
PADA 6 Jan lalu, Peguam, TS Muhammad Shafee Abdullah telah mengeluarkan kenyataan bahawa Jho Low memainkan peranan utama dan, bukannya sekadar pencadang dan pengantara dalam skandal 1MDB yang tertuduh ke atas DS Najib Razak.
Jho Low atau Low Taek Jho dikatakan telah diwawancara oleh Straits Times Singapura pada 6 Jan 2020, tidak bercakap benar tentang peranan utamanya dalam penipuannya terhadap 1MDB dan SRC.
Sebagaimana yang dilaporkan Malaysiakini, Shafee menegaskan bahawa Jho Low adalah tokoh utama yang “mengatur segala-gala di sekelilingnya termasuk institusi kewangan, pihak kewangan seperti para pegawai bank, dan semua kroni yang sebenarnya ialah rakannya.”

Mereka semua berada dalam 1MDB, SRC dan juga di luar negara. Tetapi dia adalah individu utama. Jika dia cuba memberikan gambaran bahawa dia sekadar memainkan peranan minimum, maka dia tidak bercakap benar, sebagaimana ditegaskan oleh Shafee.
“… Jho Low dengan sengaja lupa untuk memberitahu kami bahawa dia sebenarnya telah memperdaya pengurusan kanan. Beberapa pengurus kanan yang bekerja dengan Jho Low, sebenarnya ialah rakan-rakan Jho Low.
“Dia telah menipu lembaga (pengarah) SRC, dan dia memperdaya syarikat 1MDB.
“Jadi dia adalah dalang utama nombor satu. Jika saya boleh katakan, dia penjahat nombor satu,” tegas Shafee.

Shafee mempunyai asas yang kukuh kerana Jho Low adalah instrumen yang amat penting dalam konspirasi Mahathir untuk menganiaya DS Najib kerana Jho Low adalah ‘multi-billionaire’ anak kepada kroni Mahathir, Tan Sri Low Hock Peng, jutawan yang telah menempah nama di Malaysia dan Singapura.
TS Larry sememangnya berasal daripada keluarga kaya kerana bapanya Low Meng Tak adalah jutawan di negara China dan Thailand yang menjalankan perniagaan dalam lombong besi, kilang arak dan perniagaan hartanah.
Di Singapura TS Larry adalah eksekutif MWE Holdings sebuah syarikat pelaburan, dan dia juga adalah Pengerusi Kumpulan Frenken, sebuah syarikat stockholding yang disenaraikan di Bursa Singapura.
Di Malaysia. Larry Low adalah pemilik organisasi Hock Peng dan dia pernah menyandang jawatan Presiden Penang Chinese Chamber of Commerce yang amat berpengaruh di pulau itu.
Semasa Tun Mahthir berkuasa sebagai PM pada 1981-2003, dia pernah memberikan beberapa kontrak kerajaan kepada Larry Low, antaranya:
- Projek kereta api Kerteh-Kuantan yang dikendalikan MWE
- Projek Light Medium Industrial buildings in Mukah
- Projek Perumahan untuk pegawai-pegawai kerajaan
- Projek Mukah Coal Stockyard
- Projek Mukah Coal-Fired Power PlantRC works for coal handling & conveyor system
- Projek Terminal Bas Kota Samarahan
- Projek Assyakirin Commercial Centre
- Projek Bandar Baru Betong termasuk Projek Terminal Bas Betong
- Projek Bintulu Sentral
- Projek Demak Laut Industrial Park
- ..dan puluhan lagi projek di bawah kendalian Pertubuhan ‘Hock Peng’

Sekiranya Mahkamah Sesyen pada 24 Ogos 2018 telah mendakwa TS Larry Low, bapa kepada Jho Low dengan lapan tuduhan ‘pengubahan wang haram’ di bawah AMLA, maka TS Shafee mempunyai rasional yang amat signifikan bahawa Jho Low adalah instrumen yang dipasang untuk menganiaya DS Najib.

Waran tangkapan telah dikeluarkan oleh Mahkamah Sesyen terhadap Jho Low dan ayahnya Larry Low. Pihak polis juga telah mengeluarkan ‘Notis Merah’ kepada pihak Interpol untuk mengesan dan menangkap mereka dan membawa mereka kembali ke Malaysia untuk menghadapi tuduhan.
Malangnya sudah sekian lama, pihak polis hanya mengeluarkan kenyataan bahawa Jho Low akan ditangkap dan dibawa balik ke Malaysia untuk dibicarakan. Namun kenyataan pihak polis seperti mainan kata-kata yang terselit janji kosong.

Amat aneh untuk mengatakan bahawa Jho Low adalah mangsa skandal, sedangkan Jho Low dan Larry Low juga dikehendaki oleh Mahkamah Amerika, Singapura dan Switzerland.
Daripada inti wawancara dengan Straits Times, Jho Low mengatakan bahawa dia adalah mangsa ahli politik sedangkan dia bukan ahli politik.
Bagi Shafee, kenyataan Jho Low itu mengarut, tetapi satu perkara dia benar kerana dia dijadikan alat ‘ahli politik’ yang mahu menjatuhkan DS Najib. Malahan Jho Low sendiri mendakwa bahawa dirinya adalah mangsa rejim PH.
Agak mengelirukan apabila Mahathir mengeluarkan kenyataan bahawa Malaysia tidak mahu berperang dengan negara lain kerana mahu mengekstradisi Jho Low, sedangkan usaha ekstradisi itu adalah termasuk dalam undang-undang antarabangsa bagi mengatasi masalah jenayah apatah lagi ia melibatkan AMLA yang mencakupi undang-undang ‘Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Pengganas.’

Mahathir telah mengeluarkan kenyataan bahawa Malaysia tidak boleh berada dalam keadaan terburu-buru untuk menjejaki Jho Low. Namun sebaliknya Mahathir amat terburu-buru untuk menganiaya DS Najib.
Walau bagaimanapun apabila Bekas Menteri Pertahanan, DS Hishammuddin Hussein mahu menawarkan dirinya untuk menghubungi rakan-rakan luar negara bagi menahan Jho Low, dengan pantas pula Mahathir dan konco-konconya menolak.

Apakah pula peliknya bagi Hishamumuddin sebagai rakyat Malaysia yang bertanggungjawab untuk membantu kerajaan menangkap Jho Low? Mengapakah pelawaan Hishammuddin ditolak?
Ada kemusykilan bahawa pihak Mahathir tidak berusaha untuk menahan dan mengekstradisi Jho Low kerana mereka bimbang bahawa Jho Low akan mendedahkan segala konspirasi yang menjadikan dirinya sebagai instrumen untuk menganiaya dan memenjarakan DS Najib.

Pincanglah perbicaraan kes DS Najib yang dikaitkan dengan SRC dan 1MDB sekiranya saksi paling utama yang menjadi dalang kepada semua tuduhan tidak tampil di mahkamah untuk dicabar.
Terdapat percanggahan kenyataan Mahathir dengan kenyataan Ketua Polis Negara yang berjanji akan membawa pulang Jho Low sebelum akhir tahun 2019, namun kini sudah masuk minggu kedua 2020, Jho Low tetap ghaib.
Adakah semua ini hanya satu sandiwara konspirasi rejim Mahathir?

Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador mendakwa bahawa pihak polis tahu di mana lokasi dan negara tempat Jho Low menyembunyikan diri.
Pernah pihak media antarabangsa dan tempatan melaporkan bahawa Jho Low yang menghadapi pertuduhan di Amerika Syarikat, Singapura, Switzerland dan Malaysia dilaporkan telah mendapat kewarganegaraan Cyprus dan kini berada di sana.

Kemudian dia dikatakan bersembunyi di Emiriah Arab Bersatu (UAE), kemudiannya di India pula.
Demikianlah ‘media framing’ Mahathir dan konco-konconya untuk menyatakan betapa licik dan susahnya menahan Jho Low.
Akhirnya, Mahathir kata pihak polis tidak tahu di mana Jho Low berada. Lucu sekali, kerana ‘drama Mahathir’ seperti filem Tamil yang berbelit-belit, kerana tidak mahu konspirasi terbongkar dan terdedah.

Sekiranya Osama Laden dan Sadam Hussein boleh dijejaki dalam tempoh yang singkat, Puteri Gunung Ledang yang merupakan makhluk jin pun boleh dicari dan ditemui oleh Tun Mamat, mengapakah Jho Low yang bersaiz beruang buncit dan boroi tidak boleh dikesan?
Sebagaimana yang Jho Low akui, dia bukannya pemimpin atau ahli politik yang dilindungi oleh gerombolan tentera dan jutaan rakyat yang setia melindunginya seperti PH dan konco-konconya melindungi Mahathir.
Seperti kenyataan Peguam Negara Switzerland yang menjelaskan bahawa DS Najib bukan suspek dalam siasatan mereka, kerana pihak yang bertanggungjawab ia Jho Low dan konco-konco konspirasinya.
Jika Jho Low tertangkap, maka akan terdedahlah segala fitnah, hasutan dan penipuan yang bertahun-tahun dicanang oleh Mahathir terhadap Najib dalam konspirasinya menjatuhkan Barisan Nasional dan mengambil alih Putrajaya, sebagaimana kemenangan ‘haram’ PH pada PRU14.
******
Tinggalkan Jawapan