UITM LAHIR DARI SEMANGAT 153 PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN

Oleh Dr Mamat Desa

Universiti Teknologi MARA (UiTM) ditubuhkan bukan seperti kebanyakan universiti lain. Ia lahir daripada Akta Universiti Teknologi MARA 1976 [Akta 173] yang merupakan kesinambungan dari entiti terdahulu iaitu Institut Teknologi MARA.
Pengiktirafan dan kenaikan taraf ITM kepada universiti penuh iaitu UiTM pada tahun 1999 tidak bermakna dasar dan matlamat asal mengenai kedudukan bumiputera terputus.
Penubuhannya UiTM, bermula pada tahun 1951 dengan kertas kerja Datuk Onn Jaafar untuk menubuhkan Rural and Industrial Development Authority atau lebih dikenali sebagai RIDA. Antara lainnya, untuk mempertingkatkan status sosioekonomi dan kesejahteraan kaum Melayu-Bumiputera.

Ungkapan-ungkapan ‘dagang lalu ditanakkan, kera di hutan disusukan, anak di riba mati tak makan’, ‘ayam di kepuk kelaparan – itik di air kehausan’, ‘sepuluh jong masuk–anjing tetap bercawat ekor’, memberikan gambaran rintihan pedih, penderitaan yang dialami oleh majoriti anak bangsa ketika itu. Bangsa melihat kemakmuran buminya diteroka, hasil mahsul buminya dikaut, melimpahkan rahmat kepada orang lain, sementara pribumi merintih sendiri. Falsafah yang terungkap itu mewajarkan penubuhan ITM khusus untuk kaum Melayu-Bumiputera.

Adalah genjot dan dangkal sekiranya ada sesiapa yang melihat dan menterjemahkan UiTM sebagai sebuah institusi yang mengamalkan rasisme tanpa kembali kepada Perlembagaan Persekutuan berkenaan perkara 153 serta rentetannya dalam Dasar Ekonomi Baru yang dimaktubkan pada 1970.

Tahun sebelum 1970 jelas menunjukkan orang Melayu jauh ketinggalan dalam kemasukan pelajar ke Universiti Malaya (UM). Orang Melayu juga tertinggal dalam fakulti berteraskan sains berbanding bukan-Melayu. Misalnya di fakulti kejuruteraan, peratusan orang Melayu dalam sesi 1970 ialah 0.16 peratus berbanding bukan Melayu iaitu 90.64 peratus. Ini menunjukkan jurang perbezaan antara etnik dan menjauhkan lagi jurang golongan profesional.

Profesional Bumiputera, seperti arkitek, akauntan, jurutera, doktor, juruukur dan peguam pada 1970 ialah 4.9 peratus atau 225 orang berbanding bukan-Bumiputera iaitu 3,859 orang (84.3 peratus) dan masih ketinggalan pada kadar 38.8 peratus pada 2005.

Kestabilan politik di Malaysia amat bergantung kepada faktor keseimbangan yang wajar dikaitkan dengan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan iaitu kedudukan istimewa kaum Melayu-Bumiputera seiring dengan kaum bukan-Bumiputera.

Peningkatan angka golongan profesional Bumiputera secara tidak langsung dapat mengurangkan kegelisahan bangsa seperti yang diperingatkan oleh Tun Tan Siew Sin bahawa, “an economically depressed Malay community in a prosperous Malaya will not mean a peaceful Malaya”.

Maka, statistik pada 1970 mengenai orang Melayu-Bumiputera dalam perkhidmatan awam, ekonomi dan pendidikan mewajarkan Perkara 153 digunakan bagi memperbaiki ketidakseimbangan terbabit.

Rang Undang-Undang Institut Teknologi Mara (ITM), dibentangkan di Parlimen oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Dr. Mahathir Mohamad, pada 13 April 1976.

Apabila Rang Undang-Undang itu dibahaskan, Ahli Parlimen Kepong, Dr. Tan Chee Khoon, Ahli Parlimen Kota Melaka, Lim Kit Siang dan Ahli Parlimen Padang Serai, Lim Kiam Hoon, telah membantah dan mencadangkan supaya pintu ITM turut dibuka kepada semua warganegara.

Cadangan tersebut dibidas oleh ahli Parlimen Balik Pulau, Shamsuri Md. Salleh dengan hujah bahawa, “Tuan Yang di Pertua, peruntukan yang diberi kepada Institut Teknologi MARA oleh Kerajaan itu kalau dinilai dengan emas, maka emas itu hanya sesaga, kalau dinilai dengan tanah, maka tanah itu tidak lebih hanya sebesar kelangkang kera. Emas sesaga, tanah yang sebesar kelangkang kera itulah yang diungkit-ungkit, disebut-sebut, ditagih oleh pihak Pembangkang untuk dikongsi dengan orang-orang bukan bumiputera, atas alasan hendak mewujudkan perpaduan negara, hendak membasmi kemiskinan, dengan tidak kira kaum.”

Dengan itulah ITM yang sejak sekian lama telah melahirkan profesional Bumiputera tidak wajar diperapkan dengan taraf ‘institut’ semata-mata sedangkan kewujudan institusi lain yang jauh lebih muda daripada ITM wewenangnya telah diangkat sebagai bertaraf ‘universiti’.

Oleh itu tidak perlulah dipersoalkan lagi apabila pada 1999, ITM telah dinaikkan tarafnya menjadi universiti sepenuhnya dengan nama UiTM.

Akta UiTM adalah berpaksikan kepada roh dan semangat daripada Perkara 153 untuk meramaikan orang Melayu-Bumiputera dalam pendidikan tinggi negara, seterusnya memperbaiki jurang golongan profesional antara etnik.

Akta 173 juga memperuntukkan Yang DiPertuan Agong sebagai Canselor UiTM melalui seksyen 19A(2). Peruntukan ini harus dikaitkan dengan Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan tanggungjawab YDPA untuk memelihara kedudukan istimewa kaum Melayu-Bumiputera dan pribumi Sabah dan Sarawak.

Walau bagaimanapun adalah satu kesilapan yang besar kepada UiTM kerana apabila Kolej Tunku Abdul Rahman (TAR College) dinaikkan taraf kepada UTAR (Universiti Tunku Abdul Rahman), TAR College masih dipertahankan, maka kesinambungan Kolej TAR terus kekal meskipun sudah wujud UTAR.

Sebaliknya kewujudan UiTM terus membunuh ITM tidak sebagaimana pola kewujudan Kolej TAR walaupun ia telah dinaikkan taraf sebagai UTAR.

Untuk menggolongkan bahawa UiTM adalah semata-mata ‘universiti Melayu’ adalah sesuatu yang amat dangkal kerana UiTM juga dengan lewahnya membuka pintunya kepada semua kaum Bumiputera-Pribumi yang sememangnya sebagaimana statistik 1970 telah ketinggalan jauh dari aspek pendidikan dan ekonomi berbanding kaum ‘pendatang’.

a a a abmf 2

Malah dalam program ‘Mengubah Destini Anak Bangsa’ (MDAB), UiTM membuka peluang kedua kepada anak-anak Bumiputera miskin yang tidak cemerlang dalam SPM untuk dibimbing dan diberikan peluang bagi kursus-kursus asas pra-diploma sebelum mereka melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi dalam tatatingkat pengajian UiTM.

UiTM percaya bahawa setiap insan mempunyai potensi untuk berjaya sekiranya mereka diberikan peluang, ruang pendedahan dan bantuan kewangan untuk mereka berusaha.

MDAB UiTM telah berjaya membuktikan bahawa ‘peluang kedua’ kepada anak-anak Melayu Bumiputera-Pribumi termasuk kaum Orang Asli serta kaum pribumi lain di pedalaman Sabah dan Sarawak memberikan hasil yang amat positif.

Malangnya kerajaan PH sering menjadikan alasan hutang negara RM1 trilion tetapi lain pula kenyataannya dalam Bajet 2019 serta dasarnya yang mengutamakan sekolah Cina dan kolej swasta Cina. Atas dasar sama rata DAP yang gagal mempertahankan keadilan serta roh dan semangat Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan, kerajaan PH tidak mempedulikan faktor kemiskinan kaum Melayu-Bumiputera serta hak mereka ke atas Tanah Melayu ini.

Dalam konteks program Pasca-Siswazah, UiTM juga telah meneroka dunia global apabila ia membuka kemasukan kepada pelajar Islam antarabangsa dari seluruh pelosok dunia.

Dengan itu, dasar murni UiTM dalam konteks keilmuan tidak seharusnya dipertikaikan, malah selari dengan falsafah yang pernah diuar-uarkan oleh Canselornya suatu ketika dahulu, “UiTM adalah Benteng Melayu-Bumiputera”.

*End*

Advertisement

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

Website Built with WordPress.com.

Atas ↑

%d bloggers like this: