
Timbalan Perdana Menteri, DS Dr Wan Azizah pada 6 Disember, telah mengeluarkan kenyataan bahawa “Buat kecoh bukan budaya PKR.”
Ramai yang merasa lucu dengan kenyataan itu kerana Wan Azizah seperti cuba menidakkan hakikat tingkah-laku samseng ahli-ahli PKR selama ini.

Adakah Wan Azizah cuba menutup pekung di dada, atau sebenarnya mamai kerana dimamah usia dan diasak oleh tekanan politik daripada kem Timbalan Presiden PKR, DS Azmin Ali?
Kenyataan Wan Azizah adalah reaksi kepada pergaduhan AMK PKR di luar dewan Kongres PKR 2019 di Melaka, sehingga ada yang parah berdarah.

Rakyat tidak seperti PM tua Malaysia yang mudah lupa rakaman sejarah yang berentetan tentang sikap tidak bertamadun ahli PKR, baik yang muda mahupun yang dewasa.
Kenyataan Wan Azizah bercanggah dengan apa yang diperakui oleh Pengarah Komunikasi PKR, YB Fahmi Fadzil, bahawa parti yang diasaskan oleh gerakan reformasi DS Anwar Ibrahim itu “merupakan parti yang lahir di atas jalan raya.”
Maka rakyat juga tidak hairan jika tingkah-laku ahli-ahli PKR seperti samseng jalan raya juga.
Fahmi menegaskan bahawa “Keadilan (PKR) ini lahir di atas jalan raya, bagi kami ini (pergaduhan) adalah rencam, kebiasaan resmi bagi Keadilan.”
Amat jelas kenyataan Wan Azizah berkontradik kerana bagi Fahmi, sebagaimana yang kami terjemahkan, ‘kekecohan, pergaduhan, rusuhan dan berdarah sana-sini’ adalah resmi PKR!

Rakyat masih ingat bagaimana samseng-samseng PKR ini telah merusuh di jalan raya dan menerbalikkan kenderaan polis dalam satu perhimpunan Bersih.
Adakah kepimpinan PKR, terutamanya Anwar Ibrahim suatu ketika dahulu, cuba membentuk masyarakat anarki, kerana kemarahan dan dendam kesumatnya terhadap Tun Mahathir?


Rakyat juga tidak lupa tentang peristiwa berdarah pada hari Pemilihan PKR di Kuala Langat 2014.
Kerana tidak berpuas hati, atau mungkin kerana diupah, anggota JPP, PKR dibelasah oleh penyokong pemimpin tertentu dalam kem PKR yang dikepalai oleh dua pemimpin yang bermusuhan.

Persepsi yang sama juga dilontarkan oleh Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak apabila segelintir pemimpin berjawatan tinggi dalam PKR gemar menimbulkan kekacauan.
Tapi hakikatnya Farhash sendiri pernah diburu polis kerana terlibat dalam pergaduhan di kompleks sukan Ampang awal September lalu (2019).

Sebagaimana kata Fahmi, kekecohan, pergaduhan, rusuhan, dan berdarah sana-sini, sudah menjadi ‘resmi’ PKR yang boleh ditafsirkan sebagai ‘budaya’ dan ‘darah daging’ parti jalanan itu.
Lihat sahaja amokan ahli PKR semasa pemilihan parti di Keningau Sabah, sehingga ‘body guard’ Rafizi Ramli tak lekang dari sisinya dan polis terpaksa keluar dewan melalui jeriji dinding untuk mengejar samseng politik PKR.
Rafizi dikhabarkan telah dipukul oleh ahli yang marah kerana mempercayai ada unsur penipuan dalam pemilihan parti.
Insiden berdarah juga berlaku di Seberang Jaya semasa Pemilihan PKR 2018. Kejadian tersebut berlaku apabila terdapat pihak yang tidak berpuas hati dengan pemilihan lantas membaling kerusi dan hinggap di kepala seorang ahli.

Pergaduhan itu tercetus apabila ahli PKR yang hadir pada sidang media itu menjerit dan membantah keputusan pemilihan di Seberang Jaya, Pulau Pinang dan mengesa keputusan dibatalkan selepas berlaku masalah dalam proses pemilihan di beberapa pusat di negeri terbabit.
Kumpulan itu kemudiannya cuba merempuh barisan kepimpinan Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) sehingga berlaku pergaduhan antara mereka dan berlarutan hingga ke luar dewan.
Pergaduhan juga berlaku semasa Pemilihan PKR di Merbok Kedah pada 2018.

Memang benarlah sebagaimana kata Fahmi, pergaduhan serta tingkah-laku yang tidak bertamadun telah menjadi ‘resmi’ dalam parti PKR yang dilahirkan di jalanan.
Bercanggah dengan persepsi dangkal Wan Azizah, PKR sesuai dilabelkan sebagai parti yang membentuk masyarakat anarki.
Ia bukan sahaja menjadi label kepada golongan AMK PKR tetapi golongan pemimpin yang sudah dewasa juga terbawa-bawa dengan dendam kesumat sebagaimana yang ditunjukkan oleh dua kem yang bermusuhan selepas Presiden menyampaikan ucapan dasar semasa Kongres PKR 2019 di Ayer Keroh Melaka.
Sejumlah 22 Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) daripada kem Timbalan Presiden, DS Azmin Ali telah keluar meninggalkan kongres ketika sesi perbahasan sedang berlangsung.

Malahan laporan media terkini telah menghebahkan bahawa Timbalan Presiden PKR, DS Azmin telah enggan menghadiri majlis penutup kongres yang berlangsung tadi (Ahad 8 Dis 2019).
Sikap buruk Presiden yang dilaporkan melanggar tradisi dan konvensyen parti melalui ucapan dasarnya telah membuka laluan kepada pembahas untuk menyerang Timbalan Presiden serta pimpinan lain secara terbuka.
Jika pergaduhan, rusuhan, dan amokan menjadi ‘resmi’ PKR di samping sikap suka memburuk-burukkan rakan dalam parti, bagaimanakah rakyat boleh diyakinkan dengan keupayaan Anwar untuk memegang tampuk pemerintahan sebagai PM ke-8?
Pada 1997-1998, kejadian mengutuk PM (Tun Mahathir) semasa Perhimpunan Agung UMNO juga dikatakan menjadi punca kepada kemelut konflik PM dan Timbalan PM sehingga terbentuk gerakan reformasi. Dari situ jugalah lahirnya PKR.
Dengan itu DS Wan Azizah hendaklah melihat realiti dan bukan bermamai di siang hari.
*******