkan bahawa majoriti ahli parlimen telah menandatangani ‘akuan berkanun’ atau Statutory Declaration (SD) menyokong Tun Mahathir supaya terus menerajui negara sehingga akhir penggal (2023).

Akhbar dalam talian yang beroperasi dari London itu melaporkan bahawa ahli parlimen UMNO, PAS, Bersatu, sebahagian daripada PKR yang menyokong DS Azmin Ali, dan beberapa ahli parlimen lain, telah menandatangani SD berkenaan.
Laporan mengejutkan itu disusuli dengan pengakuan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Zakiah Koya dalam The Star yang memperincikan jumlah SD berkenaan yang diperolehi daripada sumber yang tidak pula didedahkan.
Zakiah melaporkan bahawa terdapat 138 daripada 222 ahli parlimen telah menandatangani SD berkenaan dan dengan itu ia telah membentuk suara majoriti di parlimen yang mahu Tun Mahathir meneruskan jawatannya sehingga akhir penggal.

Perincian telah disenaraikan adalah seperti berikut:

Isu SD itu tertonjol seiring dengan hasrat PAS untuk mengusulkan ‘undi percaya’ kepada Mahathir di parlimen, supaya Mahathir terus memegang jawatan PM sehingga akhir penggal.
Mahupun isu SD ataupun ‘undi percaya’ kepada Mahathir, kedua-duanya telah membangkitkan kemarahan kem DS Anwar Ibrahim dan DAP.
Bagi Anwar, Mahathir mesti mematuhi ‘perjanjian’ untuk menyerahkan kerusi Perdana Menteri kepadanya, selewat-lewatnya sebelum akhir tahun ini selepas APEC 2020.
Mahathir bersetuju untuk menyerahkan jawatan PM kepada Anwar, tetapi bagi Mahathir ia tetap bergantung kepada suara majoriti Dewan Rakyat.
Dengan kata-kata lain, Mahathir cenderung untuk merujuk kepada SD mahupun ‘undi percaya’ kepadanya sebagai kata putus sebelum menyerahkan kuasa PM kepada Anwar.
Meskipun Mahathir bukanlah tokoh pemimpin yang menjadi rakan baik kepada PAS, apatah lagi UMNO, namun Mahathir adalah pilihan yang lebih baik berbanding Anwar, bak kata pepatah Inggeris, “the best of a bad bunch”.
Anwar dipersepsikan sebagai tokoh pejuang liberalisme, pluralisme agama dan dikatakan sebagai tokoh pemimpin Freemason bagi rantau Asia Tenggara yang amat berbahaya kepada umat Islam.
Anwar pernah menyatakan dalam ucapannya di London School of Economics (LSE) bahawa semua agama adalah sama, dan semua agama menyembah Tuhan yang sama.
Dengan premis sedemikian, isu murtad tidak timbul, dan dakwah untuk mengangkat Islam sebagai satu-satunya agama Allah juga tidak signifikan.

Pandangan Anwar itu dikritik keras oleh sarjana Islam seperti Dr Muhammad Uthman El-Muhammady, dan Jabatan Kebajikan Islam Malaysia (JAKIM).
Anwar tidak perlu menggelabah dengan isu ‘SD’ mahupun ‘undi percaya’ kerana sekiranya, rakyat menyokongnya untuk menduduki kerusi PM, maka jawatan itu tidak akan ke mana-mana.

Namun Anwar harus mencerminkan dirinya sendiri terlebih dahulu, yang pernah dipenjarakan kerana kes sodomi yang dipersepsikan sebagai sukar bagi Anwar membuang jauh tabiat seks songsang itu.
Apa yang lebih mengejutkan ialah sikap melatah DAP yang melihat bahawa, ‘undi percaya’ terhadap Mahathir sebagai usaha untuk melebarkan laluan Muafakat Nasional untuk menguasai politik negara.

Anehnya, mengapakah komponen parti kerajaan seperti DAP mesti marah dan meracau-racau apabila pihak pembangkang menyokong Perdana Menteri?
Perdana Menteri adalah dilantik daripada tokoh yang dipilih oleh PH, lantas apakah masalahnya untuk pembangkang menyokong Tun Mahathir?
Malahan DAP mencanangkan bahawa sekiranya Muafakat Nasional mendominasi kuasa politik kerajaan maka negara ini akan menjadi negara Taliban yang akan membahayakan kedudukan kaum Bukan-Islam.
DAP seperti buta dengan realiti negara yang dikuasai oleh parti cauvinis Cina itu. Situasi moral pemimpin PH yang jijik, ekonomi yang merudum, perpaduan kaum yang meruncing, undang-undang yang dilabelkan sebagai undang-undang rimba, pengganas LTTE dan pejuang komunis diagung-agungkan, sedangkan agama Islam dan kedudukan Raja-Raja Melayu dihina dan dipersendakan.
Siapakah yang sebenarnya sedang menjerumuskan negara ini kepada kehancuran?
Melantik Anwar akan mengukuhkan lagi kuasa politik DAP dan menyemarakkan kejatuhan ekonomi, keruntuhan moral serta ancaman kepada kesucian Islam.
Dengan percaturan sedemikian, lebih baiklah Mahathir yang akhir-akhir ini memperlihatkan penentangannya terhadap dasar DAP, diangkat untuk menerajui negara sehingga PRU15 yang akan datang.
PRU15 akan menentukan siapakah pilihan rakyat yang sebenarnya, kerana PRU14 adalah sejarah hitam yang penuh dengan fitnah, pembohongan politik, penipuan manifesto dan janji palsu.
*****
Tinggalkan Jawapan