
Sekawan musang masuk kampung lantas mengugut ketua kampung agar menyerahkan seekor ayam. Jika tidak diberi, mereka sekawan akan membawa diri masuk ke dalam hutan. Maka jawab ketua kampung, “Terima kasih, dipersilakan balik ke tempat asal kamu, tidak sekali-kali kami akan serahkan ayam kami.”
Demikianlah analogi yang boleh dilukiskan terhadap ugutan Nga Kor Ming yang pernah menghina Tun Mahathir sebagai pemimpin yang tidak lama lagi akan bertemu Lee Kuan Yew di dalam kubur.
Sebelumnya pemimpin d’Facto DAP, Lim Kit Siang juga pernah mengeluarkan ugutan bahawa DAP akan keluar daripada PH sekiranya prinsip asas Malaysia Baru tidak dicapai.
Sememangnya prinsip Malaysia Baru yang membuka ruang luas kepada LGBT, hak murtad, liberalisme, pluralisme agama, menghapuskan dasar afirmatif, menghapuskan hak dan keistimewaan Melayu dan Raja-Raja Melayu serta kedudukan agama Islam, menegakkan hak sama-rata sebagaimana prinsip Malaysians’ Malaysia, tidak tercapai, malah mendapat tentangan daripada sarjana dan pengamal undang-undang kerana bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.
Kenapa DAP tetap tidak meninggalkan PH?
Kali ini Timbalan Setiausaha Agung DAP, Nga Kor Ming mengugut kepimpinan PH supaya mengiktiraf sijil UEC pendidikan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Cina. Jika tuntutan itu tidak ditunaikan, maka DAP tidak akan teragak-agak keluar dari gabungan Pakatan Harapan.
Kata Kor Ming sebagaimana dilaporkan oleh Oriental Daily, “Malahan kita telah mencapai kesepakatan bahawa bahawa DAP tidak akan teragak-agak keluar dari kerajaan jika UEC tidak diiktiraf.
“Tidak kisah jika kita tiada lagi dalam gabungan parti pemerintah. Ini prinsip yang kita pegang.”
Hebatnya Kor Ming kerana ugutan itu diluahkan hanya beberapa hari setelah Tun Mahathir memegang portfolio Kementerian Pendidikan yang dikosongkan oleh Dr Maszlee Malik.
Tinggikah nilai UEC kepada Kementerian Pendidikan, mahupun kepada Perdana Menteri sehinggakan ia menjadi bahan pertaruhan ugutan DAP untuk keluar daripada PH.
Nampaklah sangat, apabila Perdana Menteri dan Kementerian Pendidikan tidak mahu melayan ugutan Kor Ming mahupun DAP, maka ia diterjemahkan bahawa UEC dan DAP tidak penting kepada PH.
Lantas dengan segera, Mat Sabu membela Nga Kor Ming dengan silat pulutnya, bahawa kenyataan Nga Kor Ming itu hanyalah pandangan peribadinya.
Ramai penganalisis politik yang tidak hairan dengan pembelaan Presiden Amanah itu, kerana kelahiran Amanah dibidankan oleh DAP.
Namun khalayak media serta rakyat jelata tidak buta dan tuli kerana Nga Kor Ming mengatakan bahawa kenyataannya dibuat melalui kata sepakat kepimpinan DAP.
Jika merujuk kepada pembelaan Mat Sabu, sekiranya ugutan yang dibuat oleh Kor Ming adalah ugutan peribadinya, maka Kor Ming bolehlah tanpa ‘teragak-agak’ keluar daripada DAP dan juga PH.
Namun sepertimana biasa, manusia Kor Ming ini akan pantas berdolak-dalik dengan diplomasi ‘tempangnya’ dan menyalahkan pihak media yang tersalah catat, kerana itulah sikap dan sifat bangsa DAP dalam agenda cauvinis mereka.
Tidak payahlah hendak didebatkan, kerana tiada mana-mana bahagian dalam Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan bahawa sijil pendidikan Cina yang berteraskan kurikulum yang diimport dari Taiwan yang tiada nilai ‘nasional’ untuk diiktiraf.

DAP cuba menggunakan alasan bahawa negara luar mengiktiraf UEC. Namun sebagaimana hujah Professor Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim, mana-mana pihak tidak perlu menggunakan alasan pengiktrafan UEC oleh negara-negara luar untuk ‘membawa’ ia ke dalam sistem pendidikan Malaysia kerana ia amat bertentangan dengan Perlembagaan.
Malahan UEC juga adalah bertentangan dengan Laporan dan Penyata Rahman Talib, apatah lagi Laporan Razak 1961 dalam hal memperkasakan sistem pendidikan Malaysia.
Jauh lebih mencelakakan, sistem pendidikan vernakular adalah racun kepada integrasi nasional dan dengan itu ia dilihat sebagai ‘anti-nasional’ dan bertentangan dengan semangat kebangsaan Malaysia.
Sebagaimana kata Prof Dr Ridhuan Tee, “Mengiktiraf UEC sama dengan mengiktiraf komunisme”.

Bagi Prof Dr Ridhuan Tee, perjuangan mengiktiraf UEC adalah perjuangan NGO komunis yang berhimpun di Kajang baru-baru ini. Begitu juga sikap mereka yang jelas menolak pengajaran aksara jawi. Apakah NGO komunis ini boleh dipercayai?
PAS, Perkasa, Ummah, dan pelbagai pihak yang melabelkan DAP sebagai parti cauvinis Cina, amat mengalu-alukan DAP keluar daripada PH jika itu pertaruhan DAP.

UMNO pula lebih suka sekiranya Bersatu (PPBM) keluar daripada PH daripada bersekongkol dengan DAP.
Bagi PERKASA kenyataan Kor Ming adalah ugutan yang serius dan biadap kepada Putrajaya yang berada di bawah kepemimpinan Tun Mahathir.

PERKASA mencabar DAP agar segera keluar dari kerajaan supaya mudah Tun Mahathir memberikan fokus kepada pengurusan dan pemerintahan negara. Dengan tindakan ini, mudahlah Pakatan Harapan mengenal pasti siapakah dalang yang memporak-perandakan negara selama ini.
Pukulan yang paling terkesan ke atas DAP ialah apabila Pengerusi Media Prima, juga Pengarah Kumpulan New Straits Times, yang kini lebih dilihat sebagai penganalisis politik, Tan Sri Johan Jaafar melabelkan DAP sebagai liabiliti kepada kerajaan PH.

Kata TS Johan, “Saya tidak terkejut sekiranya banyak pemimpin Melayu dalam PH mulai menyesal mempunyai rakan sekutu seperti DAP dalam pakatan itu. Mereka malah percaya, keadaan mungkin lebih baik tanpa DAP.”
Bagi kami kekalahan PH dalam lima PRK yang terakhir adalah disebabkan sial yang dibawa oleh DAP dalam setiap kempen PRK tersebut.
Sebagaimana kami menyetujui persepsi TS Johan, DAP adalah liabiliti kepada kerajaan PH, racun dan parasit yang berpekung pada dada PH yang perlu dihapuskan.
*****
Tinggalkan Jawapan