Ratifikasi atau usaha untuk memperkenan dan memaktubkan kandungan ICERD (International Convention on the Elimination of All Forms of Racial Discrimination) atau Konvensyen Antarabangsa mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum, dalam sidang parlimen minggu lalu, dilihat sebagai usaha halus untuk mencairkan yang kemudiannya menghapus kedudukan istimewa kaum Melayu-Bumiputera.
Pada 15 Okt dalam sidang parlimen kita lihat, Ahli Parlimen DAP Batu Kawan, Kasthuriraani Patto mendesak kerajaan menandatangani dan meratifikasi dasar dalam ICERD.
Dalam konteks pluralisme agama, kami melihat bahawa desakan tersebut hendaklah digunakan pakai pada agama bukan-Islam tetapi tidak terpakai bagi agama Islam.
Tetapi sekiranya ratifikasi itu melampaui dan membabitkan juga agama Islam, maka kita lihat bahawa ICERD telah cuba menodai Perlembagaan Negara.
Kebebasan beragama sememangnya diberikan kepada semua kaum, kecuali penganut Islam kerana ia menjadi hukum dosa besar kepada penganut Islam untuk bertukar agama dan juga membiarkan penyebaran ajaran sesat seperti Qardiani dan Syiah.
Oleh itu mana-mana ahli parlimen diingatkan supaya janganlah cuba mencampuri hal-ehwal dalam rumah tangga Islam.
Desakan Ahli Parlimen Batu Kawan itu diperkukuhkan lagi oleh kenyataan akhbar Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waytha Moorthy, yang juga merangkap Pengerusi HINDRAF, bahawa kerajaan komited untuk meratifikasi enam konvensyen hak asasi manusia PBB termasuk ICERD.

Bukan itu sahaja, Moorthy juga mengulang-ulang tentang beberapa klausa dalam perlembagaan khususnya Perkara 153 dan 160 yang mungkin baginya perlu dirombak.
Rakyat Melayu dan umat Islam masih tertanya-tanya, apakah agenda tersembunyi di sebalik usaha Moorthy sebagai Pengerusi HINDRAF dan Kasthuriraani sebagai pemimpin tegar DAP itu.
Rakyat Islam juga merasa terkilan apabila tiada apa-apa bangkangan yang dibuat oleh ahli parlimen beragama Islam, seakan-akan mereka tidak peka, buta dan tuli akan matlamat desakan tersebut.
Inilah antara modus operandi pemimpin Malaysia Baharu dalam usaha mereka menguji sejauh manakah Perkara 153 dan 160 dalam Perlembagaan Malaysia boleh di asak ke pinggir?
Sebagaimana dilaporkan oleh BERNAMA, Moorthy pernah membuat kenyataan bahawa desakan ratifikasi ICERD bukan datang daripada komitmen dirinya semata-mata tetapi juga disokong oleh Menteri Hal Ehwal Agama Datuk Dr Mujahid Rawa serta kenyataan Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah dan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) baru-baru ini.
Rakyat Melayu Islam, sememangnya tidak lagi boleh mengharapkan Mahathir dalam apa-apa juga hal yang berkaitan dengan pembelaan orang Melayu-Islam.
Lebih membangkitkan kesangsian apabila Moorthy pernah membuat aduan kepada badan Hak Asasi Manusia kononnya Melayu-muslim di Malaysia telah menjalankan dasar apartheid kepada kaum bukan Melayu, menindas dan menzalimi mereka.
Nampaknya inilah definisi Malaysia Baharu bagi Mahathir dan konco-konconya dalam PH. Mencairkan kedudukan Melayu-Bumiputera dan agama Islam.
Sekiranya ratifikasi ICERD dan konvensyen yang lain, cuba mengganggu kedudukan agama Islam, maka golongan ini juga mencabar kedudukan Raja-Raja Melayu yang merupakan Ketua Agama Islam negeri.
Golongan yang buta sejarah ini mahu Malaysia mencontohi negara Barat seperti Britain dan Amerika, mahupun Singapura, tetapi mereka tidak mahu pula sekolah-sekolah vernakular dihapuskan dan sekolah-sekolah kebangsaan sahaja yang beroperasi.
Mereka lupa bahawa integrasi nasional di Amerika mahupun Britain adalah berasaskan prinsip ‘mangkuk pelebur’ – mereka bercampur dan sebati, sedangkan Malaysia berasaskan prinsip ‘mangkuk salad’ yang penuh warna-warni; mereka bercampur tetapi tidak sebati.
Justeru, tidak cukupkah Mahathir mahu membunuh UMNO, apabila kini nampaknya dia seperti mahu membunuh kedudukan Melayu-Bumiputera sebagaimana tercatat dalam Perkara 153 dan 160 Perlembagaan Malaysia?
Pergilah kutip lagi, apa-apa konvensyen untuk diratifikasikan supaya Perlembagaan Negara ini boleh diubah dan kemudiannya menolak jatuh negara ini ke tangan oportunis yang lupa tentang asal-usul mereka dan juga lupa tentang kontrak sosial 1957.
Atau adakah ini sebahagian daripada tindakan untuk merealisasikan konsep “Malaysian Malaysia” DAP?
******
Tinggalkan Jawapan