
Pada 1 Disember, di tengah-tengah kehangatan dan sentimen antikomunisme dan antigerila komunis yang diterjemahkan sebagai gerakan menghidupkan neo-komunisme, heboh pula berita kira-kira 400 bekas gerila komunis daripada Parti Komunis Malaya mengadakan perhimpunan di Kajang.

Pelbagai eskapisme (alasan dangkal) untuk mewajarkan perhimpunan mereka, antaranya untuk meraikan ulang tahun Perjanjian Hatyai 1989 dan bertemu kembali rakan-rakan pengganas komunis setelah lama tidak berjumpa.

Mengapakah masih bangga dengan label bekas pengganas komunis sedangkan ia membangkitkan sentimen kebencian rakyat, terutamanya kaum Melayu, ATM yang 99% adalah Melayu, PDRM yang 90% juga adalah kaum Melayu dan majoriti yang mereka bunuh juga adalah kaum Melayu.

Banyaklah rentetan sejarah berdarah yang menonjolkan kezaliman pengganas komunis ini, yang sepatutnya tidak dibenarkan hidup di Tanah Melayu ini, dan ditembak mati kerana keganasan mereka.
Ahli Parlimen Cameron Highlands, Ramli Mohd Noor yang juga merupakan bekas anggota PDRM, tidak akan melupakan peristiwa Chin Peng menembak mati 40 orang Asli sebagaimana tindakan Nazi German membunuh orang awam yang tidak berdosa. Mereka diminta berdiri sederet dan kemudiannya ditembak begitu sahaja, atas alasan tidak mahu membantu pengganas komunis.
Di Kampung Simpang Tiga Setiawan, Perak, 80 pengganas komunis juga telah membunuh dan membakar kediaman orang kampung yang tidak berdosa. Siapakah orang kampung itu? Tidak lain dan tidak bukan, adalah perkampung Melayu yang menjadi sasaran serangan pengecut pengganas komunis.
Modus operandi mereka ialah serang hendap dan lari masuk hutan.

Antara lain, pengganas komunis juga telah membunuh Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahman Hashim di Jalan Tun Perak, Kuala Lumpur pada 7 Jun 1974, secara serang hendap dan lari, meletupkan Tugu Negara pada 27 Ogos 1975 dan menyerang Markas Briged Tengah PPH di Jalan Pekeliling, Kuala Lumpur pada 3 September 1975 yang menyebabkan dua anggota polis terbunuh dan 80 lagi cedera.
Anehnya perjumpaan mereka di Kajang seperti cuba mewajarkan penyeludupan abu mayat (ada media sosial yang labelkan sebagai abu bangkai) Ketua Parti Komunis Malaya, Chin Peng laknatullah.
Lebih aneh lagi apabila perbuatan membawa masuk abu mayat yang telah diharamkan itu dilakukan pada tarikh 16 September, iaitu tarikh ‘Hari Malaysia’.
Adakah mereka cuba mengangkat semula ideologi komunisme, yang menolak sistem Raja Berperlembagaan, Demokrasi berparlimen, dan cuba menjadikan negara ini sebuah republik komunis yang menganggap agama sebagai ‘candu masyarakat’?
Chin Peng adalah nama puaka yang menjadi kebencian rakyat yang diisytiharkan sebagai ‘musuh nombor satu’ negara. Di bawah gerakan dialah, melalui gerila Bintang Tiga Komunis, kira-kira 9000 anggota ATM dan PDRM (termasuk anggota Polis Hutan) dan orang awam yang tidak berdosa telah mati dibunuh.

Amat celaka apabila pihak komunis ini mendakwa bahawa mereka berjuang untuk menuntut kemerdekaan Malaya, sedangkan setelah negara merdeka mereka masih mengisytiharkan perang ke atas negara yang telah merdeka sehinggalah pada tarikh Perjanjian Hatyai 2 Disember 1989.
Agenda tersembunyi mereka adalah untuk menjadikan negara ini sebuah republik jajahan Komunis China, sedangkan negera China sendiri tidak berminat dan mengisytiharkan bahawa China tidak menyokong perjuangan komunis laknatullah itu.

Apakah rakyat boleh menerima kumpulan pengganas laknatullah ini? Apakah PDRM dan ATM masih mahu berlembut dan membiarkan golongan bekas pengganas ini meraikan sejarah pembunuhan mereka ke atas anggota keselamatan negara.
Bekas KPN, TS Musa Hassan menegaskan bahawa sebarang perjumpaan yang melibatkan anggota PKM mahupun bekas anggota PKM adalah haram di sisi undang-undang.

Adakah golongan pengganas ini kini menunjukkan keberanian mereka kerana mereka mempunyai konco-konco dalam parlimen?
Adakah mereka kini menjadi berani kerana Peguam Negara, Tommy Thomas yang dilantik tanpa restu rakyat, adalah peguambela kepada Chin Peng satu ketika dahulu dalam kes saman kerajaan Malaysia?

Kelab Veteran Komando Malaysia telah mengeluarkan satu kenyataan sebagaimana yang dipetik daripada portal berita Ismaweb, bahawa mereka akan menghantar satu memorandum kepada SPB Yang Di-Pertuan Agong, untuk mengambil tindakan terhadap penyeludup abu mayat Chin Peng, laknatullah.
Presidennya, Sani Osman berkata, memorandum berkenaan akan dihantar dalam masa terdekat, sekiranya kenyataan dari pihak kerajaan tidak memuaskan atau tidak ada sebarang tindakan ke atas pengkhianat negara berkenaan.

“Kita nak minta penjelasan daripada pihak kerajaan, sama ada Kementerian Dalam Negeri (KDN), Kementerian Pertahanan atau Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
“Kita nak lihat ‘statement’ KDN atau Kementerian Pertahanan itu juga sama ada ia memuaskan hati atau sekadar untuk menutup apa yang berlaku.
“Sampai sekarang pun tiada tindakan dibuat. Nak tunggu apa lagi? Kerajaan kena ambil tindakan tegas. Jangan ada unsur politik, takut atau unsur yang lain dalam perkara ini,” kata Sani sebagaimana dilaporkan Ismaweb.
Pastinya rakyat tidak mahu kerajaan PH memberi muka kepada bekas pengganas komunis yang telah menzalimi rakyat dengan pembunuhan kejam.
Rakyat mahu satu tindakan tegas dan keras diambil terhadap mereka ini, baik yang cuba menghidupkan kembali ideologi komunisme atau neo-komunisme, baik yang cuba menyerapkan ideologi komunisme dalam kalangan pelajar sekolah melalui komik propaganda komunis, baik yang cuba merobah Jalur Gemilang dengan bintang bucu lima yang menjadi lambang tentera Republik Komunis China.
******
Tinggalkan Jawapan