
Setelah reputasi PH dicemarkan dengan isu manifesto yang tidak ditunaikan, rusuhan kuil Mariamman Seafield, kematian anggota Bomba, pembohongan hutang negara RM1trilion, wakil rakyat berlagak samseng, isu memberikan kontrak projek kepada kroni, isu populariti Mahathir menurun, kes mahkamah terpilih khas untuk UMNO, penipuan kempen PRK Cameron Highlands dan macam-macam lagi, kini PH diterjah pula dengan isu penipuan ijazah Timbalan Menteri Luar yang dikatakan lulusan daripada universiti tersohor, University of Cambridge, London.
Datuk Marzuki Yahya, sebagaimana tercatat pada profilnya dalam Wikipedia adalah lulusan Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Pentadbiran Perniagaan di University of Cambridge, London, United Kingdom (Bachelor’s Degree in Business Administration).
Namun setelah ada pihak yang mengesyaki bahawa Marzuki tidak pernah ke luar negara untuk pengajian tersebut, timbul pula alasan bahawa dia memperolehi ijazah sarjana muda itu melalui program jarak jauh.
Namun University of Cambridge tidak pula menawarkan sebarang program jarak jauh, lalu terbongkarlah cerita daripada Marzuki sendiri bahawa ijazah yang diperolehi sebenarnya adalah daripada Cambridge International University, Delaware, Amerika Syarikat.
Lantas apa yang tercatat pada profil Marzuki dalam Wikipedia pun terus diubah kepada Cambridge International University, USA. Marzuki cuba menjelaskan bahawa maklumat di Wikipedia boleh diedit oleh sesiapa sahaja.
Alasan Marzuki boleh diterima, tetapi agak aneh ia berubah pada saat-saat isu penipuan ini timbul.
Namun kisah ijazah Marzuki tidak terhenti di situ sahaja, kerana timbul pula kes transkrip pengajian yang sama bacaannya dengan transkrip sampel yang diberikan dalam laman web universiti itu atas nama ‘Abraham Kensington’.
Setelah diamati, ahli fakulti yang tertera pada laman web universiti tersebut juga mencurigakan apabila salah seorang daripadanya adalah Profesor Madya Dr Patricia Powell yang gambar profilnya juga terpampang pada laman web online dating ‘AnatasiaDate’. Gambar itu disyaki gambar ‘potong dan tampal.’
Rentetan itu timbullah isu laman web universiti tersebut telah digodam sehari selepas kes Marzuki terbangkit.
Malahan terbangkit pula isu universiti berkenaan sebagai ‘bogus’ atau palsu yang cuba menarik perhatian pelajar Asia yang mahu memiliki Ijazah dari universiti Amerika. Cambridge International University juga tidak mempunyai sebarang akreditasi daripada mana-mana badan akreditasi. Lucunya universiti itu juga dilabelkan sebagai ‘kilang diploma’ dengan lebih 500 program tetapi hanya ada kira-kira 20 orang ahli fakulti sahaja.
Sekiranya Marzuki tertipu, kita bersimpati padanya kerana dia telah membelanjakan RM20 ribu untuk memiliki ijazah tersebut, namun sekiranya ada unsur penipuan, maka eloklah sebagai Timbalan Menteri Luar, Marzuki mengundur diri kerana ia telah mencemarkan nama baik dan reputasi kerajaan PH.
Di sesetengah negara, penipuan ijazah dikenakan hukuman penjara jika disabitkan. Banyaklah gesaan, terutamanya daripada pembangkang yang mahu Marzuki meletakkan jawatan.
Malahan ekoran dari kes, Marzuki, terbangkit juga isu ijazah yang mencurigakan yang dikaitkan dengan Menteri Besar Johor.
Malah ijazah DS Anwar Ibrahim yang merupakan ijazah Sastera Kelas Ketiga UM, juga dipersoalkan. Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang mendakwa dirinya sebagai ‘chartered accountant’ tetapi sebenarnya tidak pernah ditauliahkan sebegitu, juga dipersoalkan manakala kelayakan DS Najib dalam ilmu ekonomi lebih teruja dan ada kredibiliti untuk menguruskan ekonomi negara jika dilihat daripada kelulusan beliau.
Rakyat tidak mahu membuat tuduhan melulu, tetapi perkembangan ekonomi hari ini, dengan kos sara hidup yang tinggi, dengan cukai SST yang telah ditolak oleh lebih 150 negara di dunia, dan dengan jurang pendapatan kaya-miskin yang meningkat, isu ketrampilan tokoh pada latar belakang keilmuannya menjadi wajar untuk dibincangkan rakyat.
*End*
Tinggalkan Jawapan