Selepas gagal meratifikasikan ICERD kerana tsunami protes rakyat Melayu-Islam seluruh negara, kini kerajaan PH cuba mencairkan Perlembagaan Persekutuan khususnya dalam perkara yang melibatkan kuasa Raja-Raja Melayu, yang sekaligus juga mencabuli hak Melayu melalui Statut Rome.
Statut Rome telah dipersetujui oleh Kabinet pada 12 Disember 2018 empat hari setelah negara dikejutkan dengan ‘Perhimpunan Ummah 812’ bagi membantah ratifikasi ICERD.
Melalui ICC (Mahkamah Jenayah Antarabangsa), Statut Rome yang berpusat di Hague, Belanda, diberikan kuasa untuk menghakimi Yang DiPertuan Agong dan kuasa ketenteraan negara dalam kes pemberontakan atau serangan ke atas negara baik dari dalaman mahupun luaran.
Ekoran itu pada 4 Mac 2019, Menteri Luar Negara, Dato’ Saifuddin Abdullah telah menandatangani Statut Rome dan dengan itu akan diratifikasikan di negara ini.
Ia ditandatangani tanpa disedari oleh rakyat yang diasak oleh kes kontroversial penghinaan terhadap Nabi dan agama Islam, kes menghalau penduduk Taman Manggis Pulau Pinang, dan isu penyatuan ummah yang diterjemahkan oleh Lim Guan Eng sebagai semboyan perang Melayu terhadap kaum Cina.
Nampaknya secara kasarnya Statut Rome memberikan peruntukan undang-undang untuk membela negara daripada ancaman musuh luaran mahupun dalaman yang mungkin menyerang, menjatuhkan dan menjahanamkan negara, dengan menggunakan ICC sebagai badan perundang-undangan antarabangsa bagi menegakkan keadilan.
Ia juga terpakai bagi kes-kes pemberontakan atau serangan yang boleh ditafsirkan sebagai jenayah yang mencabar kuasa pemerintah mahupun Yang DiPertuan Agong (dalam kes Malaysia) serta Ketua Turus Angkatan Tentera yang berkuasa terhadap pasukan tentera negara.
Walau bagaimanapun secara halusnya, Perkara 27 dan 28 ICC memperuntukkan bahawa ketua negara dan komander tentera adalah tertakluk kepada undang-undang ICC jika berlaku jenayah yang melibatkan orang bawahan atau pihak berkuasa negara tersebut.
Sebagaimana dilihat pada peristiwa 13 Mei, ancaman Al-Maunah, serangan pemberontak Sulu di Lahad Datu Sabah, atau lain-lain, maka kes berkenaan boleh dibawa ke ICC apabila pasukan keselamatan diterjemahkan sebagai gagal menegakkan kebenaran dan keadilan.
Dengan itu juga Statut Rome adalah undang-undang luar yang cuba menguasai undang-undang negara yang turut membela pihak musuh negara atau musuh rakyat melalui ICC dan undang-undangnya.
ICC juga membatalkan imuniti atau kekebalan Raja-Raja dalam peruntukan undang-undang tempatan mahupun undang-undang antarabangsa.
Dalam Perkara 120, Statut Rome dengan jelasnya tidak membenarkan mana-mana peruntukan yang termaktub dalam undang-undangnya dihadkan pemakaiannya dalam negara ahli. Kini Malaysia adalah ahlinya.
Dengan itu juga segala peruntukan undang-undang dalam Perlembagaan Persekutuan yang bertentangan dengannya akan terbatal melalui ICC, yang secara halusnya juga mengetepikan soal hak dan keistimewaan Melayu-Bumiputera, Raja-Raja Melayu dan agama Islam kerana segala acuan tempatan tidak lagi terpakai dalam ICC.
Sekiranya diandaikan tempoh hari berlaku ‘coup de tat’ pada Perhimpunan Ummah 812 dengan sokongan angkatan tentera dalam hal menegakkan Perlembagaan Persekutuan, maka Yang Diperuan Agong serta Ketua Turus Angkatan Tentera akan diheret ke ICC dan dengan itu, secara tidak langsung akan membela musuh ‘Kedaulatan Raja-Raja Melayu’, musuh hak dan keistimewaan Melayu-Bumiputera serta musuh agama Islam.
Adakah persetujuan Malaysia menjadi ahli Statut Rome merupakan langkah untuk merobah sistem Raja Berperlembagaan kepada Republik?
Adakah dengan itu juga kedudukan Melayu-Bumiputera, Raja-Raja Melayu serta Islam sebagai agama rasmi negara akan cair dan seterusnya terpadam?
Dengan itu tidak wajar Malaysia menjadi negara ahli Statut Rome kerana terdapat beberapa perkara dalam Perlembagaan Persekutuan yang tidak selari dengan Statut Rome berkenaan yang perlu terlebih dahulu dirombak. Namun kita harus ingat bahawa Perlembagaan Persekutuan telah dimaktubkan mengikut acuan Malaysia yang tersendiri dan bukannya acuan antarabangsa.
Bantahan awal telah dikemukakan oleh Tengku Mahkota Johor (TMJ), yang mempersoalkan kewajaran Statut Rome yang dilihat menghakis kuasa Majlis Raja-Raja. Bagaimanapun Mahathir menolaknya atas alasan TMJ bukan wakil rakyat.
Sekiranya Perlembagaan Persekutuan dirombak untuk mematuhi acuan ICC, maka kedudukan Raja-Raja Melayu, hak dan keistimewaan kaum Melayu-Bumiputera serta agama Islam terpaksa dicairkan untuk diselaraskan dengan kehendak Statut Rome.
Dimanakah suara Raja-Raja Melayu yang lain serta Governor atau Yang DiPertua Negeri dalam hal mempertahankan kedudukan Raja-Raja dan kuasa Majlis Raja-Raja?
Mungkinkah ini perkara pokok yang menjadi misi dan visi kerajaan PH dan cita-cita kabinet Mahathir yang majoritinya adalah kaum bukan-Melayu-Islam?
Negara-negara yang mengamalkan sistem beraja seperti Thailand, Brunei, serta negara Timur Tengah seperti Oman, Emiriah Arab Bersatu dan Qatar tidak mahu menjadi negara ahli Statut Rom.
Filipina pula dengan bijaknya telah menarik diri daripada keahliannya dalam Statut Rom mungkin kerana tindakan Rodrigo Duterte yang telah menggunakan acuannya sendiri untuk menentang kartel narkotik yang dilihat tidak selari dengan perundang-undangan ICC.
Nampaknya di Malaysia ia telah dilaksanakan secara senyap dengan tumpuan rakyat dikelencongkan kepada kes menghina Nabi, kes menghalau penduduk PPR Taman Manggis dan kes Guan Eng menuduh penyatuan Ummah UMNO-PAS sebagai mencanang gendang perang Cina dan Melayu.
Kita sangsi adakah Yang DiPertuan Agong yang baru dilantik, diperjelaskan dengan mendalam implikasi Statut Rome itu?
Tidak akan ada sesiapa yang akan membela Yang DiPertuan Agong jika baginda diheret ke ICC nanti, kecuali rakyat Melayu-Islam.
*****
Tinggalkan Jawapan